Tarikh Puasa Sunat Arafah Di Malaysia Dan Kelebihannya

Tarikh Puasa Sunat Arafah Di Malaysia Dan Kelebihannya MAKKAH: Umat Islam di Malaysia disunatkan berpuasa pada 9 Zulhijjah 1435 Hijrah yang jatuh pada 4 Okt depan mengikut kalendar setempat, menurut pakar rujuk ibadah haji, Datuk Fadzil Awang.
Tarikh Puasa Sunat Arafah
Beliau berkata, umat Islam di Malaysia tidak perlu berpuasa sunat Arafah mengikut kalendar Arab Saudi yang menetapkan 9 Zulhijjah jatuh pada 3 Oktober.
Fadzil berkata demikian apabila diminta menjelaskan kekeliruan di kalangan sebilangan umat Islam mengenai tarikh puasa sunat Arafah sama ada perlu mengikut kalendar setempat atau kalendar Arab Saudi.
Puasa Sunat Arafah
Beliau ditemui oleh media Malaysia semasa mengiringi Ketua Rombongan Haji Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman meninjau persiapan pusat perkhemahan jemaah haji Malaysia di Arafah, Mudzalifah dan Mina, serta menghadiri majlis bacaan Yasin dan doa selamat di Arafah.
Pada 24 September lalu, Mahkamah Agung Arab Saudi mengumumkan Hari Arafah atau juga dikenali Hari Wukuf, yang merupakan kemuncak ibadah haji, ditetapkan pada 3 Oktober dan Aidiladha disambut pada hari berikutnya berikutan beberapa individu melihat anak bulan Zulhijjah pada Rabu.
Mahkamah Agung itu juga mengumumkan Khamis adalah hari pertama Zulhijjah.
Di Malaysia, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan pada Rabu, umat Islam di negara itu akan menyambut Aidiladha pada 5 Oktober depan yang bersamaan 10 Zulhijjah, dan 1 Zulhijjah jatuh pada Jumaat (26 September).
Fadzil berkata, puasa sunat hari Arafah iaitu pada 9 Zulhijjah, disunatkan bagi mereka yang tidak melakukan ibadah haji, mempunyai ganjaran yang besar.
"Kelebihan berpuasa pada hari ini ialah ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun yang telah lalu dan dosa setahun yang akan datang, berdasarkan hadis Nabi Muhammad," katanya.
Beliau berkata, jemaah haji tidak digalakkan berpuasa kerana pada masa itu adalah kemuncak ibadah haji, iaitu wukuf di Padang Arafah dan mereka memerlukan tenaga dan kekuatan untuk menumpukan kepada ibadah yang perlu mereka lakukan semasa wukuf.
"Jika berpuasa, dikhuatiri akan memberi kesan kepada tenaga mereka dan tidak dapat menjalankan ibadah dengan sebaik mungkin," katanya.
Fadzil mengingatkan jemaah haji supaya memaksimakan manfaat di Arafah dengan sebaik-baiknya semasa di Arafah dengan berdoa, beristighfar, berzikir dan membaca al-Quran, terutama surah Al-Haj.
Beliau berkata ada ulamak yang menggalakkan jemaah haji membaca surah Al-Ikhlas sebanyak 1,000 kali, kerana sesiapa yang berbuat demikian doanya akan dimakbulkan Allah.
Menyentuh mengenai hari wukuf di Arafah pada hari Jumaat yang dikatakan sebagai Haji Akbar iaitu haji besar, beliau berkata ada beberapa pandangan ulamak mengatakan hari wukuf itu adalah Haji Akbar.
Ada pula mengatakan Hari Raya Aidiladha itu Haji Akbar dan ada pula berpendapat bahawa wukuf pada hari Jumaat itu Haji Akbar memandangkan beberapa peristiwa besar yang berlaku pada wukuf hari Jumaat termasuk Nabi Muhammad menyampaikan khutbah Jumaat terakhirnya di Padang Arafah iaitu pada 9 Zulhijjah tahun 10 hijrah.
Pada hari itu juga turunnya Surah Al-Maidah ayat 3 sesudah waktu Asar, katanya.
Fadzil berkata, jemaah haji perlu menggunakan masa wukuf itu dengan sebaiknya terutama wukuf kali ini pada hari Jumaat kerana dikatakan mempunyai ganjaran sebanyak 70 kali haji, apatah lagi berhadapan dengan cuaca yang panas dan berdebu.
- BERNAMA

0 comment... add one now