Aktiviti Perindustrian Dan Pembangunan

Aktiviti Perindustrian Dan Pembangunan. Perkembangan ekonomi Malaysia bergantung kepada industri pembuatan, terutamanya elektronik, kimia dan juga getah. Namun kadar pengeluaran yang kian meningkat telah menyebabkan penambahan pada pelepasan pencemaran gas organik dan bukan organik, bahan kimia dan juga habuk. Pelbagai jenis industri menghasilkan bahan cemar yang berbeza. Contohnya industri kimia melepaskan pencemar yang mengandungi pelbagai kompaun yang berasaskan nitrogen dan sulfur, manakala kilang penapis minyak mengeluarkan asap yang mengandungi sulfur dioksida dan hidrokarbon. 

Industri logam pula bertanggungjawab mencemarkan udara dengan sulfur dioksida dan habuk toksik. Sesetengah bahan pencemar, terutamanya karbon dioksida adalah merupakan gas rumah hijau yang amat memudaratkan boleh mengakibatkan perubahan iklim seluruh dunia. Selain pelepasan bahan toksik ke udara, pembangunan premis atau zon industri tanpa perancangan teliti dan kawalan akan mengakibatkan pencemaran bunyi dan getaran. Aktiviti di tapak pembinaan dan bunyi kipas ekzos di kilang-kilang adalah antara contoh-contoh aktiviti yang menghasilkan paras bunyi yang tinggi. 
Aktiviti Perindustrian Dan Pembangunan
KENDERAAN MOTOR
Masyarakat moden amat bergantung kepada pengangkutan bermotor seperti kereta, lori dan keretapi. Setiap pergerakan kenderaan motor menggunakan tenaga yang banyak dan hampir kesemuanya dihasilkan dengan membakar bahan api  fosil, yang menghasilkan asap dan bunyi bising yang membawa kesan buruk kepada keadaan setempat. Kualiti udara persekitaran amat bergantung kepada jenis sistem pengangkutan yang digunakan, jenis sumber tenaga, tahap teknologi enjin dan juga jumlah tenaga yang diperlukan. 


Di dalam sektor pengangkutan, kenderaan motor adalah penyumbang utama kepada pencemaran udara. Penggunaan pengangkutan awam akan mengurangkan impak pencemaran ke atas alam sekitar. Dalam tahun 2004, 14 juta kenderaan berdaftar digunakan di Malaysia, angka ini dua kali ganda berbanding dengan sedekad lalu. Angka ini akan terus meningkat dari tahun ke tahun dengan meningkatnya pendapatan, pemindahan luar bandar ke bandar dan kekurangan kemudahan pengangkutan awam yang cekap.
 

PENJANAAN KUASA
Hampir kesemua tenaga elektrik dihasilkan dengan membakar bahan api fosil seperti gas asli, minyak dan arang batu. Loji-loji janakuasa jenis ini mempunyai tahap kecekepan antara 35 dan 40 peratus di mana tenaga selebihnya bertukar menjadi haba. Pada masa ini, Malaysia menjana 86 peratus keperluan tenaga elektriknya melalui loji janakuasa konvensional manakala baki 14 peratus dihasilkan oleh stesen janakuasa hidro. 


AKTIVITI HARIAN
Isi rumah menyumbang kepada pencemaran melalui penggunaan tenaga untuk mesin dan perkakas elektrik seperti peti sejuk. Peti sejuk dan penyaman udara bukan sahaja menggunakan banyak tenaga tetapi alat-alat ini juga mencemarkan udara apabila cecair penyejuk yang digunakan melepaskan Klorofluorokarban (CFC) ke udara seterusnya menipiskan lapisan ozon. Peralatan rumah seperti penyembur aerosol yang mengandungi CFC juga adalah punca pencemaran udara.
 

PEMBAKARAN TERBUKA
Pembakaran pokok tua di kawasan ladang untuk tujuan penanaman semula banyak partikel jelaga. Partikel jelaga ini boleh diterbangkan pada jarak yang jauh oleh angin dan inilah punca jerebu yang kerap menyelubungi ruang udara Malaysia. Api dari pembakaran ini bukan sahaja menghasilkan asap yang mencemarkan tetapi ia juga memusnahkan segala fauna dan flora di sekitarnya.

PUNCA
Lapisan atmosfera dan litosfera dicemari pelbagai bahan yang dihasilkan oleh aktiviti manusia. Bahan seperti karbon monoksida dan hirokarbon merupakan kesan sampingan daripada aktiviti pembakaran petrol enjin kenderaan. Racun makhluk perosak yang digunakan secara meluas juga mencemari udara dan air. Jika keadaan ini dibiarkan berterusan, alam sekitar kita akan menghadapi pelbagai kesan langsung dan tidak langsung susulan sikap tamak manusia. Justeru, langkah segera wajar diambil untuk menyelamatkan bumi kita daripada terus dicemari.


Kempen kesedaran mengenai program kitaran semula perlu diperluas kepada semua lapisan masyarakat di seluruh negara. Tempat-tempat khas harus disediakan untuk membolehkan orang ramai membawa bahan-bahan yang boleh dikitar semula seperti botol, plastik, bekas minuman aluminium, bateri terpakai, tayar buruk, kertas atau surat khabar lama dan besi. Walaupun ini melibatkan kos yang tinggi, dalam jangka panjang kaedah ini dipercayai dapat membantu pemuliharaan alam sekitar dan seterusnya menjimatkan sumber alam.


Racun makhluk perosak patut dielakkan penggunaannya kerana ia menyebabkan barah dan merosakkan buah pinggang. Racun serangga dalam bentuk semburan yang mengandungi gas metana (methane) perlu dielakkan sama sekali kerana ia boleh mencemarkan dan membocorkan lapisan ozon. Sebaliknya, kaedah-kaedah alternatif pengawalan serangga seperti pertanian organik dan pertanian dalam rumah kaca patut diperluas. Ini dapat mengelakkan pencemaran alam. Selain itu, pengawalan serangga secara biologi boleh digunakan tanpa menjejaskan alam sekitar.


Dalam keghairahan menjadi negara industri, Malaysia tidak patut mengabaikan masalah penebangan hutan. Negara-negara maju telah memusnahkan sebahagian besar hutan simpanan mereka sehingga kawasan tadahan mereka telah berkurang. Pengurangan kawasan tadahan ataupun hutan simpanan bukan sahaja telah meningkatkan suhu, malahan menimbulkan masalah kekurangan air bersih. Dengan mengekalkan kawasan hutan simpanan, kawasan-kawasan tadahan air adalah terlindung. 


Ini amat penting untuk tujuan penghasilan hujan. Selain itu, pemaju perumahan perlu menanam seberapa banyak pokok yang boleh di tapak projek mereka. Ini penting untuk keseimbangan ekologi kawasan perumahan. Selain membekalkan oksigen, pokok-pokok ini juga dapat menyerap karbon dioksida dan membantu dalam proses pemeluwapan.

Kerajaan juga perlu mengkaji setiap permohonan untuk mendirikan kilang dengan teliti. Pihak kerajaan hares memastikan agar tidak meluluskan permit kepada pihak yang ingin mendirikan kilang atau industri yang berbahaya atau yang boleh mencemarkan alam sekitar. Ini penting kerana buangan industri seperti bahan kimia, gas beracun, asap kotor dan pencemaran bunyi boleh mencemarkan alam sekitar dalam jangka masa panjang.


Stesen-stesen janakuasa di Malaysia menggunakan bahan api seperti gas asli, disel dan batu arang. Permintaan yang tinggi untuk elektrik menyebabkan stesen-stesen jana kuasa beroperasi lama dan menggunakan bahan api yang melepaskan sulfur dioksida. Sulfur dioksida menjejaskan atmosfera dan segala kehidupan di bumf. Langkah paling bijak adalah dengan mencari sumber alternatif seperti tenaga suria, kuasa angin ataupun kuasa ombak yang tidak menjejaskan alam sekitar kita.


Kesimpulannya, pencemaran alam sekitar merupakan satu isu yang perlu diberi perhatian serius dan segera. Aktiviti pembangunan manusia telah memusnahkan alam sekitar, selain menjejaskan kesejahteraan manusia dan hidupan lain. Jika kemusnahan yang dilakukan secara sedar ataupun tidak sedar ini tidak dibendung, segala kehidupan di planet ini pasti akan menghadapi kepupusan.


1 comment... add one now

Farah Waheda Wahid Farah Waheda Wahid 29 Mei, 2015
salam jumaat dan terima kasih di atas perkongsian...