Panduan terkini dikemaskini pada

Apa Itu El Nino Cuaca Panas Kering

Apa itu maksud El Nino? Ramai mengeluh akibat cuaca panas dan kering sekarang. Apakah punca sebenar berlakunya fenomena panas ini? Menurut Kenyataan Media YB Datuk Seri Panglima Madius Tangau, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi pada 8 Januari 2016, cuaca panas di Malaysia akan berterusan sehingga Mac 2016.

Kejadian ini berlaku di sebabkan oleh Fenomena El Nino kuat yang sedang berlaku. Apakah sebenarnya El Nino?

el nino

Apa Itu El Nino?

Menurut laman web rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia),  El Nino adalah Fenomena lautan yang berlaku setiap dua ke tujuh tahun di mana arus laut yang panas akan menggantikan arus laut yang kebiasaannya sejuk di luar pantai barat Peru, Amerika Selatan.

Pemanasan lautan ini didapati berlaku di kawasan yang lebih luas meliputi Pasifik tengah dan timur serta mempunyai kaitan dengan peristiwa cuaca luar biasa yang ketara di tempat-tempat tertentu di dunia seperti banjir yang teruk dan kemarau yang berpanjangan. Di Asia Tenggara, Indonesia dan Australia, berlaku keadaan cuaca lebih kering dari normal sementara di Pasifik tengah dan timur berhampiran khatulistiwa kebiasaannya mengalami keadaan lembap.

fenomena el nino malaysia

Secara lazimnya, El Niño berlaku untuk tempoh 6 hingga 18 bulan. Biasanya ia terbentuk pada pertengahan tahun, berada di kemuncak pada akhir tahun dan menjadi lemah menjelang awal tahun berikutnya. El Niño yang mempunyai keamatan yang sama tidak semestinya menghasilkan corak iklim yang sama.

Menurut Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO), El Nino adalah keadaan lebih panas dari biasa yang berpanjangan di kawasan tropika di tengah dan timur lautan Pasifik, dengan nilai Oceanic Niño Index (ONI) adalah 0.5°C atau lebih untuk sekurang-kurangnya 5 bulan ONI berturut-turut. ONI adalah Purata untuk 3 bulan berturut-turut anomali suhu permukaan laut (Sea Surface Temperature, SST) di kawasan NINO 3.4 dikira setiap bulan dan diguna pakai sebagai petunjuk fenomena El Nino.

Menurut Wikipedia, El Nino merupakan fenomena fasa berlawanan putaran iklim semula jadi yang dikenali sebagai Getaran Selatan El-Nino (El Nino-Southern Oscillation – ENSO). Fenomena lautan-atmosfera ini merujuk kepada perubahan besar kepada suhu permukaan laut merintangi timur pasifik tropika. “El Nino” dalam bahasa Sepanyol bermakna “anak lelaki” manakala “La Nina” pula bermakna “anak perempuan”.

Kesan/ Impak El Nino

Berikut diantara kesan atau impak berlakunya El Nino terhadap sesuatu kawasan :-

  • Keadaan kering yang luar biasa di Malaysia, Indonesia, Filipina dan utara Australia.
  • Cuaca yang lebih panas dan kering juga berlaku di tenggara Afrika, India dan utara Brazil.
  • Cuaca lebih lembap pula berlaku di sepanjang pantai barat kawasan tropika Amerika Selatan dan pantai teluk di Amerika Utara.
  • Impak  El  Nino  kepada  negara  secara  umumnya  boleh  menyebabkan jumlah  hujan  diterima  akan  berkurangan,  terutamanya  bagi  Sabah  dan Sarawak.
  • El  Nino  juga  boleh  menyebabkan cuaca  menjadi  lebih  panas dan kering yang seterusnya memudahkan  berlakunya kebakaran hutan yang  boleh menyebabkan kejadian  jerebu  tebal merentasi  sempadan yang  akan  memberi  kesan  terutamanya  terhadap  kesihatan,  aktiviti  luar dan pertanian.

Itulah El Nino, fenomena alam masa kini. Walaupun fenomena kepanasan ini tidak dikaitkan dengan aktiviti manusia di muka bumi, aktiviti lain seperti penebangan hutan secara tidak terkawal, pencemaran industri, penggunaan bahan bakar fosil secara berleluasa dan pelepasan gas rumah
hijau hendaklah dikawal. Aktiviti tidak sihat ini adalah antara contoh “kerosakan‟ yang dilakukan manusia hingga memberi kesan terhadap bumi.