10 Masalah Terbesar Ekonomi Malaysia 2015

10 Masalah Terbesar Ekonomi Malaysia 2015Keluhan dan rintihan berani tahun mencabar 2015. Kepada semua rakyat Malaysia, bersedia hadapi 10 cabaran ekonomi Malaysia terbesar tahun depan.
1. Kenaikan kos sara hidup rakyat
Masalah Ekonomi Malaysia 2015Langkah kerajaan menaikkan harga petroleum (naik 20 sen), tarif elektrik (naik 15%), harga gula (naik 30 sen), harga tepung (naik 20 sen) dan kadar tol (minima 50 sen) sedikit sebanyak akan melonjakkan kos sara hidup semua rakyat. Paras inflasi rasmi terkini meningkat kepada 3.4%, tertinggi dalam setahun. Inflasi tidak rasmi/sebenar mungkin tiga kali ganda lebih 10% setahun.
Harga purata secawan kopi kini ialah RM1.60, harga nasi lemak ialah RM1.80 sementara sekeping roti canai sudah mencecah RM1.20 tidak termasuk GST.
2. Paras hutang kerajaan yang tinggi
Paras hutang kerajaan meningkat sejak tahun 1970. Hutang kerajaan persekutuan pada tahun 1970 hanyalah RM2 billion, pada tahun 1999 berjumlah RM95 billion tetapi sekarang telah mencecah RM568.2 bilion atau 53% daripada KDNK menghampiri had siling 55%. Pihak asing pula memiliki kira-kira 15% daripada jumlah hutang dalam negara. Keadaan ini boleh mempengaruhi kadar pertukaran wang asing negara.
Untuk rekod, kerajaan membelanjakan lebih RM10 bilion setahun hanya untuk membayar faedah hutang-hutang yang diambil oleh Kerajaan Persekutuan.
3. Paras hutang isi rumah rakyat yang membahayakan
Hutang isirumah rakyat Malaysia berganda kepada RM750 billion atau 76.2% KDNK dalam Julai tahun ini. Pecahan besar adalah pinjaman perumahan 29%, pinjaman kenderaan 51%, pinjaman peribadi 15% dan pinjaman pelajaran 33%.
Ini bermakna rakyat Malaysia secara amnya membuat perbelanjaan dengan membazir dan tidak berhemah.
Jika tidak dikawal, lima tahun lagi hutang isi rumah di Malaysia boleh melebihi 100% kepada KDNK negara bermakna pendapatan yang diperolehi tidak cukup untuk membayar hutang terkumpul.
4. Pertumbuhan ekonomi dekad yang lebih perlahan
Jumlah keseluruhan ekonomi Malaysia (KDNK) tahun 2014 adalah RM1.07 trillion. Walaupun ekonomi global dijangka meningkat, pertumbuhan KDNK Malaysia purata sepuluh tahun lepas lebih perlahan hanya sebanyak 5% dan banyak didorong oleh permintaan domestik. Berbanding pertumbuhan KDNK purata sebanyak 7% pada tahun 1990an yang didorong oleh sektor eksport dan luaran.
Untuk rekod, semenjak 1945 ke tahun 1998, Malaysia adalah salah satu daripada 13 negara yang mencapai pertumbuhan mantap melebihi 7% selama lebih daripada 53 tahun. Bagaimanapun selepas 1998, pertumbuhan ekonomi Malaysia telah jatuh dengan perlahan.
5. Kos pengurusan kerajaan yang tinggi
Daripada tahun 1970 hingga 2013, jumlah perbelanjaan pengurusan kerajaan meningkat daripada RM2.2 bilion kepada RM216.2 bilion. Komponen yang terbesar ialah gaji kakitangan kerajaan.
Untuk nota, Malaysia memiliki nisbah kakitangan kerajaan yang tertinggi di dunia seramai 1.4 juta atau 10% dari seluruh tenaga kerja di Malaysia.
6. Beban subsidi kerajaan yang tinggi
Jumlah keseluruhan subsidi kerajaan meningkat dengan ketara daripada RM1.1 bilion pada 1999 kepada RM44.1 bilion pada 2013.
Ini bermakna 20% dari cukai yang dikutip akan digunakan untuk subsidi rakyat. Subsidi ibarat ganja kerana ia sukar dihentikan apabila diberikan. Penamatan subsidi juga boleh mengakibatkan kos politik kepada kerajaan yang memerintah.
Dasar pemberian subsidi adalah dasar yang tidak efektif bagi rakyat miskin. Orang kaya menggunakan bahan api lebih banyak daripada orang miskin yang bermotosikal. Ini bermakna subsidi petroleum lebih banyak dinikmati oleh golongan kaya.
7. Produktiviti pekerja yang kurang cemerlang
Hanya 80% dari tenaga kerja seluruh Malaysia mempunyai kelayakan pendidikan setakat Sijil Pelajaran Menengah (SPM). Menurut Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), tahap produktiviti pekerja negara ini adalah jauh lebih rendah daripada negara-negara seperti Amerika Syarikat, Jepun, United Kingdom, Korea Selatan dan Singapura.
Purata pekerja Malaysia mencatatkan nilai produktiviti hanya sebanyak RM43,952 setahun.
Berbanding pekerja Amerika Syarikat mengungguli senarai dengan tahap produktiviti sebanyak RM285,558 setahun, diikuti oleh pekerja di Jepun RM229,568 dan Hong Kong RM201,485. Ini bermakna pekerja Malaysia bekerja dalam tempoh yang lebih panjang berbanding negara lain, namun menghasilkan pulangan yang lebih rendah.
8. Belanjawan Malaysia defisit setiap tahun sejak 1998
Walaupun memiliki komoditi yang kaya seperti minyak dan kelapa sawit, Belanjawan Negara masih defisit selama 16 tahun berturut-turut semenjak krisis kewangan Asia. Untuk rekod, perbelanjaan subsidi untuk rakyat dikurangkan sebanyak RM 7.3 billion bagi tahun 2014.
Walaupun paras defisit keseluruhan negara telah turun tetapi masih tinggi sekitar RM 36 billion.
Pada masa yang sama, lebihan akaun semasa (eksport tolak import) juga menurun dari RM102 bilion pada 2012 kepada RM37 billion pada 2013.
Ini bermakna lebihan akaun sebanyak 3% daripada KDNK pada masa ini adalah kecil kerana Malaysia pernah mencatatkan lebihan akaun semasa sebanyak 10%.
9. Ketirisan dan ketelusan negara
Dalam Indeks Persepsi Rasuah atau Corruption Perception Index yang dijalankan Transparency International, Malaysia menduduki tangga ke-53 daripada 177 buah negara. Kedudukan ini tidak segagah tahun 2003, Malaysia berada di kedudukan ke-37.
Untuk rekod, dalam Laporan Global Financial Integrity, Malaysia menduduki tempat ke-4 dari segi jumlah kumulatif pengaliran keluar dana secara haram yang berjumlah RM880 billion di antara tahun 2002-2011.
Ini bermakna aliran keluar wang haram dari Malaysia mungkin lebih hebat daripada negara-negara seperti Filipina, Nigeria dan Venezuela.
10. Kelemahan ringgit dan peningkatan gaji yang perlahan
Dengan ringgit terus lemah dibandingkan dengan dolar Amerika (terendah dalam enam bulan) dan dolar Singapura (terendah dalam 15 tahun) juga menyumbang kepada lonjakan harga barang dan kos sara hidup di Malaysia.
Kesan kelemahan ringgit menyebabkan penurunan kuasa beli individu. Maknanya, setiap ringgit pendapatan akan mampu membeli sedikit barangan dan perkhidmatan import berbanding sebelum ini.
Peningkatan kos sara hidup yang berlaku itu juga tidak selaras dengan kadar kenaikan gaji yang perlahan.
Mengikut Payscale.com, kadar purata kenaikan gaji Malaysia hanya sekitar 3.5% berbanding Indonesia 9.8%, Singapore 12% dan Thailand 5.8% dalam tempoh sama.
Kesimpulan, ekonomi adalah tunjang turun naik sesebuah masyarakat, bangsa dan negara. Saya yakin 10 isu ini dapat ditangani, kerajaan mapan, ekonomi cemerlang dan rakyat gemilang. Amin. – bm.selangorku.com, 7 Disember, 2014.
* Dr. Nazri Khan adalah Presiden, Malaysian Association of Technical Analyst dan exco, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia - Yahoo News Malaysia

KEPUTUSAN DAN JADUAL LIGA PERDANA INGGERIS 2014 SINI


0 comment... add one now