Iskandar Waterfront Taja Padang Bolasepak Rumput Tiruan Johor


Iskandar Waterfront Taja Padang Bolasepak Rumput Tiruan Johor. Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) bakal memiliki padang bola sepak tertutup dengan rumput tiruan yang pertama di Asia Tenggara, menjelang 2016.

Setiausaha Kehormat PBNJ Mohd Fahmy Yahya berkata kerja-kerja pembinaan padang itu di Dataran Bandaraya Johor Baharu, di sini, dimulakan bulan ini sebelum dijangka siap November tahun ini.

"Keluasan padang ini lebih kurang 8,000 meter persegi keseluruhan. Ia merupakan yang pertama di Asia Tenggara dan dilengkapi dengan pusat perubatan dan gimnasium.

Ia dibina untuk mencungkil bakat-bakat sedia ada selain daripada menjadi pemangkin kepada seluruh rakyat negeri Johor untuk menceburi serta melibatkan diri secara langsung dalam aktiviti bola sepak di peringkat akar umbi," katanya selepas majlis pecah tanah pembinaan padang itu, di sini, Khamis.

Majlis pecah tanah berkenaan disempurnakan puteri Sultan Johor, Tunku Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim.

Mohd Fahmy berkata kemudahan dan padang itu dibina mengikut spesifikasi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan direka dengan kepakaran arkitek-arkitek tempatan.

Pembinaannya juga ditaja sepenuhnya oleh Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dengan dana sebanyak RM15 juta di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

"Tidak dapat dinafikan ini adalah hasil usaha Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) yang ingin meningkatkan persada bola sepak Johor," katanya.

Sementara itu, penyerang pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) Safee Sali menyifatkan bahawa pembinaan padang itu sebagai perkara yang baharu bagi kelab-kelab bola sepak di negara ini.

"Dalam kelab-kelab lain, tidak ada yang macam ini jadi saya berbangga untuk bermain dengan JDT," katanya yang turut menjangkakan saingan bagi Liga Malaysia tahun ini, adalah sengit - -- BERNAMA

KEPUTUSAN DAN JADUAL LIGA PERDANA INGGERIS 2014 SINI


0 comment... add one now