Contoh Karangan Kesan Kemasukan Pendatang Asing

Contoh Karangan Bahagian A - SPM. Berikut dikongsikan contoh karangan Bahasa Melayu Bahagian A Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bertajuk Kesan Kemasukan Pendatang Asing dan Langkah-langkah Mengawal Kemasukan Pendatang Asing. 

Kesan Kemasukan Pendatang Asing

Saban  hari  kedatangan  pekerja  asing  ke  negara  kita  semakin  meningkat bagaikan cendawan  yang  tumbuh  selepas  hujan.  Merujuk  kamus,  pekerja asing  bermaksud  tenaga kerja  yang  datang  dari  negara  lain  seperti Indonesia,  Bangladesh,  Filipina,  Thailand,  dan sebagainya.  Negara  kita dianggap  sebagai  lombong  emas  kerana  negara  kita  mempunyai banyak peluang  pekerjaan  dalam  pelbagai  sektor  pekerjaan  seperti  sektor pertanian, perkilangan, pembinaan dan perladangan. 

Dasar kerajaan yang membuka lebih luas peluang pelaburan  dan  memberi layanan  serta kemudahan  kepada  pelabur  asing untuk  membina kilang mereka di negara ini turut merancakkan kedatangan  mereka lagi. Walaupun kehadiran mereka dapat  membantu  membangunkan  ekonomi  negara, namun terdapat beberapa  kesan negatif  apabila  pekerja  asing  masuk  ke  negara kita secara tidak  terkawal.

Langkah-Langkah Pengawalan

Oleh  yang demikian,  langkah-langkah  pengawalan  harus  diambil  secara berkesan seperti  menarik rambut dalam tepung, rambut tidak terputus manakala tepung tidak berserak memandangkan hal ini melibatkan hubungan diplomatik antara negara.

Pada  realitinya,  memang  tidak  dapat  dinafikan  bahawa  kemasukan  pekerja asing menyebabkan  peluang  pekerjaan  penduduk  tempatan  tersekat berikutan dengan  sikap majikan  di  negara  ini  yang  gemar  mengupah pekerja  asing  kerana  kadar upah  mereka  jauh lebih  murah  berbanding mengupah  pekerja-pekerja  tempatan  yang  lebih mahal. 

Sikap  tidak memilih pekerja haruslah wujud dalam peribadi pekerja tempatan. Jika mentaliti sedemikian diteruskan  tanpa  mengubah  sebarang  persepsi, hidup  penduduk  tempatan tersepit.  Sikap majikan yang ibarat peribahasa “kera di hutan disusui, anak di rumah  mati kelaparan” akan memberi impak negatif kepada rakyat tempatan. Buktinya, hampir 2.1 juta rakyat tempatan hilang  peluang  pekerjaan  dan kadar  pengangguran  semakin meningkat dalam  kalangan pekerja tempatan.

Sudah  terang  lagi  bersuluh,  kemasukan  pekerja  asing  tanpa  kawalan menyebabkan peningkatan  kadar  jenayah  di  negara  ini.  Pelbagai  jenayah akan  dilakukan oleh  pekerja tempatan berikutan tidak mempunyai gaji yang mencukupi dan tidak mempunyai pekerjaan.

Tambahan  pula,  kos  sara  hidup  pada  era  globalisasi  ini  semakin meningkat  sebagai  akibat kemelut  ekonomi  global.  Kejadian  pecah  rumah, kecurian,  rogol,  rusuhan, dan  lain-lain mungkin  akan  berlaku  jika  tiada sebarang  usaha  diimplementasikan  oleh pihak  kerajaan.

Peningkatan kadar jenayah ini juga melibatkan pekerja asing yang masuk ke Malaysia tetapi tidak  mendapat  pekerjaan  seperti  yang  diharapkan sedangkan  mereka memerlukan  wang untuk  meneruskan  kelangsungan hidup.  Buktinya,  mantan  Ketua  polis Negara  (  KPN)  Tan Sri  Musa  Hassan mengakui  pendatang  asing  yang  melebihi  2.4  juta  orang di  negara  ini menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah.

Kesan Kepada Ekonomi

Di  samping  itu,  kemasukan  pekerja  asing  ini  juga  turut  memberi  kesan terhadap ekonomi  negara  kita.  Pengaliran  keluar  mata  wang  negara  pada kadar yang  banyak  pada setiap  bulan  bakal  merugikan  negara  dari  segi tukaran  wang  asing  dan menguntungkan negara  asal  pekerja  asing  ini.

Sistem  transaksi  canggih  di  bank-bank negara  kita menyumbang kepada proses pertukaran wang dapat dilakukan dengan mudah dan cepat serta perkhidmatan  yang  murah.  Menurut  statistik,  sebanyak  RM  9.124  juta telah  dihantar  ke negara  asal  pekerja  asing  antara  bulan  Januari  hingga Jun  setiap  tahun. Hal  ini  akan membebankan kewangan negara. Bukan itu sahaja, sebanyak RM1.169 juta digunakan sehari oleh  kerajaan  sebagai  kos untuk  penahanan  pendatang  asing  tanpa  izin (PATI  )  amat merugikan negara sekali gus mengganggu gugat  kerancakan ekonomi di negara kita.

Mengatasi Masalah

Setiap  penyakit  ada  penawarnya,  begitu  jugalah  setiap  masalah mempunyai  jalan penyelesaiannya  yang  tersendiri.  Jika  masalah  kemasukan pendatang  asing ini  ditangani secara efektif, pastinya kadar kemasukan pendatang asing ini mampu dikurangkan. Terdapat beberapa  langkah  yang dapat  diimplementasikan  oleh  pihak  kerajaan  serta majikan. 

Pihak majikan  khasnya,  perlu  mengehadkan  kebergantungan  kepada  buruh asing kerana  mampu menimbulkan  pelbagai  masalah  sosial  dan keselamatan.  Pengambilan pekerja  asing  dalam sektor-sektor  tertentu hendaklah  mengikut  sumber  negara  yang  diluluskan kerajaan. 

Pihak berkuasa  akan  mampu  memantau  kehadiran  dan  pergerakan  warga asing di  negara  ini. Dengan  mengehadkan  penyertaan  pekerja  asing  dalam sektor  perladangan dan  pembantu rumah,  mudahlah  rakyat  serta  pihak berkuasa  mempersoal  dan mengambil tindakan  segera ke  atas  kehadiran rakyat  asing  yang  tiada permit  kerja  dalam  sektor-sektor  yang ditetapkan oleh  kerajaan.  Jelasnya,  pihak  ejen  dan  majikan  yang mengambil  pekerja asing  perlu memenuhi  syarat-syarat  yang  ditetapkan oleh  kerajaan  sekali  gus membuka  peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Seterusnya,  penguatkuasaan  undang-undang  haruslah  dilakukan  dengan lebih tegas. Sikap seperti melepaskan batuk di tangga tidak seharusnya diamalkan oleh pihak yang bertanggungjawab. Hal  ini  kerana  banyak  pekerja asing  terdiri  daripada pendatang  haram yang menyusup masuk dengan menggunakan dokumen palsu. Akta imigresen perlulah lebih tegas  agar pendatang  haram  ini  tidak  berani  bertindak  lebih  jauh. Perairan  negara juga haruslah  dikawal  sepanjang  masa  untuk  mengelakkan  mereka menyusup melalui  jalan laut. Jika  semua  pihak  yang  berkenaan  memainkan tanggungjawab  secara berkesan,  tidak mustahil masalah kemasukan pendatang asing dapat diatasi dari akar umbinya.

Kesimpulan

Tuntas bicara, walaupun kedatangan pekerja asing ini ada kebaikannya namun, pihak kerajaan  haruslah  mengkaji  segala  aspek  dari  segi  ekonomi,  politik, dan sosial  demi kesejahteraan dan pembangunan negara kita selaras dengan wawasan 2020. Tanggungjawab ini  bukan  sahaja  terletak  pada  bahu  pihak kerajaan  semata-mata sebaliknya  menuntut kerjasama  dan  sokongan  semua pihak.  Sesungguhnya,  peribahasa  bukit sama  didaki,  lurah sama  dituruni wajar  diamalkan  oleh  semua  pihak  waima  pihak  kerajaan, majikan mahupun rakyat  negara  ini  yang  mempunyai  peranannya  yang  tersendiri. 

Hal  ini sangat  penting  bagi memastikan implikasi negatif akibat kemasukan pekerjaan asing secara berleluasa ke negara kita  dapat  diatasi  melalui pelbagai  langkah  yang  dirancang  dan diimplementasikan  secara bijak dan berkesan sekali gus dapat mencapai matlamatnya.

0 comment... add one now