Malaysia Bukan Dalam Keadaan Gawat Atau Krisis Ekonomi 2015

Malaysia Bukan Dalam Keadaan Gawat Atau Krisis Ekonomi 2015
Malaysia Bukan Dalam Keadaan Gawat Atau Krisis Ekonomi 2015Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah menyampaikan perutusan khas mengenai perkembangan semasa dan kedudukan kewangan negara pagi ini.
Perutusan khas Najib yang juga Menteri Kewangan itu telah dipancarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) jam 10 pagi ini menerusi RTM1, TV3, Awani dan akaun Twitter Perdana Menteri di @NajibRazak.

Malaysia bukan dalam keadaan gawat atau krisis seperti yang dihadapi pada tahun tahun-tahun 1997 dan 1998 serta 2009,  kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, strategi-strategi yang digariskan dalam perutusan khas tentang perkembangan ekonomi semasa dan kedudukan kewangan negara yang diumumkan hari ini adalah langkah proaktif dan penyesuaian berikutan faktor ekonomi luaran yang di luar kawalan kerajaan.
    
"Kita bukan dalam keadaan gawat atau krisis seperti pada tahun-tahun 1997 dan 1998, bahkan tidak juga seperti 2009 yang lalu, sehingga pakej-pakej rangsangan perlu dilaksanakan," katanya.
    
Sehubungan itu, kata Perdana Menteri perbelanjaan pembangunan berjumlah RM48.5 bilion yang diperuntukkan dalam Bajet 2015, tidak berubah dan akan tetap dibelanjakan.
    
Bagaimanapun perbelanjaan mengurus dijangka dikurangkan sebanyak RM5.5 bilion, dengan mengutamakan perbelanjaan yang benar-benar diperlukan sahaja.
    
Najib berkata demikian dalam perutusan khas tentang perkembangan ekonomi semasa dan kedudukan kewangan negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Najib menegaskan semua projek pembangunan, khususnya yang bersifat 'ekonomi rakyat', termasuk perumahan rakyat, tebatan banjir, bekalan elektrik, air dan projek-projek mega seperti Lebuhraya Pan Borneo, projek MRT jajaran kedua, LRT3 dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura, akan tetap diteruskan.
    
"Malah, pada Mei nanti, saya akan membentangkan Rancangan Malaysia Kesebelas, bagi merencanakan pula perbelanjaan pembangunan negara sehingga tahun 2020," katanya.
    
Perdana Menteri dalam ucapannya menuntut pemahaman rakyat bahawa persekitaran dan percaturan ekonomi dunia yang telah berubah, memberi impak kepada Malaysia sebagai antara negara yang mempunyai dagangan terbesar di dunia.
    
Berdasarkan perubahan itu, kata Najib, beberapa perkara pokok yang telah diunjurkan kerajaan bagi merancang kewangan dan ekonomi negara, kini perlu disemak dan diperjelaskan kedudukan semasanya.
    
"Dan pada masa yang sama, kita mahu memastikan pembangunan negara dan kebajikan sosioekonomi rakyat terus menjadi tumpuan utama kerajaan," katanya. 

Berikut ialah intipati Perutusan Khas Perkembangan Ekonomi Semasa dan Kedudukan Kewangan Negara yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada hari ini.

* Persekitaran/percaturan ekonomi dunia telah berubah. Ini memberi impak kepada Malaysia, antara negara mempunyai dagangan terbesar di dunia.

* Beberapa perkara pokok yang kerajaan unjurkan bagi merancang ekonomi dan kewangan negara, perlu disemak dan diperjelaskan kedudukan semasanya.

* Sebagai kerajaan bertanggungjawab, akan terus mencari jalan mempastikan negara terus membangun dan kesejahteraan rakyat terjamin.

* Kejatuhan harga minyak mentah dunia secara langsung kurangkan pendapatan negara yang digunakan untuk tujuan pembangunan.

* Pemberian visa percuma kepada pelancong antaranya dari China, untuk giatkan industri pelancongan negara.

* Kerajaan akan ambil langkah proaktif untuk buat pengubahsuaian spesifik, seiring dengan perubahan senario ekonomi global

* Dengan pengurangan harga runcit petrol dan diesel sebanyak 35 sen dan 30 sen, pendapatan boleh guna (disposable income) rakyat Malaysia secara kasarnya sekitar RM7.5 bilion.

* Kerajaan perlu semak semula untuk merendahkan unjuran purata paras harga asas minyak kepada US$55 setong bagi 2015.

* Pada harga US$55 setong yang diunjurkan, kerajaan akan mengalami pengurangan hasil sebanyak RM13.8 bilion.

* Sekalipun peruntukan subsidi bahan api dapat jimat RM10.7 bilion, kerajaan masih alami kekurangan hasil sebanyak RM8.2 bilion bagi tampung langkah-langkah Bajet 2015.

* Kerajaan tetapkan kadar defisit dikaji semula kepada 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2015.

* Kerajaan tidak berkompromi ke atas perancangan pembangunan kerana ia akan meningkatkan kapasiti produktif kepada ekonomi negara.

* Kerajaan tidak akan sesekali mengabaikan kebajikan semua rakyat, khususnya golongan pendapatan isi rumah bawah 40 peratus.

* Turun-naik nilai matawang asasnya berdasarkan pengaruh ekonomi global dan Ringgit bukan satu-satunya yang menyusut berbanding dolar Amerika.

* Kerajaan perlu pastikan akaun semasa dalam imbangan pembayaran sentiasa kekal dalam lebihan.

* Kerajaan teruskan langkah-langkah reformasi fiskal dan menyepadukan (consolidate) ekonomi.

* Kerajaan pastikan aktiviti ekonomi terus dipelbagaikan supaya negara mampu hadapi kejatuhan harga minyak dan komoditi.

* Kerajaan yakin kadar tukaran Ringgit akan alami penyesuaian dalam tempoh tertentu dan kembali ke paras yang menggambarkan asas ekonomi yang kukuh.

* Paling mustahak, tiada gangguan kepada pengantaraan kewangan (financial intermediation) dengan aktiviti pinjaman kekal lancar.

* Aktiviti perniagaan terus mendapat akses kepada pembiayaian kewangan daripada institusi perbankan dan pasaran modal.

* Polisi lebih dinamik, rizab antarabangsa mencukupi, pasaran kewangan pelbagai dan mendalam, perbankan teguh serta pelabur institusi tempatan kukuh akan tingkatkan daya tahan Malaysia untuk turun naik aliran modal.

* Tanggapan apabila harga minyak merudum baru-baru ini, pendapatan eksport keseluruhan akan merosot dan mengakibatkan defisit akaun semasa adalah tidak benar.

* Malaysia pengeksport bersih minyak mentah dengan nilai lebihan eksport sebanyak RM7.7 bilion untuk tempoh Januari-November 2014.

* Bagi produk petroleum, Malaysia adalah pengimport bersih dengan nilai lebihan import sebanyak RM8.9 untuk tempoh Januari-November 2014.

* Tanggapan atau persepsi umum selama ini bahawa Malaysia merupakan pengeluar minyak yang surplus atau berlebihan adalah tidak benar.

* Kesan kejatuhan harga minyak dijangka dapat ditampung oleh peningkatan permintaan bagi barangan pembuatan seperti barangan elektrik dan elektronik, produk berasaskan kayu-kayan dan produk tekstil.

* Malaysia mampu capai Keluaran Dalam Negara Kasar antara 4.5 hingga 5.5 peratus tahun ini.

* Kerajaan akan pastikan pertumbuhan ekonomi seimbang, inklusif dan mampan.

* Kerajaan akan menyediakan bantuan kepada rakyat dan komuniti perniagaan bagi bina semula infrastruktur terjejas akibat banjir.

* Perkhidmatan gantian-import seperti perkhidmatan perkapalan, pelabuhan, pendidikan dan profesional dipromosi secara aktif bagi kurangkan kebergantungan kepada sumber luar.

- BERNAMA
KEPUTUSAN DAN JADUAL LIGA PERDANA INGGERIS 2014 SINI


0 comment... add one now