Contoh Karangan BM PMR - Masalah Sosial

Karangan Bahasa Melayu PMR

Contoh Karangan BM PMR  - Masalah Sosial/Masalah Disiplin/Keruntuhan Akhlak
Soalan Contoh:                                                                                                           
Gejala gengsterisme semakin menjadi-jadi pada masa ini. Keadaan ini amat membimbangkan masyarakat keseluruhannya. Bincangkan langkah-langkah yang boleh diambil untuk membendung gejala ini daripada terus menular.


   Sejak kebelakangan ini, gejala gangsterisme semakin menjadi-jadi di negara kita. Perkara ini tidak akan ada penamatnya jika tidak dipandang berat oleh semua pihak. Gejala ini dapat dilihat dengan jelas apabila berlakunya peningkatan mengenai kes ini dalam dada-dada akhbar dan perkara sebegini telah membimbangkan masyarakat kita. Tegasnya, pelbagai langkah yang proaktif dan konkrit sewajarnya  diambil bagi menangani masalah ini.

   Antara langkah yang boleh diambil bagi mengurangkan masalah ini ialah ibu bapa mestilah memantau dan mengambil berat dengan setiap aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak. Hal ini demikian kerana pada masa ini ibu bapa lebih banyak mementingkan kerjaya dan wang berbanding meluangkan waktu bersama-sama anak-anak di rumah bak kata pepatah ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’. Lantaran itu, anak-anak akan mudah untuk melakukan perkara-perkara yang tidak baik. Selagi ibu bapa kurang memberikan perhatian kepada anak-anak, selagi itulah perkara ini tidak boleh diselesaikan.

   Selain itu, setiap individu mestilah pandai dalam memilih rakan. Hal ini demikian kerana remaja pada masa ini lebih banyak membazirkan waktu mereka bersama-sama rakan-rakan sebaya hanya untuk menginginkan kebebasan. Implikasinya, remaja-remaja akan terjerumus dalam melakukan aktiviti yang tidak sihat. Tamsilnya, mereka akan mengikut kumpulan-kumpulan gangster dan sebagainya. Jika perkara sebegini masih berleluasa maka kes-kes seperti ini tidak akan berkurangan.

   Di samping itu, pihak kaunselor sekolah juga perlulah mengambil inisiatif dalam membendung masalah ini dengan cara mengadakan program yang berkaitan dengan masalah pelajar di sekolah. Hal ini disebabkan kerana remaja sekarang lebih suka membuang masa dengan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah berbanding menyertai program yang memberi keinsafan dan pengajaran. Dengan ini, pelajar yang bermasalah akan berminat untuk menyertai program yang diadakan ini. Sebagai contoh, guru kaunselor mestilah dapat menarik minat pelajar-pelajar tersebut dengan cara berjumpa dan memberi nasihat kepada pelajar itu. Dengan adanya cara sebegini, remaja-remaja akan berubah dan insaf jika mengikuti program tersebut.

   Konklusinya, kita seharusnya mengambil langkah-langkah di atas bagi mengurangkan berlakunya gejala gangsterisme ini. Oleh itu, masyarakat juga mestilah prihatin terhadap setiap aktiviti yang dilakukan oleh remaja. Sekiranya perkara ini diambil berat, gejala ini dapat diatasi dengan mudah. Jelaslah bahawa peranan dan tanggungjawab semua pihak sangat penting bagi mengurangkan berlakunya gejala gangsterisme bak kata peribahasa ‘tepuk sebelah tangan tidak berbunyi’.

0 comment... add one now