Indonesia Isytihar Jokowi Presiden Baharu Isnin ini

Indonesia Isytihar Jokowi Presiden Baharu Isnin iniJAKARTA: Bekas Gabenor Jakarta, Joko Widodo mengambil alih jawatan Presiden Indonesia Isnin ini, 20 Oktober 2014 bagi menggantikan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.
Presiden Jokowi
Jokowi
Upacara pengisytiharan presiden baharu Indonesia itu di Parlimen akan dihadiri orang kenamaan asing termasuk Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry dan Perdana Menteri Australia, Tony Abbott.
Sejurus selepas upacara berkenaan, Joko yang juga dikenali dengan nama Jokowi, akan dibawa mengelilingi bandaraya Jakarta dengan kereta kuda, dengan diiringi perarakan, menuju ke Istana Presiden. Pada sebelah petangnya, peminat muzik 'heavy metal' dijangka dapat menyaksikan satu persembahan konsert rock terbuka.
Kira-kira 24,000 anggota polis dan tentera ditugaskan di merata tempat bagi menjaga keamanan dan keselamatan sempena sambutan itu.
"Ia adalah detik bersejarah bagi Indonesia untuk mempunyai Jokowi sebagai presiden," kata penganalisis politik Tobias Basuki yang menganggotai kumpulan pemikir, Pusat Strategik dan Kajian Antarabangsa.
Katanya, bekas pengeksport perabot berusia 53 tahun itu menarik perhatian rakyat Indonesia ketika menjadi Gabenor Jakarta sebagai 'rakyat biasa', berbanding sebelum ini pemimpinnya terdiri daripada golongan elit politik dan tentera sejak kejatuhan Suharto pada 1998.
Jokowi menghadapi tugas mencabar bagi mengetuai sebuah negara dengan jumlah penduduk seramai 250 juta orang yang tinggal di lebih 17,000 pulau.
Pertumbuhan di negara Asia Tenggara itu adalah terendah dalam tempoh lima tahun sementara rasuah pula berleluasa.
Sokongan terhadap perjuangan kumpulan Negara Islam (IS) juga menimbulkan kebimbangan mengenai kewujudan satu generasi radikal di negara paling ramai penganut agama Islam di dunia itu.
Namun Jumaat lalu sesuatu yang tidak dijangka berlaku apabila calon pilihan raya presiden yang tewas, Jeneral Prabowo Subianto menemui Joko buat pertama kalinya sejak pilihan raya lalu dan mengisytiharkan sokongannya, satu keadaan yang dianggap sebagai pusingan U dramatik bagi bekas jeneral itu yang sebelum ini seolah-olah tidak dapat menerima kekalahannya.
"Saya menyampaikan kepada parti yang saya pimpin, rakan dan penyokong saya, supaya menyokong Jokowi dan kerajaannya," kata tokoh kontroversi itu yang pernah berkahwin dengan anak perempuan Suharto.
Pertemuan itu memberi harapan baharu kepada Joko bahawa beliau akan lebih mudah melaksanakan agenda pembaharuannya di Parlimen, di mana penyokong Prabowo mempunyai majoriti, yang baru-baru ini memansuhkan pilihan raya pemimpin tempatan, langkah yang ditentang Joko.
Bagaimanapun, penganalisis memberi amaran bahawa perdamaian itu tidak kekal lama dan Prabowo masih membuka ruang bagi penentangan pada masa depan apabila berkata pihaknya bersedia untuk mengecam dasar kerajaan.
Pemerhati berpendapat, walaupun tanpa tentangan daripada Prabowo, keadaan masih lagi sukar bagi Joko, pemimpin yang agak asing dalam dunia politik, untuk melakukan pembaharuan besar bertujuan memulihkan ekonomi dan menambah baik kemudahan perubatan dan pendidikan di negara yang dibelenggu rasuah itu.
Ujian pertama beliau ialah pengurangan subsidi bahan api yang mencakupi kira-kira satu perlima daripada bajet kerajaan.
Pihak pelabur yang menyokong kuat Joko juga akan menunggu pengumuman Kabinet yang dijangka minggu depan, untuk melihat siapa mendapat portfolio kewangan dan ekonomi.
Upacara mengangkat sumpah Isnin ini menandakan penghujung kepada pelantikan Joko ke jawatan tinggi itu.
Selepas dibesarkan di pondok yang diperbuat daripada buluh, beliau menjadi pengeksport perabot yang berjaya, menyertai politik sebagai datuk bandar di sebuah pekan kecil dan dipilih sebagai Gabenor Jakarta pada 2012.
Joko dikatakan mampu berpaut hati ramai pengundi kerana imejnya yang bersahaja.
Ada kalanya beliau melakukan lawatan ke kawasan terpinggir di Jakarta dengan hanya berpakaian biasa.
Namun perjalanan beliau ke jawatan presiden bukanlah sesuatu yang mudah, kerana sokongan besar yang diperoleh selama beberapa bulan jatuh merudum sebelum hari pengundian, tapi akhirnya sokongan popular terhadapnya memberi juga kejayaan kepadanya.
Apa juga yang Joko lakukan dalam tempoh lima tahun akan datang ini, membawa bersamanya pengharapan tinggi bagi pemimpin pertama negara berkenaan yang tidak lagi mewakili golongan autokratik pada zaman lampau.
"Saya berharap dalam masa lima tahun akan datang, segala-galanya yang kami impikan bagi negara ini menjadi lebih baik menjadi kenyataan," kata seorang suri rumah, Risna Wati Afin. - AFP
KEPUTUSAN DAN JADUAL LIGA PERDANA INGGERIS 2014 SINI


0 comment... add one now