Lim Guan Eng Mohon Ampun Dari Sultan Selangor

Lim Guan Eng Dan Sultan SelangorSetiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini memohon ampun dari Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ini adalah ekoran perasaan dukacita dan kecewa yang dilafazkan oleh Tuanku diatas tindakan PKR dan DAP yang mengingkari titah baginda supaya mengemukakan lebih dua nama untuk dipertimbangkan sebagai calon Menteri Besar Selangor.

Lim berkata keputusan untuk hanya mengemukakan nama Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk dipertimbangkan sebagai calon Menteri Besar Selangor, dicapai selepas rundingan dengan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Rundingan itu adalah bahawa ia mengikut konvensyen yang dituruti sebelum ini berkaitan dengan perlantikan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor pada 2013, serta sokongan bertulis daripada majoriti 30 daripada 56 ADUN Selangor kepada Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar Selangor, dan kata sepakat Pakatan Rakyat (PR) bahawa calon Menteri Besar Selangor adalah daripada PKR,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim berkata DAP setia kepada institusi Raja Berperlembagaan yang tidak berbelah bagi dan akan berunding dengan Anwar tentang Sultan Selangor yang terkandung dalam kenyataan akhbar oleh Setiausaha Sulit Tuanku.

Semalam, Istana Selangor mengeluarkan sebuah kenyataan yang meluahkan rasa kecewa dan dukacita Sultan Selangor terhadap PKR dan DAP yang mengingkari arahannya.

“Sultan Selangor amat merasa dukacita di atas tindakan parti DAP dan PKR yang ingkar terhadap titah baginda bertarikh 27 Ogos 2014.

"Tindakan parti DAP dan PKR ini menggambarkan kebiadapan kepada institusi raja dan merupakan satu perbuatan derhaka kepada Sultan Selangor," kata Sultan Selangor melalui kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Sulitnya Datuk Mohamad Munir Bani.

Munir berkata, Sultan Selangor akan meneliti senarai calon yang dikemukakan PAS, PKR, dan DAP dan mengambil kira segala aspek sebelum keputusan dibuat.

"Dalam masa yang sama memandangkan kuasa melantik menteri besar Selangor terletak pada budi bicara Sultan Selangor, maka baginda juga akan meneliti nama-nama Adun yang lain daripada Pakatan Rakyat yang berkelayakan dan pada fikiran Sultan Selangor mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Negeri," katanya.

Setakat ini, hanya PAS akur dengan titah Tuanku untuk mencadangkan lebih daripada dua nama untuk dipertimbangkan sebagai calon Menteri Besar Selangor.

PAS, melalui presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dikatakan telah menghantar tiga nama anggota exco kerajaan negeri Selangor daripada parti itu, sebagai calon untuk jawatan tertinggi pentadbiran Selangor.

Bagaimanapun, selepas berlaku sedikit kekecohan dalaman PAS, Hadi dilaporkan menghantar surat kedua kepada Sultan Selangor dan menamakan dua Adun PKR dan seorang daripada PAS.

Pada 26 Ogos lepas, Sultan Selangor bertitah agar parti-parti dalam Pakatan Rakyat iaitu DAP, PKR dan PAS mengemukakan lebih daripada dua nama sebagai calon Menteri Besar yang baharu.

Baginda bertitah demikian selepas menangguhkan untuk menerima peletakan Khalid sebagai Menteri Besar sehingga proses pelantikan Menteri Besar baharu selesai.

PKR dan DAP, bagaimanapun, sehingga kini kekal dengan keputusan mereka mahukan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal Menteri Besar yang baharu - Astro Awani

KEPUTUSAN DAN JADUAL LIGA PERDANA INGGERIS 2014 SINI

0 comment... add one now