Apa Itu Difteria? Pencegahan Dan Rawatan

Apa Itu Difteria? Punca, gejala, tanda, cara merawat/ mencegah difteria. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui kenyataan akhbar yang dikongsikan dari KP Kesihatan telah mengesahkan berlakunya kes Difteria di Negeri Kedah dan Melaka yang menyebabkan kes kematian. Jadi apakah itu Difteria? Kedua-dua kes kematian ini tidak menerima imunisasi difteria yang lengkap dan meninggal dunia kerana komplikasi jangkitan. Oleh itu ibu bapa dan penjaga diingatkan akan kepentingan agar kanak-kanak diberikan imunisasi yang lengkap termasuk vaksin difteria bagi memberikan perlindungan terhadap jangkitan penyakit dan mencegah berlaku komplikasi akibat jangkitan.


  • Jadual Imunisasi KKM Terkini 2016 boleh dirujuk di Imunisasi KKM

difteria penyakit bakteria tekak

Apa Itu Difteria?

Dikongsikan dari Facebook KKM, Difteria adalah penyakit yang disebabkan oleh bakteria Corynebacterium diphteriae. Ia tersebar melalui titisan cecair pernafasan. Bakteria ini menjangkiti tekak (tonsil dan farinks) dan menghasilkan toksin yang menyebabkan keradangan di sekitar tekak dan bengkak leher yang boleh menyebabkan pesakit sukar bernafas. Toksin ini juga boleh menyerap ke dalam darah, melumpuhkan saraf dan menyebabkan keradangan jantung (miokarditis) yang menyebabkan kematian. Jangkitan difteria mempunyai kadar kematian yang tinggi, iaitu antara 25 ke 50%.

Menurut Infosihat pula, Difteria adalah 
Radang pada selaput hidung dan kerongkong yang disebabkan oleh toksin (racun) yang dihasilkan oleh bakteria Difteria. Kesannya adalah bengkak pada saluran pernafasan yang mengakibatkan saluran pernafasan tersumbat dan mungkin menyebabkan kematian. Penyakit difteria boleh dirawat dengan antibiotik. Adalah penting untuk diberikan antitoksin dengan segera bagi   mengelakkan kerosakan berkekalan pada jantung dan sistem saraf atau kematian. Hanya dengan pemberian imunisasi sahaja dapat melindungi anak anda daripada penyakit difteria.

Vaksin difteria terkandung dalam vaksin lima (5) serangkai, DTaP-IPV//Hib (Difteria, Pertusis, Tetanus, Polio dan Haemophilus influenzae type b). Ia diberikan pada usia 2, 3, 5 dan 18 bulan. Liputan imunisasi yang melebihi 95% dalam komuniti akan memberi imuniti kelompok (herd immunity) dan melindungi kanak-kanak daripada dijangkiti bakteria ini. Kanak-kanak yang telah menerima imunisasi lengkap hanya akan mengalami gejala ringan apabila dijangkiti dan terlindung dari komplikasi.

Tanda dan Gejala

  • Pembebasan sitotoksin menyebabkan keradangan dan terbentuknya selaput lembut berwarna kelabu di sekitar tekak.
  • Sukar menelan kerana tekak berasa sakit di kawasan antara rongga mulut dan farinks dan bengkak pada kelenjar leher.
  • Bagi kes yang teruk, leher menjadi bengkak dan edema.

Komplikasi

  • Kelumpuhan saraf kranial, motor periferi dan deria serta miokarditis.Kelumpuhan saraf otak, kaki dan tangan (motor periferi) serta deria dan radang pada jantung (miokarditis)

Rawatan

Rawatan khusus:
  1. Antitoksin diberikan serta-merta selepas spesimen bakteria diambil tanpa menunggu keputusan.
  2. Antibiotik tidak boleh mengantikan antitoksin.
  3. Eritromisin dan Penisilin diberi selepas kultur diperolehi.

Pencegahan

  1. Semua individu yang melakukan perjalanan ke luar negara perlu mendapatkan vaksin.
  2. Jenis vaksin: Toksoid Difteria.
  3. Bilangan dos: Sekurang-kurangnya 3, disuntik ke dalam otot.
  4. Jadual vaksin: Ketika berumur 2, 3 dan 5 bulan berdasarkan Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia.
  5. Dos tambahan: Ketika berumur 18 bulan dan 7 tahun.
  6. Kontraindikasi: Kesan buruk terhadap dos sebelumnya.
  7. Kesan buruk:  Kesan ringan di tempat suntikan atau seluruh tubuh.
  8. Sebelum berlepas: Dapatkan vaksin seawal mungkin. Terdapat sedikit perlindungan selepas dos vaksin yang kedua.

Oleh itu, Ibubapa yang masih lagi belum membawa anak-anak mereka mengambil imunisasi hendaklah segera membawa mereka untuk mendapatkan imunisasi vaksin lima (5) serangkai yang lengkap. Ia merupakan tanggungjawab ibubapa untuk memberikan perlindungan dan menyelamatkan anak-anak daripada mendapat jangkitan dan seterusnya komplikasi jangkitan dan kematian, seperti apa yang sedang berlaku sekarang. 
Sumber : MyHealth 

0 comment... add one now