Hukum Menggunakan Kanta ICL Untuk Rawatan Mata

Rawatan Mata
ICL Alternative
Apakah makna Kanta ICL (Implantable Collamer Lens)

Pesakit kini mempunyai pilihan selain pembedahan laser dengan menggunakan alternatif  penanaman implan kanta lekap yang dipanggil juga sebagai Kanta ICL (Implantable Collamer Lens). Kanta ini dihasilkan daripada bahan dipatenkan yang dikenali sebagai collamer yang mengandungi kolagen, tidak memerlukan pengurusan rapi dan tidak menyebabkan rasa kurang selesa pada mata pesakit.

Ini amat sesuai untuk rantau Asia yang mempunyai banyak kes rabun jauh yang teruk, bagi pesakit yang ingin atau perlu berhenti menggunakan cermin mata dan kanta lekap. Mengikut kajian, lebih 80 peratus pesakit mendapat tahap penglihatan sempurna 6/6, ditambah pula ianya tidak kekal dan boleh dikeluarkan kembali kelak bila tidak digunakan lagi.

Walau bagaimanapun Umat islam di negara ini ragu-ragu akan hukum menanam Kanta ICL di bawah kornea bagi mereka yang menghadapi masalah penglihatan selepas membuang katarak. Antara persoalannya adalah bagaimana pula jika pemakai berkenaan meninggal dunia? Adakah kanta tersebut mesti dikeluarkan?


Keputusan 

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-99 yang bersidang pada 4-6 Mei 2012 telah membincangkan Hukum Menggunakan Kanta ICL (Implantable Collamer Lens) Untuk Rawatan Mata. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa Islam amat menekankan penjagaan kesihatan tubuh badan sebagai salah satu prinsip dalam مقاصد شريعة. Walaubagaimanapun, penggunaan ubat dari sumber yang haram untuk mengubati sesuatu penyakit adalah dilarang berdasarkan umumnya hadith Rasulullah s.a.w.:

عن اَبِي الدَّرْدَاء رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: (إِنَّ اللهَ أَنْزَلَ الدَّاءَ وَالدَّوَاءَ وَجَعَلَ لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاء، فَتَدَاوَوْا وَلاَ تَدَاوَوْا بِحَرَامٍ)
(رواه أبو داود)


Maksudnya:

Dari Abi Darda’ RA, Rasulullah s.a.w. berkata: Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan penawar, dan Dia telah menjadikan bagi tiap-tiap penyakit itu penawar, maka kamu semua berubatlah dan janganlah kamu semua berubat dengan (perkara-perkara) yang haram.
Namun begitu, dalam keadaan-keadaan dharurah atau terpaksa, terdapat kelonggaran yang diberikan dalam pengharaman ini demi untuk menghilangkan kesakitan dari tubuh badan. 
Dalam isu rawatan ICL ini, memandangkan penggunaannya bukan dalam keadaan dharurah dan umat Islam mempunyai banyak alternatif lain yang tidak meragukan dari aspek Syarak, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum menggunakan kanta ICL (Implantable Collamer Lens) untuk rawatan mata yang diperbuat dari bahan kolagen khinzir adalah tidak diharuskan.

Oleh itu secara keseluruhannya Kanta ICL yang diperbuat daripada sumber yang halal harus digunakan bagi mereka yang menghadapi masalah penglihatan mata. Walau bagaimanapun sebaik-baiknya kanta berkenaan hendaklah ditanggalkan apabila simati meninggal dunia.
sumber : e-fatwa

0 comment... add one now