Nasihat Dan Pandangan TMJ Kepada Pengurusan Skuad Harimau Malaya

Nasihat Dan Pandangan TMJ Kepada Pengurusan Skuad Harimau Malaya

Kepada Pengurusan Skuad Harimau Malaya...
Nasihat TMJ Saya bersuara bukan dengan niat mengkritik tanpa asas. Apabila saya bersuara, saya anggap ianya demi pasukan negara.

Malaysia mempunyai ramai pemain berbakat tinggi dan kita perlu menanamkan sikap profesionalisme yg lebih tinggi. Disebabkan itu, setiap pasukan perlu memainkan peranan masing-masing, menerapkan profesionalisme untuk liga dan pasukan kebangsaan. Apa yang saya dapat lihat, pemain kita kurang bersemangat oleh kerana kita tidak mengambil berat hal ehwal kebajikan mereka.

Salah satu faktor adalah berkaitan waktu rehat dan cuti para pemain. Mereka terpaksa melapor diri, satu hari selepas tamat kejohanan liga. Pemain bukannya robot, pemain adalah manusia. Perkara-perkara kecil sebegini adalah satu isu yang kita perlu prihatin. Ini adalah satu isu mengapa saya lihat pemain kurang punyai semangat.

Pasukan kebangsaan perlu mempunyai pengurusan yang profesional. Sepatutnya pengurus pasukan kebangsaan memberikan sepenuh komitmen kepada pasukan kebangsaan, bukannya pengurus yang lebih sibuk pada hal-hal peribadi. Semasa program latihan diadakan di Johor Bahru, pengurus pasukan kebangsaan langsung tidak hadir untuk menyaksikan latihan dan memberikan sokongan moral kepada pasukan. Adakah individu-individu yang berkhidmat dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) merupakan orang yang bertanggungjawab, ataupun memegang jawatan dalam FAM untuk kepentingan politik? Seharusnya, orang yang memegang jawatan harus memainkan peranan dan menjalankan tanggungjawab dengan berkesan. Jangan hanya memegang jawatan sekadar memenuhi syarat.

Soalan saya kepada jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh...
Mengapa Nor Farhan, yang memenangi anugerah penyerang terbaik dan pemain pertahanan Pahang, Razman Roslan yang memenangi pemain pertahanan terbaik dan juga memenangi dua piala bersama pasukan Pahang, tidak disenaraikan dalam skuad kebangsaan?

Berkenaan dengan isu gaji para pemain, saya sebagai Penaung Persatuan Pemain Profesional Malaysia, menyeru agar masalah gaji diselesaikan dengan segera, terutamanya untuk pasukan Perlis dan Selangor. Usah gunakan alasan tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh kerana gaji pemain Perlis tidak begitu tinggi. Semua persatuan bolasepak dalam negara harus tahu bahawa pemain bola sepak adalah manusia juga, dan bukannya hamba.

Sebagai penasihat presiden FAM, patik dengan segala hormat dan ta'zimnya dengan cara terbuka menasihatkan agar Tuanku Presiden melantik individu yang benar-benar komited kerana sayangkan bolasepak Malaysia, dan bukan atas kepentingan peribadi. Sebuah organisasi bola sepak perlu diuruskan oleh para profesional yang memahami struktur sukan bolasepak dan boleh menjalankan tugas serta menyumbang bakti, bukannya sekadar bercakap.

Kepada Kementerian Belia dan Sukan, mengenai isu kualiti padang di Stadium Nasional Bukit Jalil, saya berpendapat bahawa ianya adalah satu pembaziran wang untuk mengimport rumput dari luar negara. Sewaktu kami mengalami masalah yang sama, Persatuan Bolasepak Negeri Johor telah menjalankan pemulihan dan melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di atas padang yang sedia ada dengan penglibatan kos RM150,000 setahun. Saya bangga untuk mengatakan bahawa padang di Larkin adalah yang terbaik di negara ini dan ianya disahkan sendiri oleh perwakilan daripada AFC yang telah datang sebelum ini untuk melakukan pemeriksaan. Kami juga telah dikunjungi oleh delegasi dari AC Milan dan Borussia Dortmund yang juga sangat kagum dengan kualiti padang. Ketua Pegawai Operasi Borussia Dortmund ada menyebut sesuatu kepada saya iaitu "Bola sepak dimainkan di padang dan bukannya di atas batu bata". Ertinya, tidak ada gunanya infrastruktur bertaraf dunia jika kondisi padang tidak sesuai dan tidak diselenggara dengan baik.

Ini adalah pendapat dan nasihat saya.
-DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

KEPUTUSAN DAN JADUAL LIGA PERDANA INGGERIS 2014 SINI

0 comment... add one now