Gary Steven Robbat Bukan Milik Kedah Dan JDT Didenda

Isu kontrak Gary Steven Robbat

Gary Steven Robbat Bukan Milik Kedah Dan JDT Didenda. Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Takiyuddin Hassan mengesahkan bahawa Gary Steven Robbat adalah milik Harimau Muda C dan bukannya Negeri Kedah. 

Bekas pemain tengah Harimau Muda C ini menimbulkan kontroversi awal tahun 2015 yang menjadi perebutan antara tiga negeri - Pahang, Johor dan Kedah. 

Gary yang dibebaskan kontrak bersama FAM pada 1 Disember lalu dikatakan gagal mematuhi syarat badan induk bola sepak negara ini selepas tamat kontrak bersama pasukan Harimau Muda. 

Mengikut peraturan yang ada, mana-mana pemain Harimau Muda yang tamat kontrak perlu kembali ke pasukan-pasukan gabungan FAM yang memulakan kerjayanya. 

“Kami mengambil masa untuk meneliti segala dokumen dan afidavit dengan pihak-pihak yang terlibat. 

"Selepas diteliti mengikut peraturan FAM, Gary bukanlah milik Kedah kerana kerjaya profesional pemain ini bermula dengan Harimau Muda C. 

"Memang benar Gary bersama akademi di Kedah ketika di Tingkatan Satu, dan berpindah ke Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP) ketika Tingkatan 2 dan 3, manakala Tingkatan 4 hingga Lima di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ). 

"Selepas itu Gary menyertai pasukan Bawah 19 Tahun iaitu Harimau Muda C dan mula beraksi secara dalam kejohanan FAM. 

"Jadi Gary sebenarnya milik Harimau Muda C dan perlu kembali ke pasukan ini. 

“Namun umurnya sudah melebihi 19 Tahun (kini 22 tahun), jadi dia bebas memilih mana-mana pasukan,"jelasnya kepada media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Status di Wisma FAM pada Jumaat. 

Dalam pada itu, Gary digantung bermain dengan mana-mana pasukan selama tiga bulan dan denda RM50,000 selepas didapati bersalah menyumbang ke arah pelanggaran peraturan kontrak dengan pasukan JDT dan Pahang. 

Kontraknya bersama Pahang yang ditandatanganinya pada 14 November, manakala bersama JDT pada 21 November lalu tidak sah kerana Gary masih lagi terikat dengan FAM.

Gary dijatuhkan hukuman berdasarkan Artikel 17, Status dan Pemindahan serta merta selepas menimbulkan isu kontrak bersama dua pasukan iaitu Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) dan Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Gary dihukum kerana pelanggaran kontrak dengan Pahang dan JDT.

"Pemain ini hanya boleh menandatangani kontrak bersama pasukan pilihan selepas tarikh hukuman tamat.

"Manakala kontrak yang ditandatangani bersama Pahang pada 14 November 2014 dan dengan JDT pada 21 November 2014 adalah tidak sah kerana Gary hanya dibebaskan oleh FAM pada 1 Disember 2014.

"Dengan itu juga, pasukan JDT didenda RM100,000 dan amaran keras kerana menyumbangkan ke arah pelanggaran kontrak dan peraturan, manakala Pahang diberi amaran keras,"jelas Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain FAM, Datuk Takiyuddin Hassan pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Status di Wisma FAM pada Jumaat.

Pemain berasal dari Kulim, Kedah itu muncul pada majlis memperkenalkan pemain JDT bagi musim 2015 pada 29 Disember lalu, walaupun statusnya masih menjadi tanda tanya.

Sebelum itu, Takiyuddin turut memberi amaran keras kepada JDT kerana menimbulkan kecuaian pendaftaran pemain Mohd Faizul Hussin yang tidak wajar berlaku kerana pemain itu belum selesai dengan pasukan Pahang.

"Mohd Faizul perlu membayar tebus kontrak mengikut gaji bulannya sebanyak RM10,000 selama 12 bulan (RM120,000) kepada bekas majikannya.

"Memandangkan dia sudah dibayar gaji pada Disember lalu sebanyak RM10,000, jadi Mohd Faizul perlu kembalikan wang tersebut kepada Pahang.

"Jadi jumlah keseluruhan yang perlu diselesaikan kepada Pahang berjumlah RM130,000," tambahnya - mStar online

KEPUTUSAN DAN JADUAL LIGA PERDANA INGGERIS 2014 SINI


0 comment... add one now