Punca Polis Tahan Ratusan Anggota PPS Pulau Pinang

Anggota PPS Pulau Pinang

Punca Polis Tahan Ratusan Anggota PPS Pulau PinangTindakan menahan Pengerusi Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang Phee Boon Poh dan 154 anggotanya adalah mengikut undang-undang dan tidak menyalahi undang-undang.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata polis mempunyai kuasa dan hak untuk bertindak demikian kerana PPS secara rasmi diisytiharkan sebagai pertubuhan tidak sah oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

"Tindakan oleh Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan tangkapan adalah berdasarkan kepada surat rasmi yang dihantar oleh ROS bahawa PPS adalah kumpulan atau organisasi tidak berdaftar.

"Ia dilakukan bukan kerana respons daripada mana-mana parti politik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Segambut, di sini, Isnin.
Menurut Zahid, tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mencabar Tan Sri Khalid Abu Bakar juga membawa kepada tindakan susulan diambil oleh pihak polis.
Katanya, Guan Eng sepatutnya menyertai pertubuhan atau organisasi keselamatan lain yang berdaftar seperti Rela, polis komuniti atau Rakan Cop untuk sama-sama membantu polis bagi memastikan keselamatan orang awam.

"Walaupun polis mengalu-alukan individu atau organisasi untuk sama-sama membantu polis, tindakan mencabar undang-undang bukanlah tindakan yang bijak.

"Saya bersetuju dari segi keselamatan dan pertahanan negara, perbezaan pendapat tidak harus timbul," katanya.

Mengulas lanjut, Zahid yang juga naib presiden Umno berkata polis menerima maklumat bahawa terdapat anggota PPS yang bertindak seolah-olah mereka mempunyai kuasa sebagai anggota polis.

"Ada di kalangan mereka yang pukul orang, mengugut, melakukan kekasaran dan mengeluarkan kata-kata kesat.

"Mereka bertindak di luar perundangan seolah-olah mereka menggunakan kuasa polis. Dari segi operasi biarlah polis yang lakukan," katanya.

Beliau berkata ROS telah lama menasihatkan PPS supaya menghentikan aktiviti-aktivitinya tetapi tidak diendahkan.


Katanya, tangkapan ketika perbarisan Hari Kemerdekaan dilakukan ekoran kenyataan Guan Eng terdahulu yang mencabar undang-undang dan Khalid.

Zahid turut menggesa supaya tindakan cabar-mencabar mengenai isu ini dihentikan segera.

Polis, pada Ahad menahan Boon Poh dan mengambil keterangan Guan Eng bagi membantu siasatan berhubung pasukan yang ditubuh kerajaan negeri pimpinan DAP itu.

Terdahulu pada hari yang sama, polis telah menahan 154 anggota PPS selepas mereka menyertai perbarisan Hari Kemerdekaan di Padang Kota - mStar online
KEPUTUSAN DAN JADUAL LIGA PERDANA INGGERIS 2014 SINI

0 comment... add one now