Speed Limiter 110 KM/J Elak Kemalangan

Cadangan Pasang Alat Pengehad Kelajuan Kereta Maksimum 110 KM/J Elak Kemalangan. Dipetik dari BERNAMA pada 7 Mac 2015, sebagai langkah mengurangkan kemalangan jalan raya, kereta-kereta di Malaysia dicadangkan dipasang peranti yang mengehad kelajuan maksimum pada 110 km sejam. Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah, berkata cadangan itu sejajar dengan undang-undang di Malaysia yang menetapkan had kelajuan maksimum 110 km sejam. 

"Jika ini dapat dilaksanakan maka kita akan menjadi negara pertama di dunia mengehadkan kelajuan kereta berdasarkan had laju mengikut undang-undang negara," katanya selepas merasmikan program 'Creativity & Science 4U' anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Zon Selatan di Sekolah Menengah Teknik Tuanku Jaafar, Seremban. Katanya, alat mengehadkan kelajuan itu boleh didapati dengan mudah.
Alat Pengehad Kelajuan Kereta Maksimum 110 KM/J
"Ia adalah alat biasa berharga kurang daripada RM500, ..boleh mengehadkan kelajuan sesebuah kenderaan mengikut yang dikehendaki. "Alat ini boleh dipasang pada semua kenderaan termasuk motosikal, ...juga boleh dipasang pada kereta import," kata Abu Bakar. Katanya, kereta peronda polis, ambulans, bomba dan agensi penguatkuasa lain wajar dikecualikan peraturan berkenaan. 

Mengikut statistik kadar kemalangan jalan raya di negara ini setiap tahun adalah tinggi dan banyak mengorbankan nyawa. Walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk mengatasinya termasuk memperhebatkan operasi penguatkuasaan, kemalangan jalan raya sukar dibendung. "Mengehadkan kelajuan semua kenderaan adalah kaedah sesuai untuk mengurangkan kemalangan jalan raya di negara ini," katanya. - BERNAMA

0 comment... add one now