Punca Dan Cara Mengatasi Masalah Perut Buncit

Punca Dan Cara Mengatasi Masalah Perut Buncit. Anda buncit atau boroi? Ya ianya memang menjejaskan penampilan. Malah, beberapa jenis penyakit turut berselindung di sebalik perut buncit itu yang mana saiznya tidak sepadan dengan keseluruhan tubuh pemiliknya. Perut buncit memang tidak selesa. Ia bukan sahaja membuatkan kita berasa cepat letih apabila melakukan pergerakan walaupun sekadar berjalan, perut yang buncit juga menjejaskan penampilan seseorang lantaran bentuk tubuh kelihatan tidak seimbang. Apakah sebab perut menjadi buncit?
hilangkan perut buncit

Cara Hilangkan Perut Buncit Cara Mudah Dan Sihat

Menurut pakar kesihatan Dr. Selfie C. Rijal, lemak yang menyebabkan kebuncitan pada perut sebenarnya terdiri daripada dua jenis. Pertama, lemak yang disimpan oleh tubuh di bawah kulit atau yang biasanya dipanggil lemak subkutaneus.  Kedua, lemak yang disimpan oleh tubuh di rongga perut dan mengelilingi organ-organ di dalam perut, yang dikenali sebagai lemak viseral. 

Lemak viseral yang berada di sekeliling perut adalah sumber asid lemak bebas yang terus masuk ke hati melalui vena portal (vena besar yang membawa darah dari usus ke hati). Lemak ini tahan dengan kesan insulin (hormon yang mengawal metabolisme karbohidrat).  "Semakin tinggi jumlah lemak viseral ini, maka semakin buncitlah orang itu," ujarnya. Beliau menegaskan yang jumlah lemak viseral adalah berkait langsung dengan tahap kebuncitan perut. 


Doktor lulusan Universiti Padjajaran itu juga menjelaskan bahawa antara kedua-dua jenis lemak itu, lemak viseral nyata lebih berbahaya. Ini kerana lemak viseral mempunyai kaitan    dengan metabolisme seperti pertahanan insulin, diabetes, serta sistem peredaran darah. 

Menurut doktor yang kini berkhidmat di Hospital Sari Asih, Tangerang itu lagi, semakin buncit perut seseorang, semakin tinggilah kemungkinan dia mengalami ketahanan insulin. Keadaan ini boleh membawa kepada beberapa penyakit.  Antara penyakit yang mudah hinggap ialah sakit jantung, strok, beberapa jenis kanser, diabetes jenis 2, serta kekebalan insulin. "Memang orang buncit berisiko besar mendapat pelbagai penyakit. Sebab itulah perut buncit adalah perkara yang perlu dirisaukan," tegasnya.

Cara Mengatasi Masalah Perut Buncit

Bagaimana mengatasinya? Berikut adalah beberapa tip untuk hilangkan perut buncit atau boroi cara mudah dan sihat daripada Dr. Selfie: 

1.   Makan lemak sihat 
Percaya atau tidak, program diet rendah lemak tidak akan menghilangkan perut buncit. Perkara itu didedahkan oleh Profesor Dr. Mehmet Oz, dari Colombia University.  Sebenarnya perkara yang harus dilakukan ialah berhenti makan nasi putih dan menggantikannya dengan roti gandum murni. Makanlah lemak sihat seperti avokado dan minyak zaitun. 

2.  Turuti keinginan tubuh 
Kajian American Journal of Clinical Nutrition mendapati, jika seseorang memenuhi keinginan tubuhnya ketika lapar, dia akan cenderung makan lebih sedikit dalam tempoh tertentu.  Apabila seseorang mengidam untuk makan burger keju, dia mungkin akan makan burger keju selama beberapa hari sebelum akhirnya tubuh akan berasa bosan dan mengurangkan keinginan terhadap makanan itu.  Namun pastikan saiz hidangannya tidak berlebihan. 
3.  Kurangkan saiz hidangan 
Kajian oleh seorang pembantu profesor pemakanan di University of Illinois, Chicago, Krista Varady, mendapati orang yang mengurangkan jumlah hidangan hariannya sehingga 25 peratus, akan kehilangan berat badan sehingga 15 kg dalam 8 minggu. Makan secara terkawal  pada hujung minggu juga dapat membantu seseorang mengurangkan berat badan. 

4.  Senaman sit-up tidak menghilangkan lemak 
Sebanyak mana pun sit-up yang anda lakukan, ia tidak akan menyingkirkan lemak di perut. Sit-upakan menguatkan otot namun lemak sukar terbakar hanya dengan senaman itu. Sebaliknya, lakukan latihan menyeluruh di otot besar yang lain seperti kaki, bahu dan dada agar proses pembakaran lemak lebih optimum. 

5.   Banyakkan senaman kardio 
Apabila otot besar sudah dikuatkan dengan latihan beban, maka seterusnya lakukanlah senaman kardio bagi mempercepatkan proses pembakaran lemak.  Berlari atau melakukan senaman aerobik dapat membantu membakar kalori berlebihan dengan syarat pengambilan  lemak buruk dihentikan. 

6.  Jangan kurang / lebih tidur
Kurang tidur akan membuatkan kadar metabolisme tubuh berkurangan sekali gus menyukarkannya membakar lemak.  Manakala tidur berlebihan pula akan membuatkan tubuh menjadi pasif dan terbiasa untuk tidak banyak bergerak. Kedua-duanya mengakibatkan lemak berkumpul dengan lebih cepat. 

7.   Berhenti minum minuman bersoda (termasuk soda berlabel "Diet") 
Kajian selama 10 tahun oleh University of Texas mendapati mereka yang kerap minum soda diet menjadi gemuk dengan lebih cepat berbanding mereka yang tidak minum minuman itu. Ini kerana pemanis tiruan dalam soda boleh membuatkan perut buncit lebih pantas dan mengundang rasa lapar dengan lebih cepat. Gantilah minuman ini dengan teh atau air lemon kosong. 

8.  Bertafakur
Tahukah anda, ketika berdoa dan bertafakur, pengeluaran hormon stres kortisol akan berkurangan? Ya, inilah hormon yang menyebabkan perut buncit. Jadi, hindarilah stres, perbanyakkan berdoa dan bertafakur untuk menenangkan fikiran dan jiwa. Walaupun hanya 15 minit setiap hari, ia sudah cukup membantu. 

9.  Gula yang sihat 

Makan makanan manis sudah menjadi budaya orang Malaysia, namun biarlah manis yang sihat. Buah-buahan mengandungi gula semula jadi, begitu juga madu. Apabila makan makanan yang mengandungi gula seperti kerepek dan nasi putih, sebahagian besar kalori yang dimakan akan berubah menjadi lemak di perut. 

10. Bersenam secara bijak, bukan secara keras 

Apabila lemak di perut kian berkurangan, maka tibalah masanya untuk memulakan senaman  perut. Bersenamlah sehingga terasa regangannya dan janganlah berlebihan melakukannya.  Otot perut yang mantap akan membantu seseorang  tampil lebih sihat dan segar - Yahoo Entertainment Malaysia

Punca Perut Buncit Dan Terus Boroi

Pakar kesihatan Dr. Selfie C. Rijal menjelaskan ada banyak faktor yang boleh menyebabkan perut menjadi buncitPertama, faktor keturunan.
Perut Buncit dan boroi
“Faktor keturunan yang diwarisi daripada orang tua secara umumnya sukar dielakkan,” ujar Selfie.
Kedua ialah faktor penuaan. Dengan bertambahnya usia, penghasilan hormon dehidroepiandrosteron (DHEA) mulai berkurangan.  Hasil kajian oleh Harvard Women's Health Watch mendapati wujudnya kaitan antara penurunan hormon ini dengan peningkatan pengumpulan lemak di perut.
Faktor ketiga ialah makanan dan minuman tertentu.  Doktor lulusan Universiti Padjajaran itu menjelaskan gula dan alkohol terutamanya yang terkandung dalam bir, adalah musuh utama kerana ia boleh membuatkan otot menjadi kendur.
Daripada segi pemakanan, katanya alkohol amat berbahaya bagi tubuh.  Ini kerana alkohol mengandungi  kalori yang tinggi, sama seperti kalori dalam makanan berlemak.  Selain itu, meminum alkohol akan memaksa hati bekerja lebih keras untuk menyingkirkan alkohol dan pada masa sama proses menyaring gula akan tertangguh.
“Gula itu kemudiannya terpaksa disimpan dalam tubuh sebagai lemak.  Pada masa sama, alkohol juga  dapat meningkatkan nafsu makan,” ujar doktrr yang bertugas di Hospital Sari Asih, Tangerang, Banten itu.
Menurut Selfie, makanan segera juga boleh mengakibatkan perut menjadi buncit berikutan jumlah kalori dan lemaknya yang sangat tinggi. Tidak ketinggalan, susu. Jika yang diminum itu ialah susu berkalori tinggi, maka ia boleh menyumbang kepada kebuncitan perut. “Justeru sebaik- sebaiknya minumlah susu rendah kalori,” tegas beliau.
Penyebab keempat bagi perut buncit ialah tembakau. Ia boleh menjejaskan aktiviti penghadaman. Selfie berkata biasanya ketika merokok selepas makan, perut akan berasa kembung kerana penghadaman terganggu.
Penyebab kelima, stres.  Menurut Selfie, keadaan psikologi seseorang mampu mengganggu aktiviti semula jadi tubuh termasuklah sistem penghadamannya. Stres juga boleh mencetuskan rasa kenyang dan menimbulkan masalah pada keupayaan tubuh menyimpan lemak. Akibatnya, perut kelihatan lebih mengembang. “Untuk mengatasinya, belajarlah untuk lebih relaks serta bernafas secara perlahan dan mendalam,” jelas beliau.
Dalam pada itu Selfie mengingatkan bahawa golongan wanita yang biasanya lebih mudah dilanda stress, cenderung memiliki lemak berlebihan di perut, meski pun berat badannya normal.  Keadaan ini mungkin diakibatkan oleh kesan hormon stres kortisol yang membuatkan lemak terkumpul di sekitar perut.
Penyebab keenam mempunyai kaitan dengan perubahan hormon, terutamanya ketika menopaus. Keadaan ini menyebabkan pengeluaran hormon seks estrogen berkurangan sekali gus membawa kepada pengumpulan lemak pada perut. 
Tumpukan lemak yang tidak sekata boleh membuatkan orang yang bertubuh kecil, buncit perutnya. Sememangnya ia kelihatan amat tidak selesa.  Jelas Selfie, keadaan ini berpunca daripada pengambilan karbohidrat secara berlebihan seperti nasi dan makanan berasaskan tepung seperti mi, bihun dan ladu, dalam kuantiti yang banyak.  Akibatya, karbohidrat yang berlebihan akan disimpan dalam bentuk lemak terutamanya di perut, atau lebih tepatnya di rongga-rongga di antara organ dalam perut.
“Penumpukan lemak di perut juga menjadi petunjuk bahawa kurangnya aktiviti fizikal dan penurunan kadar metabolisme tubuh,” jelas Selfie.  Jelas beliau, “Faktor utama yang membawa kepada kebuncitan perut adalah gaya hidup dan iklan yang berleluasa di pelbagai media.”
Benarkah perut akan buncit apabila seseorang terus tidur selepas makan? “Ya, benar.  Perut akan menjadi buncit kerana proses penghadaman tidak dapat berfungsi dengan baik,” ujarnya. 
Begitu juga dengan minuman bersoda.  Minuman jenis ini boleh membuatkan perut menjadi kembung dan akhirnya membuncit. “Gelembung-gelembung udara dalam minuman berkarbonat boleh mengakibatkan perut buncit,” jelas Selfie.

3 comments.. read them below or add one

mr.pingu mr.pingu 10 February, 2013
tip baik tqvm buncit dh pewot sy
terengganulegend terengganulegend 11 February, 2013
haha nak try.. kita pun dah nak masuk kategori ni.. hehe
Gary Edwin Gary Edwin 06 November, 2016
@-)okey lepas ni kena jaga pemakanan huhuhu