Jangan Buat Khurafat Di Kubur Nik Aziz

Jangan Buat Khurafat Di Kubur Nik Aziz. Jangan menokok tambah amalan ketika melakukan ziarah ke kubur Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sehingga menjurus ke arah perbuatan khurafat. Pandangan itu dinyatakan oleh Mufti Kelantan, Datuk Mohamed Shukri Mohamed yang diminta mengulas mengenai perbuatan sesetengah individu yang didakwa mengambil tanah kubur Nik Abdul Aziz untuk azimat.

Katanya, perbuatan tersebut boleh menjurus kepada khurafat dan merosakkan akidah kerana menganggap tanah kubur itu mempunyai kelebihan. Tambahnya, pada suatu ketika dahulu, pengunjung yang mengunjungi makam Imam Syafie melontarkan duit dan kertas dengan tujuan memohon sesuatu dan perbuatan itu ditegah dalam Islam.

“Apa lagi kalau kita anggap tanah kubur ada kelebihan, boleh jadi ubat, boleh jadi azimat. Itu sudah melampaui batas yang dibenarkan oleh Islam kerana kita hadir ke kubur mengingatkan kita akan mati dan akan dikuburkan seperti itu.

“Kepada si mati, kita hanya doakan supaya dia ditempatkan dalam kalangan orang soleh. Itu sahaja,” ujar Mohamed Shukri.

Beliau berkata demikian ketika di minta mengulas mengenai kenyataan anak Allahyarham, Nik Mohamed Abduh yang mendedahkan bahawa terdapat individu  tertentu yang datang ke pusara bapanya dan membawa balik tanah bagi tujuan yang dipercayai boleh membawa kepada perbuatan khurafat dan syirik.

Nik Mohamed Abduh menjelaskan beliau mendengar perbuatan pihak tertentu yang mengambil tanah berkenaan kononnya untuk mendapatkan berkat.

Perbuatan itu kata beliau bercanggah dengan ajaran Islam dan berharap agar ia dihentikan segera.

Jangan Buat Khurafat Di Kubur Nik Aziz
Jangan Buat Khurafat Di Kubur Nik Aziz
Jangan Buat Khurafat Di Kubur Nik Aziz
Mohamed Shukri menjelaskan, menziarahi kubur merupakan perkara sunat dan perlu mematuhi adab yang digariskan.

Ia termasuk tidak melakukan perbuatan memuja, mengambil tanah, memohon hajat dari si mati, membuat kenduri di tanah kubur dan sebagainya.

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat penilaian berlebihan dengan mendakwa sesuatu perkara yang luar biasa sehingga wujud ketaksuban yang kelak membawa kepada pemujaan.

Katanya dalam soal penilaian hanya Allah yang berhak memberikan  kemuliaan kepada sesiapa yang dia kehendaki.

Sejak semalam, kubur Allahyarham Nik Abdul Aziz dipasang dengan pita kuning bagi mengelakkan orang ramai merapatinya - Astro Awani


KEPUTUSAN DAN JADUAL LIGA PERDANA INGGERIS 2014 SINI

0 comment... add one now