MAS Bakal Kembali Untung Hujung Tahun 2017

MAS Bakal Kembali Untung Hujung Tahun 2017

MAS Bakal Kembali Untung Hujung Tahun 2017 | Khazanah Nasional Bhd hari ini mengumumkan pakej 12 pelan pemulihan semula untuk MAS kembali untung dalam tempoh tiga tahun, menjelang hujung 2017.
Pengarah Urusan, Tan Sri Azman Mokhtar, Pelan Pemulihan MAS itu yang dijangka membabitkan kos RM6 bilion, antara lain akan membabitkan penubuhan sebuah syarikat baharu (NewCo).
Katanya, MAS akan dikeluarkan daripada penyenaraian menjelang hujung 2014, diikuti pemindahan aset dan liabiliti kepada NewCo menjelang 1 Julai 2015.
Beliau berkata, Newco disasar kembali untung tiga tahun selepas dikeluarkan daripada senaraian awam dan kemudian disenarai semula dalam tempoh antara tiga hingga lima tahun menjelang 2017-2019.
"Suntikan modal RM6 bilion merangkumi kos mengeluarkan penyenaraian OldCo sebanyak RM1.4 bilion, kos penyusunan semula dan pemberhentian kakitangan (RM1.6 bilion) dan suntikan modal RM3 bilion dalam NewCo secara berperingkat dalam tiga tahun 2014-2016," katanya di sini hari ini.
Mengikut Azman, pelan pemulihan itu bukan langkah menyelamat kerana Khazanah akan memperoleh semula dana itu menerusi penyenaraian semula MAS menjelang hujung 2017-2019 menerusi NewCo.
Mengenai nama NewCo, Azman berkata, Khazanah cadangkan supaya nama Malaysia Airlines (MAS) dikekalkan bagi mengekalkan jenama dan identitinya.
Dalam pada itu, Azman berkata, Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya akan terus memimpin OldCo hingga 1 Julai 2015 apabila NewCo mula berkuat kuasa bagi melancarkan proses peralihan.
Sejajar rancangan itu, Khazanah turut memulakan proses pencarian CEO baharu yang dijangka diumumkan sebelum akhir tahun ini.
Mengikut pelan pemulihan itu, MAS akan menyusun semula model perniagaan dengan fokus yang lebih kepada rangkaian serantau, menurunkan struktur kos dan penekanan kepada pengurusan pulangan hasil.
"Peralihan kepada NewCo akan menyediakan peluang kepada MAS Baharu untuk merundingkan semula kontrak pembekalan dan lain-lain berdasarkan norma dan penanda aras pasaran," katanya.
Pemindahan aset dan liabiliti serta suntikan pembiayaan baharu tetapi dengan syarat yang lebih ketat kepada NewCo, disasar menurunkan struktur kos berdasarkan amalan dan penanda aras industri, dengan penjimatan sebahagian besarnya datang daripada kontrak perbekalan lebih baik dan kos tenaga kerja.
Sehubungan itu, model perniagaan baharu NewCo menyebabkan entiti itu hanya memerlukan 14,000 kakitangan, sekali gus kira-kira 30 peratus atau 6,000 daripada 20,000 pekerja semasa akan dikurangkan.
Bagaimanapun, Azman berkata, MAS dan Khazanah komited membantu setiap kakitangan yang diberhentikan, bagi mengurangkan kesan negatif kepada kualiti hidup mereka.
Khazanah akan melabur dalam penubuhan Pusat Latihan Semula Korporat di Subang untuk menyusun aspek latihan semula kakitangan MAS yang tidak menyertai syarikat baharu (NewCo).
Dalam perkembangan sama, selain pampasan kewangan, Khazanah dan MAS juga sudah memeterai persefahaman (MoU) dengan dua syarikat untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada kira-kira 3,500 kakitangan MAS yang akan diberhentikan.
Selain itu, turut diberi penekanan dalam pelan pemulihan itu ialah penyatuan operasi dan ibu pejabat MAS dari Subang sekarang ke Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).
Langkah itu akan membolehkan MAS menggabungkan operasi, menambah baik cara kerja sekali gus menandakan permulaan baharu MAS Baharu, kata Azman.
Pelan itu juga membabitkan pengukuhan aspek keselamatan, integriti dan fungsi keselamatan. Ini termasuk penubuhan Jawatankuasa Etika dan Tadbir Urus dan Audit Keselamatan Operasi IATA.
Selain itu, antara komponen kritikal pelan pemulihan MAS ialah aspek hubungan perindustrian yang lebih baik.
Antara langkah dan amalan baharu yang akan diperkenalkan termasuk pengenalan Panel Perundingan Kakitangan yang akan meletakkan kakitangan, kesatuan sekerja dan pengurusan dalam satu jajaran tujuan sama.
Dalam aspek mendapatkan sokongan kawal selia dan persekitaran yang menyokong, Suruhanjaya Penerbangan juga akan diwujudkan bagi mengawal selia industri penerbangan.
Sementara tertakluk kepada kelulusan Parlimen, Akta MAS akan diwujudkan untuk membolehkan suatu perundangan dirumus bagi menyokong pelan pemulihan MAS secara komprensif dan tepat pada masanya.
Khazanah ialah syarikat induk MAS yang menguasai 69.4 peratus kepentingan. Pada 8 Ogos, Khazanah menawarkan membeli balik semua baki saham tidak dimilikinya dalam syarikat itu pada harga 27 sen seunit.
Ia adalah langkah pertama Pelan Pemulihan MAS bagi membolehkan syarikat penerbangan nasional itu dikeluarkan daripada senaraian awam Bursa Malaysia - BH online
KEPUTUSAN DAN JADUAL LIGA PERDANA INGGERIS 2014 SINI

0 comment... add one now