Panduan terkini dikemaskini pada

Apa Perbezaan Masuk Matrikulasi, Asasi, Tingkatan 6 Dan Diploma IPTA

Apa Perbezaan Masuk Matrikulasi, Asasi IPTA, Tingkatan 6 Dan Diploma IPTA. Berikut dikongsikan perbezaan masuk matrikulasi, Asasi, Tingkatan 6 dan Diploma buat panduan pelajar lepasan SPM yang dalam dilema untuk memilih program pengajian tinggi yang terbaik buat mereka. Ingin ditekankan yang kesemua program ini mempunyai kelebihan yang tersendiri.

Pilihan terbaik adalah bergantung kepada apakah cita-cita kerjaya yang anda ingini. Contohnya jika anda ingin menjadi jurutera pilihlah bidang pengajian kejuruteraan.
Matrikulasi, Asasi IPTA, Tingkatan 6 Dan Diploma IPTA

Perbezaan Matrikulasi, Asasi, Tingkatan 6 Dan Diploma IPTA.

Berikut dikongsikan maklumat ringkas berkenaan dengan perbezaan Matrikulasi vs Asasi IPTA vs Tingkatan 6 Vs Diploma. Bagi mereka yang tidak pasti atau ragu-ragu pilihan pengajian yang terbaik, buatlah solat Istikharah. Mohon kepada Allah dalam menentukan pilihan yang terbaik.

Tingkatan 6 (STPM)

Lepasan SPM yang layak dan mencukupi syarat ke Tingkatan Enam (lulus SPM dengan mendapat kepujian sekurang-kurangnya dalam Bahasa Melayu dan perlu memenuhi syarat khas yang lain) akan ditawarkan secara automatik. Pelajar tidak perlu memohon. Kepada mereka yang tidak mendapat tawaran, pelajar boleh membuat rayuan kemasukan dalam tempoh rayuan yang telah ditetapkan oleh KPM. Jurusan yang ditawarkan adalah Jurusan Sains dan Jurusan Kemanusiaan.
STPM adalah terbaik berbanding program lain jika Program Ijazah Sarjana Muda yang ditawarkan di UA  berkenaan hanya mengambil calon lepasan STPM sahaja. Semakan program yang hanya untuk lepasan STPM boleh disemak di epanduan UPU. Cara : Pilih Senarai Program Pengajian Yang Ditawarkan dan klik STPM/Setaraf.

Kelebihan Tingkatan 6

Berikut diantara kelebihan memasuki Tingkatan 6 :-

  • Tingkatan 6 sebenarnya mempunyai beberapa kelebihan, di antaranya adalah;
    • Ianya diiktiraf bagi kemasukan ke kebanyakan universiti di serata dunia.
    • Dengan sijil STPM pun sudah boleh bekerja dengan kerajaan mahupun swasta. Syaratnya dapat 4 prinsipal atau 3 prinsipal 2 subsid mana-mana yang terpakai berdasarkan prinsipal terendah.
    • Kiraan pointer STPM berdasarkan campur kesemua pointer subjek diambil bahagi dengan 4 sahaja. Kalau dapat 3.00 ke atas tu kira ok.Pointer nak masuk universiti guna STPM ni tak tinggi berbanding kursus matrikulasi, pra-u lain, diploma dan sebagainya kerana taraf akademiknya sangat hampir dengan universiti. Orang cakap sebelah kaki kat u kalau masuk
      form six ni. Itu sebab subjeknya walaupun ambil 4 atau 5 subjek bebannya
      lagi susah kerana perlu belajar sangat mendalam dalam setiap subjek
      malah ada budak matrikulasi pun belum tentu dapat skor bila jawab soalan
      STPM ni.
    • Setiap subjek majoriti kena ambil 4 kertas atau bahagian bergantung ikut subjek.

Matrikulasi KPM

Program Matrikulasi KPM merupakan program persediaan bagi pelajar Bumiputera lulusan Sijil Pelajaran Malaysia untuk melayakkan mereka untuk mengikuti kursus peringkat ijazah dalam bidang Sains, Teknologi dan Sastera Ikhtisas di universiti awam dan swasta.

Matrikulasi KPM terbahagi kepada dua iaitu Program Satu Tahun dan Program Dua Tahun dan bidang pengkhususan yang ditawarkan adalah Jurusan Sains, Jurusan Perakaunan dan Aliran Teknikal. Matematik Tambahan  adalah mata  pelajaran  wajib  untuk  memohon semua  bidang  pengkhususan Program Matrikulasi.

Syarat Kelayakan/ Kemasukan Matrikulasi

Bermula pengambilan pelajar baru sesi 2016/2017, berikut adalah jadual  syarat  kelayakan  minimum dan mata pelajaran yang diambilkira dalam pengiraan merit.
syarat kelayakan minimum dan mata pelajaran kemasukan Matrikulasi

Program Matrikulasi Satu Tahun (PST)

Tempoh pengajian adalah selama dua (2) semester. Jurusuan yang ditawarkan adalah Jurusan Sains, Jurusan Perakaunan dan Aliran Teknikal bagi pelajar Bumiputera dan bukan Bumiputera.

Contoh Jurusan

Sebagai conth, jurusan yang ditawarkan di Kolej Matrikulasi Johor (KMJ) adalah seperti berikut :-

Jurusan Sains

  • Modul I : Matematik, Kimia, Fizik, Biologi.
  • Modul II : Matematik, Kimia, Fizik dan Sains Komputer.
  • Modul III : Matematik, Kimia, Biologi dan Sains Komputer.

Jurusan Perakaunan

  • Perakaunan, Pengurusan Perniagaan, Ekonomi dan Matematik

Program Matrikulasi Dua Tahun (PDT)

Tempoh pengajian adalah lebih lama iaitu empat (4) semester. Jurusan yang ditawarkan pula adalah Jurusan Sains bagi pelajar Bumiputera sahaja.

Nota

  • Pelajar PST boleh memohon pertukaran ke PDT di Kolej Matrikulasi yang  ditawarkan melalui Pengarah Kolej.
  • Permohonan  menukar jurusan boleh di mohon di kolej masing-masing melalui   Pengarah Kolej. Walaubagaimanapun ianya bergantung kepada kekosongan dan juga tertakluk kepada nisbah Jurusan Sains kepada Jurusan Perakaunan iaitu 80:20 di setiap kolej.

Jurusan Teknikal telah lama diwujudkan. Sukatan pelajaran program matrikulasi lebih bersifat terbuka
kerana hanya dibahagikan kepada empat jurusan umum ini.

Jumlah Bayaran Yuran Matrikulasi

Kadar yuran pendaftaran Matrikulasi terkini adalah seperti berikut :-

Jurusan Sains

  1. Program Satu Tahun : RM580
  2. Kolej MARA : RM500
  3. Program Dua Tahun : RM580

Jurusan Perakaunan

  1. Program Satu Tahun : RM530
  2. Kolej MARA : RM500

Aliran Teknikal

  • Program Satu Tahun : RM580

Kelebihan Dan Halatuju Matrikulasi

Yuran pengajian dan penginapan ditanggung oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Jumlah elaun pelajar adalah RM1,250 satu semester. Pembayaran elaun akan diberi secara bulanan kepada pelajar sebayak RM250 sebulan

Pelajar boleh menyambung pengajian di mana-mana Universiti Awam (UA) dalam dan  luar  negara berdasarkan kelulusan (PNGK-Purata Nilai Gred Kumulatif) yang diperolehi. Lulusan matrikulasi perlu memohon melalui UPU atau Universit Malaya (UM) & Universiti Sains Malaysia (USM) untuk mengikuti program peringkat ijazah tempatan.

Graduan matrikulasi juga ada kelebihan. kerana mereka didedahkan dengan kaedah pengajaran sepertimana universiti, jadi merekai tidak akan kekok bila berada di universiti nanti. Disebabkan syarat kemasukan matrikulasi lebih tinggi, maka tidak ramai yang gagal di matrikulasi. Hampir keseluruhan pelajar dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah.

Asasi IPTA

Program Asasi pula dikendalikan oleh universiti yang berkenaan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi. Program asasi terbahagi kepada beberapa jurusan yang khusus serta mengambil masa antara satu hingga dua tahun. Sukatan pelajaran program asasi lebih bersifat khusus kepada program pengajian peringkat ijazah yang dijuruskan untuk program asasi tersebut.

Umpamanya Universiti Malaya (UM) mempunyai 7 program asasi iaitu Asasi Sains Hayat, Asasi Sains Fizikal, Asasi Alam Bina, Asasi Pendidikan Islam, Asasi Syariah, Asasi Usuluddin dan Asasi Pengajian Islam Dengan Sains. Manakala Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mempunyai 15 program asasi iaitu Asasi Sains Hayat, Asasi Sains Fizikal, Asasi Sains Kesihatan Bersekutu, Asasi Kejururawatan, Asasi Farmasi, Asasi Pergigian, Asasi Perubatan, Asasi Sains Kemanusian, Asasi Bahasa Inggeris, Asasi Bahasa Arab, Asasi Ekonomi dan Sains Pengurusan, Asasi Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar, Asasi Kejuruteraan dan Sains Komputer dan Asasi Undang-Undang.

Di samping itu universiti lain yang mempunyai program asasi adalah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Program Ijazah Sarjana Muda yang ditawarkan di UA yang menawarkan program asasi sendiri adalah pilihan terbaik  buat pelajar.

Jumlah bayaran yang perlu dijelaskan semasa mendaftar adalah bergantung kepada jurusan dan universiti yang berkenaan. Yuran pengajian dan penginapan perlu ditanggung sendiri oleh pelajar dimana sebahagiannya disubsidi oleh Kerajaan. Para pelajar asasi akan ditawarkan pembiayaan wang saku sebanyak RM 1,250 satu semester, yuran pengajian sebanyak RM 350 satu semester dan yuran penginapan sebanyak RM 360 satu semester.

Lulusan program Asasi UM dan Asasi UiTM masih perlu memohon melalui UPU atau USM untuk mengikuti program peringkat ijazah tetapi mereka akan diberi keutamaan untuk memasuki ke universiti program asasi mereka. Manakala lulusan program asasi yang lain akan diserapkan terus ke program peringkat ijazah universiti berkenaan jika memenuhi syarat dan kelayakan yang ditetapkan.

Diploma IPTA

Program Diploma pula diurus dan dikendalikan sendiri oleh pihak universiti. Program peringkat diploma ini biasanya akan mengambil masa selama 3 tahun. Kursus di peringkat diploma ini daripada awal lagi telah dikhususkan kepada bidang-bidang tertentu. Ini bermakna apabila pelajar berkenaan mengikuti program pengajian diploma mereka telah boleh merancang masa depan kerjaya dengan lebih tepat.

Hampir semua IPTA ada menawarkan program pengajian peringkat diploma dan seterusnya program peringkat ijazah yang berkaitan.

Jumlah bayaran yang perlu dijelaskan semasa mendaftar adalah bergantung kepada jurusan dan universiti yang berkenaan. Yuran pengajian dan penginapan juga perlu ditanggung sendiri oleh pelajar. Para pelajar boleh memohon
biasiswa atau pembiayaan yang lain seperti PTPTN untuk menampung kos pembelajaran.

Lulusan program diploma boleh terus bekerja jika mereka mahu atau menyambung pelajaran ke peringkat ijazah. Mereka perlu memohon melalui UPU atau USM untuk mengikuti program peringkat ijazah. Walaupun begitu ada juga universiti
yang menyerap terus lulusan diploma mereka ke peringkat ijazah jika memenuhi syarat dan kelayakan yang ditetapkan.Pelajar yang memilih program diploma tidak semestinya mendapat peluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dengan mudah kerana tidak semua yang berjaya diterima mengikuti Program Degree akan mendapat pengecualian. Ramai pelajar yang terpaksa mengikuti pengajian dari Tahun 1 (Semester 1) selepas menamatkan pengajian diploma yang biasanya mengambil masa selama 2½ hingga 3 tahun.Apa jua pilihan anda, belajar bersungguh-sungguh adalah kemestian dalam mendapat keputusan yang cemerlang bagi mencapai cita-cita kerjaya anda.
Sumber: Dikongsikan dari facebook , Kaunselor Halatuju & Cikgu Kaunseling