Hukum Mencabut Uban Dalam Islam

Hukum Mencabut Uban Dalam Islam. Rambut anda sudah beruban? Ramai manusia zaman sekarang gemar mencabut uban akibat rambut yang sudah menjadi warna keputihan tanpa mengetahui hukumnya. Ada juga yang mewarnakan rambut bagi menutupi uban. Berikut dikongsikan hukum mencabut uban dalam Islam yang dikongsikan dari soal jawab agama dan juga video Ustaz Azhar Idrus di bawah ini.


Soal Jawab Agama - Hukum Mencabut Uban

SOALAN:

Assalamualaikum Ustaz. Saya seorang lelaki yang agak berumur dan rambut saya mula dipenuhi uban. Saya seringkali mencabut uban dan isteri saya pernah menegur dan mengatakan bahawa uban tidak boleh dicabut kerana uban ialah cahaya seorang Mukmin. Katanya, ada hadis yang mengatakan sebegitu. Adakah ini bermakna haram mencabut uban? Mohon penjelasan ustaz.

JAWAPAN:

Hadis berkenaan mencabut uban diriwayatkan dengan pelbagai sanad. Namun yang terkuat diriwayatkan oleh 'Amr bin Syu'aib daripada bapanya daripada datuknya, Rasulullah SAW bersabda: 
"Janganlah mencabut uban kerana tidaklah seorang Muslim mendapat uban dalam Islam, melainkan (uban itu) akan menjadi cahaya baginya pada hari kiamat nanti."
Hadis ini terdapat dalam beberapa kitab hadis muktamad seperti Sunan Abu Dawud, Sunan al-Tirmizi dan Sunan al-Nasaie.

Mengikut riwayat al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman: 

"Uban ialah cahaya Mukmin. Tidaklah seseorang mendapatkan uban dalam Islam melainkan ia akan mendapat satu pahala dan diangkat satu darjat bagi setiap lembar uban itu."
Hadis ini mengandungi larangan. Baginda melarang kita untuk mencabut uban sebab uban akan menjadi cahaya bagi kita di hari kiamat nanti. Namun para ulama daripada empat mazhab mentafsirkan larangan di sini bermakna makruh, bukan haram. Justeru, hukum mencabut uban makruh sahaja.

Imam Malik pernah ditanya tentang hukum mencabut uban. Beliau menjawab: 

"Aku tidak melihatnya sebagai perkara haram. Namun, membiarkannya lebih aku sukai."
Begitulah yang dinukilkan oleh karya al-Baji dalam kitabnya al-Muntaqa. Bagaimanapun, sebahagian ulama berpendapat hukumnya haram. Mereka mentafsirkan makna larangan dalam hadis ini haram. Ibn al-Rif'ah menukilkan pendapat ini daripada kitab al-Umm karya al-Syafii.

Imam al-Nawawi berkata, dalam Majmuk: "Jika dikatakan haram mencabut uban kerana larangan yang sahih (daripada Nabi SAW), maka pendapat ini tidak dikira melampau. Tiada perbezaan antara mencabutnya dari rambut kepala ataupun janggut."

Jika saudara meminta pandangan peribadi saya, maka saya cenderung kepada pendapat jumhur ulama. Mencabut uban hukumnya makruh sahaja, bukan haram. Uban di atas kepala menandakan paras umur kita yang semakin tua, bermakna semakin hari semakin kita menghampiri ajal. Setiap kali melihat cermin dan terlihat uban di kepala yang semakin bertambah, ia boleh menjadi pemangkin dan motivasi untuk kita mempertingkatkan amal ibadah, Insya-Allah. Sumber

Jawapan 2

Membiarkan Uban Lelaki dan perempuan disunatkan memelihara atau membiarkan uban tanpa dicabut, kerana uban ini melambangkan seseorang itu telah berusia atau telah tua dan masa dia hidup di dunia ini sudah tidak lama lagi. Hal ini juga akan membuatkan seseorang itu sentiasa mengingati mati.

Orang yang menyimpan uban juga akan dihapuskan oleh Allah satu kesalahan yang telah dilakukannya. Rasulullah SAW bersabda : “Janganlah kamu mencabut uban, kerana ia merupakan cahaya bagi seorang muslim. Allah akan mencatat satu kebaikan, mengangkat satu darjat dan menghapus satu kesalahan dari setiap muslim yang beruban selama masih memeluk agama Islam.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, At-Tirmizi, An-Nasai dan Ibnu Majah). Sumber : Ustaz Noramin

Video Ustaz Azhar Idrus - Hukum Mencabut Uban



Semoga penerangan Hukum Mencabut Uban ini bermanfaat buat anda semua.

0 comment... add one now