Keputusan Penuh Piala FA 21 Mac 2015

Keputusan Penuh Perlawanan Piala FA 21 Mac 2015. Pahang dan Lions XII menjadi dua pasukan terkahir yang layak ke pusingan Suku Akhir Piala FA 2015 malam ini. Pahang dipaksa berhempas pulas sebelum menang 2-1 ke atas pasukan Liga FAM, MISC-MIFA manakala Lions XII menang besar 4-0 ke atas kelab Liga Perdana, KL SPA di Stadium Jalan Besar. 

Di Kuantan Pahang, MISC-MIFA yang diperkuatkan oleh beberapa pemain berpengalaman antaranya bekas pemain Negeri Sembilan, K Nanthakumar berjaya membuatkan peminat Pahang 'berpeluh' di Stadium Darulmakmur. Beraksi di Liga FAM, MISC-MIFA berjaya mengikat Pahang yang juga penyandang juara Piala FA musim lepas dengan keputusan 0-0 sehingga berakhir babak pertama hasil permainan kemas yang ditampilkan.

Begitupun, ia hanya mampu bertahan tiga minit memasuki babak kedua dengan Pahang memperoleh jaringan pertama menerusi pemain sayap kebangsaan, R Gopinanthan pada minit ke 48. Tidak puas dengan jaringan itu, Pahang kemudian berjaya meledak gol kedua menerusi penyerang, Mohd Fauzi Roslan pada minit ke-58.

Namun ketika permainan hampir tamat, kealpaan benteng Pahang akhirnya dihukum apabila MISC-MIFA menjaringkan gol dianggap saguhati menerusi S Harivarman pada minit ke-90.
 

Keputusan Penuh Piala FA 21 Mac 2015
Di Singapura pula, LIONS XII berada dalam keadaan selesa mendahului di depan 2-0 mengakhiri babak pertama. Lions XII menambah dua lagi gol pada babak kedua dengan penyerang, Khairul Amri menampilkan bisanya dengan menjaringkan dua gol. Gol pertama Lions XII dijaringkan Madhu Mohana yang menampan bola hasil sepakan penjuru Gabriel Quak seawal minit ke-16 permainan dan gawang pelawat sekali lagi bolos pada 10 minit kemudian hasil rembatan menarik Khairul.

Berada di kedudukan tercorot Liga Perdana, KL SPA nampak di kelas berbeza berbanding Lions XII namun sesekali melakukan cubaan terutama menerusi penyerang import, Ijezie Michael Chukubunna.

Memasuki babak kedua, tuan rumah tambah selesa apabila pemain kebangsaan Singapura, Quak kemudian menambah gol Lions XII pada minit ke-57 sebelum Khairul melengkapkan jaringan pada minit ke-83.

Kemenangan menyaksikan Pahang dan Lions XII menyertai Pulau Pinang, Sime Darby, Kelantan, Perak, JDT II dan Terengganu yang turut menempah tiket ke suku akhir Piala FA musim ini - BH online


KEPUTUSAN DAN JADUAL LIGA PERDANA INGGERIS 2014 SINI

0 comment... add one now