Model Baharu Penajaan JPA 2016

Model Baharu Penajaan JPA 2016. Berikut dikongsikan model baru Penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang diumumkan pada 5 April 2016 untuk panduan pelajar yang berminat untuk mendapatkan pinjaman pendidikan dalam melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Model Baharu Penajaan JPA 2016 ini dirangka berdasarkan kepada empat teras utama iatu :
  1. Merit dan Inklusiviti
  2. Fokus kepada Golongan B40, M40 dan Technical & Vocational Education and Training (TVET)
  3. Pembangunan Malaysia sebagai Hab Pendidikan
  4. Pulangan Pelaburan
Penajaan JPA 2016 terkini dan terbaru

Model Penajaan JPA Terkini 2016

Kerajaan telah bersetuju dengan Model Baharu Penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di mana program-program Penajaan JPA bagi tahun 2016 adalah seperti berikut seperti makluman Portal e-Sila:

A. Program Penajaan Nasional (PPN)

Penajaan melibatkan 20 pelajar terbaik SPM 2015 berdasarkan nama yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM). Pelajar ditaja mengikuti program persediaan dalam Negara dan pengajian di Peringkat Ijazah Pertama di universiti terkemuka dunia berdasarkan senarai QS World Ranking dan terhad kepada bidang-bidang yang ditetapkan oleh Kerajaan.

B. Program Khas Kejuruteraan

Penajaan kepada 200 pelajar cemerlang SPM 2015 yang berminat untuk mengikuti pengajian di peringkat Diploma/ Ijazah Pertama dalam bidang Kejuruteraan di Jepun, Korea, Perancis dan Jerman. Penajaan merangkumi kursus persediaan dalam negara dan pengajian peringkat seterusnya di negara-negara berkenaan. 

C. Program Ijazah Dalam Negara

Penajaan kepada 7,000 pelajar yang sedang mengikuti pengajian di Universiti Awam dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta dalam kategori GLC iaitu UNITEN dan MMU dan Universiti Teknologi Petronas (UTP).

D. Program Dermasiswa B40

Penajaan kepada 1,000 pelajar daripada keluarga dalam golongan B40 untuk mengikuti pengajian peringkat Diploma di Politeknik, UA/ IPTA, UNITEN dan MMU. Ianya merupakan program baru yang diperkenalkan dalam model baharu penajaan JPA 2016.

E. Program Lepasan Bursary & Program Bursary

Penajaan di Institusi Pengajian Tinggi dalam Negara. Program Bursary yang sebelum ini dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan dilaksanakan oleh JPA secara one off pada tahun 2016 sahaja. Program Bursary tidak akan diteruskan lagi bermula tahun 2017.

Pinjaman Boleh Ubah

Semua penajaan baru JPA mulai tahun 2016 adalah dalam bentuk pinjaman boleh ubah (kecuali Program Dermasisiwa B40) dengan mekanisme perjanjian pinjaman seperti berikut:
  • a) Pinjaman boleh diubah kepada biasiswa dan dikecualikan daripada bayaran balik sekiranya graduan berkhidmat dalam perkhidmatan awam;
  • b) Bayaran balik sebanyak 25% daripada jumlah pinjaman yang diterima sekiranya pelajar berkhidmat dengan syarikat milik Kerajaan (GLC) setelah tamat pengajian
  • c) Graduan dikehendaki membayar balik 50% daripada jumlah pinjaman sekiranya memilih untuk bekerja dengan syarikat swasta dalam negara setelah tamat pengajian; dan
  • d) Graduan dikehendaki membayar balik jumlah keseluruhan pinjaman sekiranya memilih untuk tbekerja di luar negara
Sumber : Kenyataan Akhbar JPA 5 April 2016

Semoga Model Baharu Penajaan JPA 2016 ini dapat mencapai objektif pembangunan modal insan negara untuk memberi peluang kepada lebih ramai pelajar melanjutkan pengajian di IPT tempatan serta memfokuskan kepada pelajar daripada golongan berpendapatan rendah.

0 comment... add one now