Senarai 6 Exco PKR Dan DAP Yang Dipecat Oleh Tan Sri Khalid Ibrahim

Senarai 6 Exco PKR Dan DAP Yang Dipecat Oleh Tan Sri Khalid Ibrahim

Senarai 6 Exco PKR Dan DAP Yang Dipecat Oleh Tan Sri Khalid Ibrahim : Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah menghantar surat kepada Sultan Selangor bagi memohon perkenan memecat tiga exco DAP dan tiga exco Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana membuat gagasan mengehadkan kuasa beliau sebagai menteri besar.

Khalid turut menegaskan bahawa pemecatan semua exco terbabit berkuatkuasa serta merta.

"Oleh itu, saya telah minta dan tulis surat kepada Sultan Selangor supaya mereka ini tidak meneruskan kerjaya sebagai exco kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Lobi Bangunan SUK di sini, sebentar tadi.

Enam exco itu adalah 
1) Datuk Teng Chang Khim, 2) Rodziah Ismail, 3) Ean Yong Hian Wah, 4) Wong Keat Ping, 5) Dr Daroyah Alwi dan 6) Ganabatirau Veraman.

Terdahulu, enam exco DAP dan PKR tersebut mengeluarkan kenyataan bersama bahawa Khalid tidak boleh membuat sebarang keputusan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tanpa melalui proses undian.

"Sebarang keputusan perlulah diundi supaya fungsi Khalid dihadkan kepada kapasiti peralihan," kata mereka.

Malah, mereka hanya mengiktiraf Khalid sebagai menteri besar Selangor dalam peralihan, sehingga Pakatan Rakyat memilih pengganti beliau.

Jelas Khalid lagi, surat pemecatan tersebut sudah diserahkan kepada lima ahli exco kecuali Rodziah yang kini berada di luar negara.

Sementara itu, Khalid turut memaklumkan telah mengadakan perjumpaan dengan  exco PAS bagi membincangkan mengenai inti pati mesyuarat exco pada Rabu.

"Kita bincang mengenai perkara penting yang perlu diutamakan agar pentadbiran di negeri ini terus mantap dan program yang dirancang dapat dilaksanakan," katanya.

Diminta mengulas mengenai spekulasi beliau telah menghantar borang menyertai PAS pagi tadi, Khalid bagaimanapun menafikan perkara tersebut.

"Tidak, tak ada," jawabnya ringkas - mStar online


0 comment... add one now