Cara-Cara Untuk Mengelakkan Diri Daripada Masalah Obesiti : Karangan A - SPM

Cara-Cara Untuk Mengelakkan Diri Daripada Masalah Obesiti : Karangan A - SPM

Masalah Obesiti      Kebelakangan  ini, masalah  obesiti  semakin meningkat  dalam  kalangan rakyat  negara  kita. Mengikut laporan akbar, peratusan rakyat Malaysia yang mempunyai berat badan yang berlebihan ini adalah lebih tinggi berbanding  dengan  negara-negara Asia  yang lain. 

Umumnya, obesiti  ini  mendatangkan  pelbagai keburukan  khususnya penampilan  diri  yang  tidak  menarik.  Bukan  itu  sahaja,  mereka  yang mengalami masalah  ini  mudah  diserang  penyakit.  

Antara  penyakit  yang  sering  dikaitkan  dengan  obesiti  ialah 
diabetes,  darah  tinggi  dan  juga  serangan  jantung.  Persoalannya,  apakah langkah-langkah  yang  boleh diambil bagi mengelakkan diri kita daripada masalah ini? 

      Antara langkah yang boleh diambil bagi mengelakkan diri kita daripada masalah ini adalah dengan mengamalkan  pemakanan  seimbang.  Kita haruslah mengambil  kira  keperluan  karbohidrat,  lemak  dan zat-zat pemakanan  yang sesuai dengan peringkat umur. Oleh yang demikian, kita haruslah menjadikan piramid  makanan  sebagai  panduan  dalam  pemilihan  menu  atau jenis  makanan  agar  hidup  lebih  sihat. 

Selain itu, kita juga mestilah makan mengikut waktu secara teratur terutamanya tiga waktu makan yang utama iaitu sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam. Tambahan pula, Kementerian Kesihatan 
Malaysia  (KKM)  turut  menguar-uarkan  slogan  “makan  secara  sihat,  sihat  sepanjang  hayat”  bagi memastikan rakyat mengamalkan pemakanan yang sihat. Hal ini kerana,  kita bukan sahaja sihat malah kehidupan  lebih  bahagia  dan  terjamin  tanpa  penyakit  berbahaya  sekiranya  kita  bijak  dalam  memilih makanan yang sihat dan seimbang setiap hari. 

      Langkah  yang  seterusnya  adalah  dengan  melakukan  senaman  secara teratur.  Kita perlulah mendisiplinkan  diri  dan  melakukan  senaman  sekurang-kurangnya selama  dua  puluh  minit dalam tiga kali seminggu. Aktiviti senaman ini haruslah dijadikan rutin dalam kehidupan kita. Kita tidak 
seharusnya  menjadikan  kesibukan  bekerja  sebagai  alasan  untuk  tidak bersenam.  Tambahan  pula,  kini banyak  alatan  senaman  yang  mampu  dimiliki  dan  dapat  digunakan  di rumah.  Dengan  itu,  kita  tetap 
berpeluang untuk  bersenam  dan kekal  hidup  sihat. Jadi,  jelaslah bahawa melalui  senaman  yang  teratur akan dapat membantu kita mengekalkan berat badan yang sihat sekali gus mencegah daripada masalah kegemukan,malahan  kita  seperti  menyelam  sambil  minum  air  kerana dengan  bersenam  bukan  sahaja badan kita sihat tetapi otak juga lebih cerdas. 

      Selain  daripada  menjaga  pemakanan  dan  melakukan  senaman  yang teratur,  kita  juga  tidak seharusnya terpedaya dengan produk pelangsingan badan yang kian berlambak dalam pasaran. Pelbagai produk  pelangsingan  badan  dijual  dan  diiklankan  yang  boleh  mengaburi mata  pengguna.  

Pengguna haruslah berhati-hati kerana biasanya kandungan bahan-bahan dalam produk pelangsingan badan boleh membahayakan  kesihatan  malah,  kebanyakan  produk  tiada  jaminan keselamatan  daripada  pihak 
Kementerian Kesihatan Malaysia. Oleh yang demikian, penggunaan produk ini tidak selamat dan boleh menimbulkan  pelbagai  kesan  negatif  yang  boleh  menjejaskan  kesihatan. Penggunaan  produk  tersebut bukannya dapat menguruskan badan sebaliknya mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan. 

Oleh itu, kita  haruslah  mendapatkan  nasihat  dan  pandangan  daripada  pakar perubatan  yang  bertauliah  sebelum menggunakan sesuatu produk pelangsingan badan yang ada dalam pasaran. 

      Konklusinya, kita haruslah sedar bahawa tiada jalan mudah untuk menguruskan dan mengawal berat badan.  Sebaliknya  kita  perlu  mengamalkan  gaya  hidup  sihat,  pemakanan seimbang  dan  senaman  dan 
melakukan aktiviti fizikal secara aktif. Hal ini kerana, masalah obesiti hanya dapat dielakkan jika setiap orang  berusaha  bersungguh-sungguh  untuk  menjaga  kesihatan  dan mencapai  berat  badan  yang  ideal. 

Kita  haruslah  berpegang  kepada  falsafah  peribahasa  “mencegah  lebih  baik daripada  mengubati” khususnya dalam memastikan kehidupan yang sihat dan terjamin sepanjang masa. 

KEPUTUSAN DAN JADUAL LIGA PERDANA INGGERIS 2014 SINI


1 comment... add one now

Farah Waheda Wahid Farah Waheda Wahid 17 Oktober, 2014
satu perkongsian yang menarik, terima kasih dan salam jumaat...