Senarai Orang Terkaya Di Malaysia 2015

Senarai Terkini Orang Terkaya Di Malaysia 2015. Kedudukan ranking senarai orang terkaya di Malaysia 2015 banyak dipengaruhi oleh faktor kejatuhan harga minyak dan nilai matawang ringgit di pasaran dunia sekarang. Walau bagaimanpun, Tan Sri Robert Kuok dan beberapa hartawan perniagaan tempatan yang selalu tersenarai terus mengekalkan kedudukan masing-masing dalam Senarai Individu Terkaya Malaysia anjuran Forbes yang dipetik oleh BERNAMA.

Robert Kuok, 91, yang menjalankan perniagaan pelbagai termasuk minyak sawit, gula, hartanah dan perhotelan terus mengungguli kedudukan teratas bagi tahun ke-10 berturut-turut. Nilai kekayaan beliau bagaimanapun menyusut AS$200 juta kepada AS$11.3 bilion (RM40.8 bilion). Mengikut Forbes, Kuok Group menguasai beberapa syarikat yang tersenarai di Hong Kong, Malaysia serta Singapura.

Kedudukan kedua adalah milik Tan Sri Ananda Krishnan.
Nilai kekayaan taikun telekomunikasi turut susut sebanyak AS$1.6 bilion kepada AS$9.7 bilion, sebahagiannya akibat kejatuhan saham Bumi Armada yang juga syarikat perkhidmatan telaga minyak luar pesisir. Aset telekomunikasi mewakili separuh kekayaannya menerusi pemilikannya dalam Maxis, kata Forbes.

Orang Terkaya Di Malaysia 2015
Quek Leng Chan berganjak ke tempat ketiga daripada keempat sebelum ini, biarpun kekayaannya susut sebanyak AS$800 juta bagi tempoh setahun lalu kepada AS$5.6 bilion.

Beliau yang memiliki Hong Leong Co, mempunyai kepentingan dalam pelbagai sektor daripada makanan kepada kewangan selain pelaburan dalam sektor minyak dan gas (O&G) serta pegangan dalam firma Indonesia Samudra Energy, syarikat Malaysia Scomi Energy Services, Alam Maritim Resources dan firma Singapura, Ezion yang menjadi pembekal sokongan untuk perkapalan dan telaga minyak.

Senarai terkini Forbes itu turut dibarisi empat muka baharu iaitu taikun hartanah Khoo Cheng Hai di tempat ke-45 dengan nilai kekayaannya AS$285 juta selepas sahamnya dalam KSL Holdings berlipat ganda; pakar pembungkusan Lim Teck Meng daripada Scientex (tempat ke-46 dengan kekayaan AS$280 juta); hartawan fabrikasi minyak-perkapalan Coastal Contracts Ng Chin Heng (tempat ke-47, AS$275 juta) hartawan hartanah dan pengasas bersama United Overseas Australia, Kong Chong Soon (tempat ke-50, AS$240 juta).

Taikun kasino Tan Sri Lim Kok Thay daripada Genting Group menduduki tempat keempat dengan kekayaan bernilai AS$5.5 bilion, merosot daripada AS$6.5 bilion tahun lalu berikutan penyederhanaan ekonomi China yang menjejaskan sektor perjudian dan hiburan rantau ini.

Bagaimanapun, kekayaan yang dimiliki beberapa hartawan yang tersenarai, terjejas teruk terutama mereka yang memiliki pelaburan atau berkaitan sektor minyak.

Tan Sri Mokhzani Mahathir yang juga pelabur dalam firma perkhidmatan minyak dan gas iaitu SapuraKencana Petroleum, turut menyaksikan kekayaannya susut kepada AS$700 juta (RM2.5 bilion) berbanding AS$1.2 bilion (RM4.33 bilion), tahun lalu.

Namun, tidak semua hartawan Malaysia berdepan cabaran sedemikian.

Tan Sri Lau Cho Kun yang juga taikun kelahiran Sabah, mencecah status bilionaire dan muncul individu ke-15 terkaya di Malaysia menerusi hasil perladangan dan perdagangan dengan nilai kekayaannya AS$1.08 bilion (RM6.5 bilion). Beliau adalah pemegang saham terbesar dalam Hap Seng Consolidated Bhd.

Kekayaan taikun perisian, Goh Peng Ooi meningkat kira-kira AS$450 juta kepada AS$1.55 bilion (RM5.6 bilion) dan tersenarai ahli perniagaan kesembilan terkaya di Malaysia.

Firma miliknya, Silverlake Axis kini membekalkan perisian kewangan kepada 40 peratus bank di serata Asia Tenggara.

Antara syarat untuk tersenarai tahun ini adalah pemilikan kekayaan minimum AS$240 juta (RM866 juta), meningkat daripada AS$220 juta (RM794 juta).

Senarai penuh boleh diperolehi di www.forbes.com/malaysia dan edisi terbaharu Forbes Asia. Berikut adalah senarai orang terkaya di Malaysia 2015 :-


1) Robert Kuok - AS$11.3 bilion (RM40.8 bilion)
2) Ananda Krishnan - AS$9.7 bilion (RM35 bilion)
3) Tan Sri Quek Leng Chan (AS$5.6 bilion)
4) Tan Sri Lim Kok Thay (AS$5.5 bilion)
5) Tan Sri Teh Hong Piow (AS$5.4 bilion)
6) Tan Sri Lee Shin Cheng (AS$4.6 bilion)
7) Tan Sri Yeoh Tiong Lay (AS$3 bilion)
8) Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary (AS$2.9 bilion, RM10.5 bilion)
9) Goh Peng Ooi (AS$1.55 bilion) dan 
10) Tan Sri Lee Oi Hian serta Datuk Lee Hau Hian AS$1.45 bilion.

KEPUTUSAN DAN JADUAL LIGA PERDANA INGGERIS 2014 SINI

0 comment... add one now