Cara Mengekalkan Bangunan Bersejarah Di Malaysia

Langkah Mengekalkan Bangunan Bersejarah Di Malaysia. Berikut dikongsikan contoh Karangan Bangunan Bersejarah buat panduan pelajar semua. Bangunan bersejarah di negara kita amat perlu dikekalkan demi generasi yang akan datang. Bincangkan langkah-langkah yang dapat diambil untuk mengekalkan bangunan bersejarah tersebut atau cara memelihara bangunan bersejarah agar terus kekal.

kota a famosa melaka

Cara Mengekalkan Bangunan Bersejarah

Dalam era permodenan yang dihambat dengan pelbagai kemajuan, Malaysia masih mampu mengekalkan bangunan-bangunan bersejarah sebagai warisan budaya yang unggul. Di kota raya Kuala Lumpur sahaja, tersergam indah bangunan Sultan Abdul Samad yang menjadi mercu tanda kebanggaan penduduknya. Kerajaan turut mengorak langkah untuk mengekalkan bangunan-bangunan bersejarah ini bagi memastikan bangunan tersebut terus utuh sebagai bangunan yang bakal menjadi kebanggaan generasi akan datang. Pada masa yang sama, bangunan bersejarah yang memiliki seni bina yang unik ini dapat dijadikan satu tarikan kepada para pelancong untuk berkunjung ke negara kita. Justeru, pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi memelihara dan memulihara keunikan bangunan tersebut agar tidak pupus ditelan zaman.

Antara usaha yang telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan ialah mengorak langkah bagi mewartakan bangunan bersejarah ini sebagai satu warisan kebangsaan yang perlu dipelihara. Dengan pewartaan ini, bangunan-bangunan yang kebanyakannya dibina pada era penjajah dan berusia ratusan tahun, dapat dijamin kewujudannya dan terhindar daripada sebarang usaha pemusnahan. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur umpamanya, telah meletakkan Bangunan Sultan Abdul Samad sebagai bangunan bersejarah yang perlu dipertahankan dalam Pelan Induk Pembangunan Kuala Lumpur. Bagi memastikan bangunan tersebut terus kekal, usaha mengindahkan semula bangunan ini telah dilaksanakan sejak tahun 2002 lagi. Kesannya, bangunan kebanggaan negara tersebut kini tersergam indah menanti kunjungan pelancong sama ada dari dalam atau dari luar negara.

Bagi memenuhi impian seluruh masyarakat yang ingin melihat bangunan bersejarah di negara kita terus kekal, kerajaan juga telah mengambil inisiatif bagi menjalankan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan bersejarah di seluruh negara. Kerajaan memperuntukkan sejumlah wang yang bukan kecil jumlahnya demi menjalankan usaha membaik pulih bangunan-bangunan lama tetapi mempunyai nilai sejarah yang tinggi. Sebagai contohnya, usaha membaik pulih Bangunan Sultan Abdul Samad pada sekitar tahun 2007 yang diselia oleh Jabatan Kerja Raya telah menelan belanja sebanyak RM20 juta. Hal ini meliputi kerja-kerja menambah kemudahan asas di bangunan tersebut serta menambah baik struktur bangunan yang telah rosak. Perlu diingat bahawa segala kerja baik pulih tersebut hanya melibatkan bahagian dalam bangunan sahaja, manakala struktur dan bentuk bahagian luar bangunan tersebut masih dikekalkan dengan ciri-ciri lamanya. Maka, dengan usaha yang bersungguh-sungguh ini, hasrat masyarakat untuk melihat bangunan bersejarah di negara kita terus kekal akan dapat dicapai.

Pada masa yang sama, malaksanakan usaha bagi mengindahkan kawasan persekitaran bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita dengan lanskap yang menarik. Antaranya adalah dengan mengindahkan taman-taman bunga daripada pelbagai jenis flora yang terdapat di negara kita. Hal ini bertujuan untuk memastikan bangunan tersebut sentiasa mendapat kunjungan daripada orang ramai. Kemudahan-kemudahan awam yang terdapat di bahagian dalam mahupun di bahagian persekitaran turut diperbaiki atau ditambah nilai. Sebagai contohnya, Bangunan Sultan Abdul Samad turut dilengkapi dengan kemudahan ‘lift’, alat keselamatan serta tempat meletak kenderaan kepada para pengunjung. Dengan usaha yang bersungguh-sungguh ini, bangunan-bangunan bersejarah tersebut mampu menggamit kehadiran pengunjung sekali gus memperkenalkan budaya kita kepada masyarakat luar negara.

Selain itu, salah satu elemen penting yang mendasari usaha pemuliharaan bangunan bersejarah di negara kita adalah keterlibatan semua agensi yang berkaitan dengan kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan. Jabatan Arkitek Malaysia dan Jabatan Kerja Raya sebagai contohnya sentiasa memantau perkembangan usaha-usaha pengekalan bangunan-bangunan bersejarah di seluruh negara. Hal ini adalah bagi tujuan memastikan agar semua bangunan yang telah diwartakan sebagai warisan kebangsaan sentiasa terpelihara dan selamat dikunjungi. Tida cukup dengan usaha tersebut, beberapa buah universiti di tanah air kita sering kali menjalankan penyelidikan bagi mengenal pasti struktur dan reka bentuk bangunan ini menepati ciri-ciri yang diharapkan oleh masyarakat Malaysia. Usaha ini turut ditanamkan dalam jiwa kalangan pelajar yang mengambil mata pelajaran sejarah di mana mereka turut menjalankan kajian tentang bangunan-bangunan bersejarah di negara kita. Penyelidikan yang berterusan ini mampu menanamkan sikap cinta akan warisan budaya kita sesuai dengan matlamat kerajaan membangunkan nilai patriotism dalam jiwa remaja kita hari ini.

Bagi menyempurnakan cita-cita luhur untuk mengekalkan bangunan-bangunan bersejarah di negara kita, kerajaan turut bertindak memperkenalkan bangunan warisan tersebut kepada pelancong dari seluruh dunia. Usaha ini didepani oleh Kementerian Pelancongan dan juga Lembaga Penggalak Pelancongan Malaysia yang sentiasa merintis jalan bagi memperkenalkan tempat-tempat menarik di Malaysia. Melalui usaha ini, bangunan-bangunan bersejarah dijadikan sebagai tempat lawatan wajib bagi pelancong yang mengikuti pakej anjuran Kementerian Pelancongan. Langkah memperkenalkan bangunan bersejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad, Kota A famosa, Istana Jugra dan sebagainya mampu merealisasikan hasrat kita bagi mengekalkan bangunan bersejarah tersebut agar terus kekal di persada dunia. Pada masa yang sama, pemeliharaan bangunan bersejarah ini dapat mengekalkan fakta-fakta yang lebih jelas tentang budaya masyarakat kita yang hidup dan berkembang dalam lingkungannya yang begitu unik.

Intiharnya, kewujudan bangunan bersejarah di negara kita yang wujud sejak abad ke dua puluh lagi, mengambarkan kepelbagaian corak hidup masyarakat dahulu kala. Justeru, usaha untuk mengekalkan bangunan tersebut bagi tatapan generasi akan datang adalah amat perlu dilaksanakan demi kesinambungan budaya masyarakat kita. Budaya silam adalah cerminan masyarakat kita hari ini kerana budaya menunjukkan bangsa. Lantas, tanggungjawab kita adalah perlunya memberi kerjasama kepada pihak yang terbabit agar usaha memelihara dan memulihara bangunan bersejarah tersebut akan terus kekal padu dan berpanjangan. Via

0 comment... add one now