Panduan Cara Mendidik Anak Solat Dengan Mudah Dan Berkesan

Panduan Cara Mendidik Anak Solat Dengan Mudah Dan Berkesan. Anak atau zuriat adalah anugerah Allah yang cukup berharga kepada ibu bapa. Mereka juga adalah amanah untuk dipelihara dengan sempurna termasuk memastikan keselamatannya di dunia dan akhirat. Dikongsikan 15 Cara Mendidik Anak Solat, Tips & Panduan Mudah! yang dipetik dari status FB Masjid Negara KL. Moga ianya bermanfaat. 

Inginkan Anak Cemerlang? Klik Disini!  

Cara Mudah Mendidik Anak Solat

1. Dekatkan anak dengan laungan Azan

Apabila mendengar azan di TV, biarkan ia disiarkan di TV dan ajarkan anak cara menyahut azan. Begitu juga jika di luar rumah atau di dalam kereta, berhenti berbual atau apa saja aktiviti ketika itu dan sahutlah azan. Ini dapat menjadi contoh untuk anak-anak dan mengajar mereka azan dan juga cara mnghormati dan menyahut azan. Jika berkesempatan, boleh ceritakan pada anak sejarah azan, kenapa ada azan dan kisah Bilal bin Rabah. Baca doa lepas azan, biar anak tengok.
cara didik anak solat

2. Ajarkan anak doa selepas azan

Bacakan doa selepas azan dan ajak anak untuk ikut atau mengamiin kan doa itu. Jika di amalkan selalu, 5 kali sehari, 7 kali seminggu, sampai sebulan insyaAllah anak pun sudah boleh membacanya sendiri. Jangan lupa amalkannya di rumah ataupun di luar ataupun di dalam kereta. Ambil peluang di mana saja ketika mendengar azan. Ajar anak jadi imam pada adik-beradik lain.

3. Didik anak solat sejak bayi

Jika anda mempunyai anak kecil, setiap kali solat, bawa sekali anak dalam solat dengan cara mendukung anak (rujuk cara dukung anak dalam solat). Ini boleh dilakukan oleh ibu ataupun bapa. Jika di lakukan setiap kali di awal waktu solat, anak kecil itu akan sentiasa bersedia setiap kali masuk waktu solat. Sekiranya anak sudah sedikit besar dan tidak mampu untuk didukung lagi, letakkan anak di sebelah kita bersolat seperti di dalam ‘playpen’ supaya anak dapat melihat kita bersolat. Kebanyakan situasi, anak-anak akan tenang apabila berada bersama kita ketika solat. In Shaa Allah, dipermudahkan. Tidak perlu tunggu hingga 10 tahun, baru kita terhegeh-hegeh mahu mengajarkan dan menunjukkan cara mendidik anak solat. Mulakan dari usia bayi lagi.

4. Ajarkan anak wudhu’

Jangan lepas tangan, biarkan tanggunjawab pada guru di sekolah tunjukkan cara wudhu’. Semak juga cara bagaimana anak ambil wudu’. Ajarkan anak mengambil wudhu’ dengan betul. Tampalkan cara mengambil wudhu’  bergambar di setiap bilik air supaya mudah anak mengikutinya. Setiap kali selepas azan, terus suruh anak anak ambil wudhu’. Cara mendidik anak solat bermula dengan wudhu’. Bila wudhu’ sempurna, barulah solat juga sempurna.
(Cara ambil wudhu’ boleh didapati di muka belakang Muqaddam). Baca Al-Quran pada anak.

5. Dengarkan anak bacaan dalam solat

Solat bersama anak dan kuatkan sedikit bacaan dalam solat supaya anak dapat mendengar dan mengikut. Pada masa yang sama anak akan menghafal bacaan dalam solat dan secara tak langsung menghafal surah-surah lazim.

6. Solat bersama atau berjemaah

Suami ajak anak lelaki ke masjid. Cuba untuk solat bersama sama pada setiap waktu, bangun awal untuk sama sama solat Subuh sebelum keluar bekerja atau menghantar anak ke tadika atau sekolah. Solat berjemaah dan kenalkan aturan saf. Jika ayah bekerja, bolehlah solat bersebelahan dengan ibu. Jika tidak ke surau atau masjid, apabila hujung minggu, ambil peluang untuk berjemaah bersama-sama.

7. Ajarkan anak berwirid

Bacakan wirid supaya anak dapat mendengarnya dengan jelas. Lama-kelamaan anak juga turut hafal kerana 5 kali sehari diperdengarkan wirid yang sama. Di waktu waktu terluang, bacakan maksud wirid tersebut. Mohon pada Allah agar anak berjaya dunia akhirat

8. Bacakan doa untuk anak

Selepas berwirid, bacakan doa dalam Bahasa Melayu yang ‘special’ untuk setiap anak, biar mereka mendengar doa itu. Selitkan juga doa syukur kerana mendapat anak yang baik seperti mereka (sebutkan nama anak sekali dalam doa) yang rajin solat, rajin belajar, rajin menolong ibu dan ayah. Isikan pengharapan kita di dalam doa itu kepdaa Allah dan biarkan anak anak mendengar doa tersebut. Cuba lihat reaksi mereka. Cara ini mampu melembutkan hati anak anak. Bersalaman, hormati adik-beradik yang lebih tua.

9. Bersalaman selepas solat

Bersalaman selepas solat di iringi dengan ciuman dan pelukan kasih sayang. Cara ini dapat mengalirkan ikatan yang kuat antara ibubapa dan anak. Peluk rapat-rapat ahli keluarga kita. Walaupun anak kecil tidak tahu apa-apa, mereka akan rasakan aura kegembiraan itu jika bersalaman satu keluarga. Bukan sahaja satu cara mendidik anak solat, bersalaman dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

Ketahui Amalan Orang Murah Rezeki! Klik Sini!  

10. Beri mereka pujian

Puji mereka setiap kali selepas solat. Puji sikap mereka yang tekun, solat dengan baik, tidak joget-joget dan bermain-main. Beritahu mereka yang kita bangga dan bersyukur mendapat anak seperti mereka.

11. Tazkirah

Jika berkesempatan, selitkan sessi tentang perkara mengenai solat setiap kali selepas solat. Seperti rukun solat, apa faedah solat, sejarah solat Nabi Muhammad dan Isra’ Mikraj. Anggaplah ia sessi tazkirah bersama anak, boleh di amalkan seminggu sekali atau setiap kali selepas solat Magrib. Cara mendidik anak solat yang sebegini selalu lebih berkesan, dan melekat dalam minda anak.

12. Tegur kesilapan solat anak

Setiap kali solat, jika tepandang silap anak, tegur mereka selepas sesi berdoa. Tetapi jangan lupa untuk mulakan dengan pujian setiap kali ingin tegur kesilapan anak. Beginilah cara mendidik anak solat yang anak suka. Ibu bapa tidak marah, malah beri pujian pula.

13. Ajak anak ke masjid atau surau

Jika berdekatan rumah ada masjid, sila ke masjid. Jika tiada, ke surau sahaja. Ini adalah antara cara yang paling efektif. Bila selalu ke masjid dan solat, mereka dapat praktis dan lihat bagaimana orang lain solat sambil ikut imam.
Kadang-kadang, anak kecil hanya tahu bermain sahaja di masjid atau surat. Biarkan sahaja mereka, asalkan tidak membuat bising yang keterlaluan. Inilah satu cara mendekatkan mereka dengan rumah Allah, dalam salah satu cara mendidik anak solat secara halus. Walaupun tidak faham, lama-kelamaan, dia akan memahaminya sendiri.

14. Belikan telekung dan songkok/kopiah yang anak suka

Ingat lagi zaman dulu-dulu, ramai ibu sanggup mengait buah kopiah anak sendiri? Siap ada nama lagi. Itu adalah salah satu cara agar anak rajin pakai kopiah dan mengerjakan sembahyang. Nampak jelas kesungguhan orang-orang lama dalam usaha mengajarkan cara mendidik anak solat, sebelum mereka tahu apa-apa tentang solat. Sekiranya ada anak perempuan, ajak dia ‘shopping’ sama-sama dan belikan telekung yang dia berkenan. Semoga usaha mendidik anak solat akan jadi lebih mudah jika anak ada pakaian kegemaran mereka sendiri.

15. Amalkan doa surah Ibrahim ayat 40

Dalam usaha dan cara mendidik anak solat, amalkan doa dari Surah Ibrahim ayat 40 setiap kali selepas solat dan sebelum tidur iaitu dihembuskan di umbun2 mereka. Bacakan supaya anak dapat mendengar sama dan ajak anak membaca doa itu bersama, lama kelamaan mereka dapat menghafal doa itu.

(40) رَبِّ اجْعَلْنِى مُقِيمَ الصَّلوةِ وَمِن ذُرِّيَتِى رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَآءِ
 

Maksudnya: Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

Didiklah anak tentang solat bermula dengan solat 5 waktu, dan kemudiannya barulah solat-solat sunat berjemaah seperti solat hari raya dan sebagainya. Jangan nanti anak anak hanya tahu solat Hari Raya sahaja, tetapi tidak tahu solat 5 waktu dan solat Jumaat. Terlalu banyak perkara yang boleh kita lakukan untuk mendekatkan anak dengan solat.

Pukul anak jika tidak solat?

Menurut Mufti Negeri Sembilan, pukul ialah satu konsep balasan kepada kesalahan yang dilakukan oleh anak. Sehubungan dengan itu, kita harus mendenda anak sekiranya mereka cuai atau melakukan kesalahan. Berdasarkan ini, Islam mengharuskan kita memukul atau merotan anak sekiranya mereka meninggalkan solat ketika berumur sepuluh tahun. 

Pada usia ini ada antara anak kita yang telah mencapai umur baligh atau hampir baligh iaitu usia taklif. Akan tetapi apa yang diharuskan itu mestilah satu perkara yang munasabah.

Dalam usaha mengajar dan menunjukkan cara mendidik anak solat, selain ibu bapa, para guru juga diharuskan mendenda atau merotan anak muridnya yang cuai atau melakukan kesalahan. Walau bagaimana pun janganlah terlalu mudah untuk mengenakan denda atau rotan tanpa cuba memperbaiki atau memperbetulkannya terlebih dahulu dengan pelbagai cara yang lain seperti nasihat.

Perkara ini penting dilakukan bagi tujuan menanamkan perasaan pada anak bahawa denda atau rotan itu bertujuan untuk menghentikan mereka daripada melakukan kesalahan berulang-kali untuk kepentingan diri mereka sendiri. Lantaran, Islam lebih menggalakkan kita berlemah-lembut dalam menyampaikan ilmu kepada anak-anak agar matlamat mendidik anak-anak tersebut tercapai dan tidak menganggu perkembangan psikologi mereka.

Harapan kami

Usaha mengajar dan cara mendidik anak solat bermula dari kecil. Tempoh umur 1-10 tahun ialah masa yang kritikal. Pada usia kecil, kita kena terapkan betapa pentingnya solat dalam diri anak kita.

Andainya tidak semua tips di atas mampu kita lakukan, lakukan sedikit yang termampu. In Shaa Allah, Allah akan membantu yang selebihnya. Dan ingatlah bahawa apa yang anda ajarkan adalah untuk bekalan mereka dan bekalan kita semua.

Semoga bermanfaat.
[1] Di ambil dari Prophetic Parenting, Dr. Muhammad Nur Abdul Hafizh Suwaid page 353.


1 comment... add one now

Oneyani Deankayree Oneyani Deankayree 19 Mei, 2015
panduan yg sgt bergunaa.. sy sgt bersetuju.. tidak boleh terlalu memaksa budak ketika kecil untuk bersolat malah ambilah perhatian supaya dia bersolat..