Hukum Forex Perdagangan Tukaran Matawang Asing

Hukum Forex Dalam Islam. Forex singkatan kepada Foreign Exchange, iaitu perdagangan tukaran matawang asing. Ia juga dikenali dengan nama FX. Forex sebuah entity kewangan yang terbesar di dunia dengan transaksi melebihi $1.95 trillion sehari!!. Forex melibatkan transaksi dimana kita membeli satu matawang dan menjual satu matawang yang lain. Matawang (currency pair) ini ditransaksikan melalui broker dalam bentuk pair (pasangan) sebagai contoh British Pound dengan US Dollar (GBP/USD).
perdagangan tukaran wang asing atau forex
Credit : Ambayforex.net

Perdagangan Forex

Pertukaran asing (foreign exchange atau forex) berlaku apabila suatu mata wang ditukar kepada mata wang lain. Ia merupakan suatu jenis perdagangan/ transaksi aktiviti jual beli mata wang antara negara yang melibatkan pasar-pasar mata wang utama di dunia selama yang berlangsung secara 24 jam secara berterusan. Merupakan pasar terbesar dunia di mana ia melibatkan transaksi wang sebesar $2 trilion pada hari pasaran dibuka.

Mata wang terbahagi kepada 2 iaitu Utama dan Kecil (minor). Utama ialah mata wang paling kerap diperdagangkan iaitu USD, EUR, GBP, CHF, JPY, AUD dan CAD. Kecil adalah mata wang selain mata wang utama iaitu NZD dan SGD yang turut diniagakan tetapi tidak secara besar-besaran.


Di dalam pasaran pertukaran asing, mata wang diniagakan secara berpasangan. Ia diniagakan secara berpasangan kerana dalam perdagangan mestilah ada beli dan jual. Sebagai contoh pasangan matawang EUR/USD jika membeli pasangan ini bermakna kita membeli EUR (Euro) dan jual USD (dolar AS).


Forex merupakan satu pelaburan yang paling popular kerana pulangan keuntungannya yang tinggi. Keuntungan boleh mencapai sehingga 100% dalam masa beberapa hari. Akibat pergerakan yang cepat tersebut, tidak dinafikan forex juga berisiko tinggi untuk rugi apabila anda tidak mempunyai pengetahuan yang cukup.

Hukum Forex

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-98 yang bersidang pada 13-15 Februari 2012 telah membincangkan Hukum Perdagangan Pertukaran Matawang Asing oleh Individu Secara Lani (Individual Spot Forex) Melalui Platfom Elektronik. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
Setelah mendengar taklimat dan penjelasan pakar daripada Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (ISRA) serta meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platfom elektronik adalah melibatkan item ribawi (iaitu mata wang) dan dari sudut fiqhiyyah ia tertakluk di bawah hukum Bay al-Sarf yang perlu dipatuhi syarat-syarat umum jual beli dan syarat-syarat khusus bagi Bay al-Sarf seperti berikut:

Syarat-syarat umum jual beli:

  1. Pihak yang berakad mestilah mempunyai kelayakan melakukan kontrak (Ahliyyah al-Ta’aqud);
  2. Harga belian hendaklah diketahui dengan jelas oleh kedua-dua pihak yang berakad;
  3. Item belian hendaklah suatu yang wujud dan dimiliki sepenuhnya oleh pihak yang menjual serta boleh diserahkan kepada pembeli;
  4. Sighah akad hendaklah menunjukkan keredhaan kedua-dua pihak, tidak ada unsur penempohan dan sighah ijab dan qabul mestilah bersepadanan dan menepati antara satu sama lain dari sudut ciri-ciri dan kadarnya.

Syarat-syarat khusus Bay al-Sarf:

  1. Berlaku taqabbudh (penyerahan) antara kedua-dua item yang terlibat dalam platform forex sebelum kedua-dua pihak yang menjalankan transaksi berpisah daripada majlis akad;
  2. Jual beli matawang hendaklah dijalankan secara lani dan tidak boleh berlaku sebarang penangguhan; dan
  3. Akad jual beli al-sarf mesti bebas daripada khiyar al-Syart.
Selain memenuhi syarat-syarat tersebut, Muzakarah juga menegaskan bahawa operasi perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) hendaklah bebas daripada sebarang unsur riba, elemen al-Salaf wa al-Bay (pemberian hutang dengan syarat dilakukan transaksi jual beli), unsur perjudian, gharar yang berlebihan dan kezaliman atau eksploitasi.

Berdasarkan kajian terperinci yang telah dilakukan, Muzakarah mendapati bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platfom elektronik mengandungi unsur-unsur seperti riba melalui pengenaan rollover interest, pensyaratan jual beli dalam pemberian hutang melalui leverageqabd yang tidak jelas ketika transaksi pertukaran, penjualan mata wang yang tiada dalam pegangan dan spekulasi yang melibatkan perjudian. Selain itu ianya juga tidak sah dari sisi undang-undang Kerajaan Malaysia.

Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platfom elektronik yang ada pada masa ini adalah haram kerana ia bercanggah dengan kehendak syarak dan juga tidak sah dari sisi undang-undang negara. Selaras dengan itu, umat Islam adalah dilarang daripada melibatkan diri dalam perdagangan mata wang seumpama ini.

Muzakarah juga menegaskan bahawa keputusan yang diputuskan ini tidak terpakai ke atas urus niaga pertukaran mata wang asing menerusi kaunter di pengurup wang berlesen dan urus niaga pertukaran mata wang asing yang dikendalikan oleh institusi-institusi kewangan yang dilesenkan di bawah undang-undang Malaysia.

Sumber : e-fatwa.gov.my

1 comment... add one now

Budi Ahmad Budi Ahmad 24 Jun, 2014
Assalamualaikum....
mintak izin untuk ambil maklumat dan menggunakannya dalam tugasan saya...t.kasih
semoga dimudahkan segala urusan anda... :)
JazakAllahu Khairan