Latar Belakang Bangunan Binaan Bersejarah Di Malaysia

Latar Belakang Bangunan, Binaan Dan Monumen Bersejarah Di Malaysia. Berikut dikongsikan contoh latar belakang bangunan, binaan dan monumen bersejarah untuk panduan pelajar dalam membuat Kerja Kursus Sejarah PT3 2016. Latar Belakang Bangunan merupakan salah satu isi kandungan yang perlu dibuat dalam esei laporan Sejarah PT3. Selain itu pelajar perlu menerangkan struktur, sebab bangunan di bina, menganalisis fungsi dan keadaan bangunan pada masa kini dan mencadangkan langkah untuk memelihara/ memulihara bangunan.

contoh Latar Belakang Bangunan Bersejarah Di Malaysia

Contoh Latar Belakang Bangunan/ Binaan Bersejarah Di Malaysia

Berikut dikongsikan beberapa contoh latar belakang bangunan, binaan dan monumen bersejarah di lokasi terpilih di Malaysia :-

1. Masjid Mukim Kampung Laut Kelantan

Masjid Kampung Laut adalah masjid bersejarah yang mempunyai struktur binaan yang unik. Masjid yang terletak di Nilam Puri, Kelantan ini telah dibina kira-kira 250 tahun dahulu oleh ulama-ulama dari Tanah Jawa.

Masjid ini asalnya dibina di Kampung Laut, Tumpat berhampiran dengan tebing sungai Kelantan. Ia dibina dengan empat tiang yang menopang bumbung tiga tingkat yang diperbuat daripada daun rumbia. Bukaan ruang masjid hanya berkeluasan 400 kaki persegi.


Oleh kerana kerap kali dilanda banjir, masjid ini telah beberapa kali dipindahkan dan dibaik pulih tanpa mengubah bentuk asalnya. Sebahagian bangunan masjid ini pernah terbakar. Pada tahun 1968 Masihi, masjid ini telah dibuka dan dipasang semula di Jalan Kuala Krai, Nilam Puri.


Pada tahun 1988 Masihi, masjid ini sekali lagi dibaik pulih dan dibesarkan 13 belas kali keluasan bangunan asalnya. Ia dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan moden seperti bekalan elektrik, air paip, tandas dan lain-lain. Via IslamGRID.

2. Masjid Muhammadi

Masjid Muhammadi merupakan masjid yang terkenal di Malaysia secara amnya, dan secara khususnya di Kelantan. Ia merupakan Masjid Negeri dan terletak di Kota Bharu. Nama Masjid Muhammadi diambil sempena nama Sultan Muhammad ke IV yang sangat berjasa kepada Negeri Kelantan. Ia juga dipanggil sebagai "Masjid Besar" di kalangan sesetengah rakyat Kelantan.

Pada asalnya masjid ini diberi nama sebagai Masjid Besar Kota Bharu. Masjid ini telah dibina pada tahun 1867 pada zaman pemerintahanSultan Muhammad II (1830 - 1886) dengan menggunakan kayu-kayu yang terpilih. Pengubahsuaian bangunan masjid daripada kayu kepada struktur konkrit telah dilakukan pada tahun 1922 dan telah dirasmikan oleh KDYMM Baginda Sultan Ismail Ibni Al-Marhum Sultan Muhammad IV pada 31 Julai 1931, dan dinamakan sebagai Masjid Muhammadi.

Masjid ini mengalami kerja-kerja pengubahsuaian dan pembesaran pada tahun 1959, 1968, 1976 dan 1987. Luas keseluruhan masjid kini adalah 10,600 kaki persegi dan boleh memuatkan seramai 2,400 orang ahli jemaah.

Peranan Masjid Muhammadi di dalam penyebaran dan pendidikan Islam di Kelantan amatlah istimewa. Di sinilah beberapa ulama besar Negeri Kelantan telah mengajar pelbagai ilmu agama. Di antaranya ialah Tuan Taba (1840 - 1891), Haji Wan Ali Kutan (1837-1912) dan Tok Kenali (1868-1933). Sistem pengajaran di masjid ini mempunyai persamaan dengan pengajaran di Masjidil Haram, Makkah di mana pelajar akan ke Makkah untuk menyambung pelajaran mereka setelah tamat pengajian di masjid ini.

Masjid ini menjadi pusat penyebaran ilmu agama yang masyhur di Nusantara sehingga Kelantan dikenali sebagai "Serambi Mekah". via IslamGRID

3. Bangunan A'Famosa, Melaka

Kota A Famosa yang terletak di Bandar Hilir, Melaka bersebelahan replika Istana Kesultanan Melaka dan Gereja St. Paul, telah dibina oleh Portugis sebaik sahaja berjaya menawan Melaka pada tahun 1511. Kota A’ Famosa bermaksud "Yang Termasyhur" dalam bahasa Portugis. Ianya juga dikenali sebagai “Fortaleza de Malaca” dan merupakan antara seni bina Eropah tertua yang masih tinggal di Asia.

A Famosa merupakan kubu yang dibina oleh orang Portugis selepas menakluk Melaka pada 1511. Sebaik sahaja mereka menawan Melaka, Portugis menggunakan buruh paksa untuk membina kubu sementara bagi menangkis serangan orang-orang Melayu, sementara mereka membina kubu utama yang digelar "A Famosa", atau secara rasminya Kubu Melaka (Fortaleza de Malaca).

Kota A’ Famosa mengambil masa selama 5 bulan untuk di bina. Akibat suhu panas terik dan kekurangan makanan, ramai buruh paksa yang mati ketika membina kota tersebut. Bahan bagi membina kota tersebut diambil dari runtuhan masjid dan bangunan lain.

Pembinaan kota A Famosa atas arahan Alfonso de-Albuquerque boleh dikatakan menjadi lambang penentangan penduduk Melaka masa itu sehinggakan memaksa pihak Portugis membina kota pertahanan sebaik sahaja mereka menguasai bandar Melaka. Via Scribd 

4. Masjid Zahir (Masjid Negeri Kedah)

Masjid Zahir atau juga dikenali sebagai Masjid Zahrah merupakan Masjid Negeri Kedah yang terletak berhadapan dengan Balai Nobat dan Istana Pelamin di tengah-tengah bandar raya Alor Setar. Mula dibina pada 22 Rabiulawal 1330H (11 Mac 1912) atas usaha YTM Tunku Mahmud Ibni Almarhum Sultan Tajuddin Mukarram Shah, tapak masjid ini pada asalnya adalah tanah pusara wira-wira Kedah yang gugur semasa mempertahankan Kedah dari serangan Siam (1821).

Upacara perasmiannya dilakukan pada hari Jumaat, 6 Zulhijjah 1333H (15 Oktober 1915) oleh DYMM Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Tunku Mahmud telah membaca khutbah Jumaat sementara baginda Sultan Abdul Hamid Shah mengimamkan solat Jumaat. Ia juga dikenali sebagai Masjid Raja kerana ia merupakan masjid Diraja dan terletak di perkarangan Istana Pelamin. Masjid Malaysia. via Masjid Malaysia

5. Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru

Masjid Sultan Abu Bakar tersergam di atas sebuah bukit berhampiran bandar Johor Bahru dan mempunyai pemandangan indah Selat Johor dan Singapura. Masjid ini merupakan salah sebuah masjid lama yang tercantik di Malaysia.

Masjid Sultan Abu Bakar dibina pada 1 Muharam 1310 Hijri bersamaan 26 Julai 1892 Masihi, atas titah Sultan Abu Bakar. Ia terletak berhampiran pejabat Majlis Agama Islam dan Istana Besar Johor Bahru, iaitu di atas Bukit Kecil di Jalan Tun Dr. Ismail, mengadap Selat Tebrau, menjadikan ia antara bangunan yang mempunyai pemandangan yang indah di Johor Bahru.

Upacara perasmian masjid ini telah disempurnakan oleh Sultan Ibrahim (1895-1959) pada 1 Syawal 1317 bersamaan 2 Februari 1900 Masihi. Nama masjid ini diambil sempena nama Sultan Abu Bakar sendiri atau dikenali sebagai Bapa Johor Moden. Masjid ini boleh memuatkan seramai 2,000 orang jemaah pada satu-satu masa. via Islam Grid  


Semoga Latar Belakang Bangunan Binaan Bersejarah Di Malaysia ini boleh dijadikan sedikit panduan buat pelajar dalam menyiapkan Kerja Kursus Sejarah PT3 2016.

0 comment... add one now