Kebaikan Dan Kelebihan Berkhatan Untuk Lelaki

Kebaikan dan kelebihan berkhatan atau bersunat untuk lelaki. Musim cuti persekolahan sudah bermula, justeru bermulalah juga musim berkhatan bagi kanak-kanak lelaki Islam di Malaysia. Menjadi satu budaya masyarakat di Malaysia untuk mengkhatankan anak lelaki sewaktu musim cuti sekolah.

Kesedaran mengenai berkhatan sudah berkembang dalam kalangan bukan Islam yang melakukan khatan secara sukarela kerana faedah kesihatan yang banyak. Berkhatan adalah memotong kulit di hujung kemaluan lelaki yang biasanya dipanggil kulup (foreskin).

Berkhatan Untuk Lelaki

Kulup meliputi kepala zakar (glan penis) dan biasanya akan melekat antara satu sama lain dan susah dipisahkan. Ia akan lebih mudah dipisahkan apabila kanak-kanak itu meningkat umur remaja.

Dari sudut sejarah sesetengah ulama berpendapat yang berkhatan bermula dengan Nabi Adam dan ada juga pandangan manusia pertama yang berkhatan ialah Nabi Ibrahim. Yang pasti amalan berkhatan diamalkan sejak ribuan tahun lalu kerana wujud ukiran pada piramid di Mesir.

Berkhatan sesuatu yang menakutkan kanak-kanak lelaki dan di dalam Islam, berkhatan adalah amalan yang disyariatkan dan amat dituntut. Dalam Mazhab Syafie, hukum berkhatan adalah wajib sama ada terhadap lelaki atau perempuan manakala bagi Mazhab Hanafi, berkhatan hukumnya adalah sunat sahaja bagi kedua-dua lelaki dan perempuan.

Dalam mazhab Hambali pula, Imam Ahmad berpandangan ia hanya wajib terhadap lelaki. Adapun ke atas perempuan, hukumnya hanyalah sunat. Selain perintah agama, ia untuk kesihatan individu itu juga.

Syariat Berkhatan
Waktu berkhatan tidak disyaratkan ketika kecil. Dalam budaya masyarakat Arab dan Yahudi, berkhatan dilakukan ketika bayi lagi.

Bagi masyarakat Melayu pula, biasanya berkhatan dilakukan sewaktu kanak-kanak berumur lima hingga 12 tahun.

Dalam riwayat daripada Saidatina Aisyah menceritakan: "Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW mengkhatankan Hasan dan Husin pada hari ketujuh kelahiran mereka berdua." (Riwayat Imam al-Baihaqi dan al-Hakim).

Kebanyakan ulama berpendapat, khatan wajar dilakukan ketika budak lelaki meningkat umur baligh. Malah ada ulama berpendapat, lebih afdal bagi pihak ibu bapa atau penjaga melaksanakan khatan ke atas anak lelaki mereka sejak mula hari kelahirannya.

Seorang ulama terkenal, Ibnu Juzaiy mempunyai pendapat berbeza yang ditulis dalam kitabnya al-Qawanin al-Fiqhiyyah. Beliau menggalakkan waktu khatan dilewatkan hingga anak itu boleh diajarkan solat iaitu sekitar umur tujuh hingga 10 tahun.

Beliau menghukumkan makruh dilakukan khatan ke atas bayi pada hari pertama kelahirannya dan pada hari ketujuh kelahirannya kerana ia menyerupai amalan kaum Yahudi.

Ibnu Juzaiy juga berpendapat adalah amat dituntut diadakan jamuan makan sempena majlis berkhatan bagi lelaki tetapi tidak bagi majlis khatan wanita.

Berkhatan dan Kesihatan
Hikmah berkhatan pada sudut agama adalah antara tuntutan syariat Islam dan menjadi amalan nabi terdahulu.

Pada sudut kesihatan pula dengan berkhatan seseorang mengutamakan kebersihan dan kesucian, mengawal dan menstabilkan nafsu syahwat terutama bagi wanita serta memberi keselesaan sewaktu bersetubuh.

Apabila tidak berkhatan, wujud kotoran yang berkumpul di antara kulup dan kepala zakar dipanggil 'smegma' yang boleh menyebabkan jangkitan kuman dan juga punca kepada kanser zakar. Sains membuktikan amalan berkhatan ini mempunyai banyak faedah kesihatan berdasarkan kajian yang dijalankan.

Antara hasil kajian yang nyata mendapati kadar kanser zakar adalah jauh lebih rendah dalam komuniti yang mengamalkan berkhatan seperti Muslim dan Yahudi.
Kajian terbaru menunjukkan kadar penyakit kelamin adalah rendah dalam kalangan lelaki yang berkhatan. Kajian ini mendapati jangkitan penyakit sifilis adalah lebih rendah dalam kalangan lelaki yang berkhatan.

Kajian Cochrane Meta Analysis di Afrika pada 2007 jelas menunjukkan berkhatan boleh mengurangkan risiko jangkitan HIV dalam kalangan lelaki yang aktif seksual dari 38 peratus hingga 66 peratus dalam tempoh 24 bulan.

Kesimpulan daripada kajian ini mencadangkan lelaki digalakkan berkhatan untuk mengurangkan penularan wabak HIV di kawasan pinggir Sahara Afrika. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencadangkan antara program mencegah HIV ialah dengan menggalakkan amalan berkhatan.

Berkhatan juga mengurangkan insiden jangkitan HSV-2 sehingga 28 peratus dan berkait dengan penurunan prevalen HPV dan risiko jangkitan kuman saluran kencing. Justeru, secara tidak langsung, juga mengurangkan risiko isteri mendapat kanser pangkal rahim - myMetro

KEPUTUSAN DAN JADUAL LIGA PERDANA INGGERIS 2014 SINI


1 comment... add one now