Model Kereta Baru Bakal Di Pasaran Malaysia 2015

honda hrv

Model Kereta Baru Bakal Di Pasaran Malaysia 2015. Tidak terlambat untuk mengucapkan selamat menyambut kehadiran tahun baru 2015. Pastinya tahun ini dijangka industri automotif tempatan lebih kompetitif, di mana setiap pengeluar berlumba-lumba untuk memperkenalkan model terbaru atau varian yang telah dipertingkatkan.

Bagi mereka yang berhajat untuk membeli kereta baru, kemunculan beberapa kenderaan yang bakal dilancarkan tahun 2015 ini bakal dinantikan.

MITSUBISHI
Antara kenderaan yang dinanti-nantikan kemunculannya adalah Mitsubishi Triton generasi terbaru. Model Triton terdahulu telah bertahan hampir sembilan tahun sebelum model baru dilancarkan pada November tahun lalu. Difahamkan, Mitsubishi Triton generasi terkini itu turut menggunakan enjin diesel turbo terbaru dengan kapasiti enjin 2.4 liter.

HONDA
Untuk kategori kenderaan utiliti sukan (SUV) pula, Honda dikatakan akan membawa masuk HR-V, yang mana jentera itu adalah keluarga terbaru dalam kategori segmen B. Boleh dikatakan ia 'adik' kepada Honda CR-V dan berkongsi platform dengan Honda Jazz, tetapi lebih panjang serta tinggi. Di Thailand, SUV ini dilancarkan pada penghujung tahun lalu yang menggunakan enjin 1.8 liter seakan-akan Honda Civic 1.8 liter dengan menyalurkan 141 PS serta tork setinggi 172 Nm.

Difahamkan Honda HR-V akan dilancarkan pada suku pertama tahun 2015 ini dengan harga di antara RM97,000 sehingga RM120,000.

NISSAN
Penghujung tahun 2014 lalu, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) membuka tempahan bagi model terbaru SUV, Nissan X-Trail yang dijangka dilancarkan awal tahun ini.

Nissan X-Trail baru itu menawarkan dua varian iaitu 2.5L 4WD dan 2.0L 2WD, masing-masing dijangka dijual pada harga di bawah RM170,000 dan RM150,000.

Jentera itu digabungkan Sistem Kawalan Pandu Aktif yang mengurangkan pergerakan kenderaan dirasai pemandu ketika melalui jalan tidak rata dengan mengawal kuasa tork enjin dan brek untuk meningkatkan keselesaan. Ia juga dilengkapi Sistem Aktif Brek Enjin bagi mengubah suai kuasa brek enjin untuk membantu pemandu mengurangkan kelajuan apabila membelok atau memberhentikan kenderaan.

LEXUS
Lexus, jentera premium keluaran Jepun dijangka akan melancarkan model crossover menerusi NX yang akan bersaing beberapa model lain seperti Audi Q5, BMW X3 dan Range Rover Evoque.

Difahamkan, ia akan hadir dengan dua rangkaian kuasa 2.0 liter pengecas turbo yang menyalurkan 235 hp dan tork setinggi 350 Nm.

Ia juga menawarkan varian hibrid dengan kombinasi menggunakan enjin dan motor elektrik yang masing-masing menyalurkan 153 serta 141 hp.

FORD
Bagi jenama Ford pula, mereka tiada rahsia untuk berkongsi jentera yang akan dilancarkan tahun ini. Pengeluar kenderaan terkemuka itu akan membawa tiga masuk model terbaru menerusi Ford Everest, Mondeo dan model kereta 'muscle' iaitu Mustang.

Ford Everest generasi terbaru itu menggabungkan kemampuan laluan luar jalan terkini dengan padanan teknologi termaju seperti sistem pacuan empat roda pintar Ford untuk membantu pemandu menempuh pelbagai jenis laluan.

Ciri 'Terrain Management System' (TMS) yang canggih menawarkan empat talaan berbeza berupaya mengoptimumkan prestasi untuk pemanduan harian di atas jalan raya, laluan berpasir, salji dan jalan berbatu ekstrem.

Ia juga kemampuan mengharung air setinggi 0.8 meter (m) yang terbaik dalam kelasnya, jarak kelegaan tanah mencecah 0.225 m, keupayaan mengangkut beban sehingga 750 kilogram.

Kereta segmen D menerusi Ford Mondeo pula hadir dengan generasi terbaru yang sebelum ini dijual untuk pasaran United Kingdom dijangka dilancarkan suku pertama tahun ini.
Bagi pasaran di sana, ia ditawarkan dengan enjin 1.5 litre empat silinder EcoBoost, 1.0 litre EcoBoost dan 2.0 TDCi diesel twin-turbo.

Kehadiran Ford Mustang menjadi taruhan terhebat bagi jenama itu selepas kali pertama memperkenalkan jentera berkenaan bagi pemanduan sebelah kanan.

Jentera 'muscle' itu ditawarkan dengan dua jenis enjin membabit-kan 2.3 liter Ecoboost and 5.0 liter V8 yang pasti ditunggu-tunggu peminat kenderaan jenama Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, untuk melihat kenderaan ini mungkin lewat kerana ia akan dilancarkan pada suku terakhir tahun ini.

MAZDA
Bagi kenderaan kompak pula, Mazda 2 bakal menjengah pasaran tempatan tidak lama lagi dan bersaing rapat dengan Honda Jazz. Jentera yang menerima anugerah Kereta Tahunan Jepun pada Oktober tahun lalu itu dikuasai enjin 1.5 liter SkyActiv-G mampu menyalurkan 115 PS pada 6,000 rpm, manakala tork 148 Nm pada 4,000 dengan gabungan transmisi automatik SkyActiv-Drive.

VOLKSWAGEN
Volkswagen pula akan mempertaruhkan Golf GTE iaitu sebuah jentera kategori plug-in hibrid yang memberi penjimatan bahan api mengagumkan. Ia dipertontonkan buat kali pertama pada peringkat global pada tahun lalu menggunakan enjin pengecas turbo ia­itu 1.4 TSI dan motor elektrik yang masing-masing menyalurkan kuasa maksimum 148 dan 101 hp.

Jentera berkenaan turut menggunakan kotak gear enam kelajuan DSG yang dicipta khas untuk jentera hibrid. Ia menggunakan 1.5 liter bagi 100 kilometer (km) dan mampu dipandu sehingga 939 km bagi setangki bahan api.

Biarpun jimat minyak, ia mampu dipandu sehingga 222 kilometer sejam (km/j) dan mencatat 7.5 saat untuk memecut antara 0-100 km/j.

PEUGEOT
Peugeot pula difahamkan membawa model terbaru iaitu 308 yang sebelum ini dinobatkan sebagai Kereta Eropah Tahunan 2014 pada Pameran Motor Geneva ke-84 awal Mac tahun lalu.

Generasi kedua Peugeot 308 bukan saja hadir dengan bentuk hatchback, malah ditawarkan varian sport wagon (SW).

Peugeot 308 secara langsung memberi saingan, terutama bagi model hatcback lain seperti Volks­wagen Golf dan Ford Focus.

Model itu ditawarkan dengan enjin terbaru iaitu PureTech Turbo dengan bersesaran kecil membabitkan petrol 1.2 liter, manakala diesel HDi mempunyai beberapa varian seperti 1.6 serta 2.0 liter. Namun, belum diketahui lagi enjin mana yang akan dibawa masuk ke negara ini.

PORSCHE
Suku tahun ketiga 2015, Porsche bakal melancarkan generasi kedua model 911 Carrera GTS dengan empat varian membabitkan kategori coupe dan cabriolet, yang mana masing-masing ditawarkan dengan sistem pacuan semua roda atau roda belakang.

Teknikal asasnya, jentera itu mampu menghasilkan kuasa maksimum sehingga 430 kuasa kuda yang memberi karakter terbaik dalam pengendalian dan prestasinya.

Ia digabungkan dengan pakej Sport Chrono dan sistem peredam aktif yang boleh mengurangkan ketinggian kereta sehingga 10 milimeter (mm).

Keistimewaan turut terserlah apabila model itu menggunakan transmisi Doppelkupplungsge triebe Porsche (PDK) yang mana kenderaan itu boleh dipandu melebihi 300 kilometer sejam (km/j) dan hanya mengambil empat saat untuk memecut dari tahap pegun sehingga 100 km/j.

Namun, harga rasmi bagi Porsche 911 Carrera GTS dan Porsche 911 Carrera 4 GTS yang akan tiba suku ketiga tahun depan belum didedahkan lagi - myMetro

KEPUTUSAN DAN JADUAL LIGA PERDANA INGGERIS 2014 SINI


1 comment... add one now

Mohd Selim Zainal Mohd Selim Zainal 06 Januari, 2015
Assalammualaikum... PP,

mselim3 lebih suka Honda... hehehe

mselim3

pls: angan2 aje tu... sekarang pakai proton aje..