Panduan terkini dikemaskini pada

Tanda-Tanda Simptom Dan Cara Pencegahan Influenza A

Beberapa hari ini, Malaysia dikejutkan dengan penularan wabak penyakit Influenza A. Jangkitan influenza atau flu ini sangat mudah berlaku, justeru penularan menjadi lebih mudah berlaku di tempat padat seperti sekolah, asrama, tempat kerja tertutup, institusi latihan, serta kem tentera atau polis. Apakah tanda-tanda atau simptom Influenza A dan cara pencegahannya?

Wabak disebabkan oleh virus influenza bermusim hanya menyebabkan demam selsema yang ringan pada orang biasa, tetapi boleh menyebabkan jangkitan teruk kepada kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, lelah dan lain-lain.

influenza a 1

Influenza diklasifikasikan kepada 3 jenis utama iaitu A, B dan C. Influenza A adalah jenis yang kerap berlaku dimana jangkitan ringan akan sembuh dengan sendiri namun jangkitan yang teruk boleh meragut nyawa.

Di musim perubahan cuaca ini, selesema adalah lazim berlaku dikalangan penduduk di Malaysia. Bagi mengelak jangkitan influenza, amalkan cara basuh tangan yang betul dan kerap, elakkan tempat awam yang ramai pengunjung, tutup mulut dan hidung apabila anda bersin dan batuk serta digalakkan duduk dirumah sekiranya anda demam.

Influenza A – Simptom, Golongan Berisiko Dan Cara Pencegahan/ Rawatan

Sakit sebab influenza? Penyakit jangkitan salur pernafasan yang disebabkan oleh virus Influenza.

Bagaimana Ianya Berjangkit?

Virus ini merebak melalui titisan salur pernafasan pesakit khususnya yang terhasil apabila pesakit batuk atau bersin

  • Titisan cecair pernafasan itu mungkin mencemari tangan pesakit atau permukaan yang terdapat di persekitarannya
  • Seterusnya seseorang akan dijangkiti samada melalui pernafasan apabila berada dalam jarak kurang 1 meter dari pesakit atau apabila bersentuhan dengan permukaan yang tercemar

Gejala Influenza

Mengalami sebarang gejala berikut :-

  1. Demam
  2. Selsema
  3. Sakit tekak
  4. Batuk
  5. Sakit kepala
  6. Sakit badan

Golongan Berisiko

Individu yang mempunyai risiko komplikasi influenza seperti warga emas berumur lebih 65 tahun atau individu yang lemah system pertahanan badan perlu mendapatkan bantuan rawatan perubatan dengan segera. Golongan berisiko tinggi dijangkiti adalah :-

  1. Kanak-kanak berumur bawah 5 tahun
  2. Wanita hamil
  3. Warga tua – 65 tahun ke atas
  4. Pesakit kronik (Contoh : kencing manis, darah tinggi, lelah dan lain-lain)
  5. Individu yang mempunyai daya ketahanan badan yang rendah samada akibat penyakit kronik yang dihidapi (seperti pesakit kanser, HIV dan lain) atau akibat ubatan yang diambil (seperti kemoterapi, streoid dan lain)
  6. Individu obes

Langkah Pencegahan

Ikuti langkah-langkah untuk mencegah jangkitan wabak Influenza :-

  1. Tutup mulut dengan tisu/ sapu tangan apabila batuk atau bersin
    • Buang tisu dalam tong sampah
    • Segera cuci tangan dengan air dan sabun
  2. Gunakan penutup mulut dan hidung
    • Jika anda sakit dan mengalami gejala selsema
  3. Kerap Cuci Tangan
    • Jaga kebersihan diri sepanjang masa
  4. Dapatkan vaksin influenza bermusim yang ditawarkan oleh fasiliti kesihatan swasta

Segera dapatkan rawatan lanjut sekiranya gejala menjadi bertambah teruk seperti demam dan batuk/ sakit tekak yang berterusan.

cegah influenza a

Murid Atau Warga Sekolah Yang Dijangkiti Atau Mempunyai Simptom Influenza-Like Ilness (ILI)

  1. Tidak dibenarkan hadir ke sekolah
  2. Asingkan di bilik khas atau bilik sakit
  3. Hantar pulang atau dapatkan rawatan segera di klinik/ hospital
  4. Guru Besar/ Pengetua mewujudkan kesedaran kepada murid yentang amalan kebersihan diri dan tatacara bersin dan batuk yang betul
  5. Saringan suhu perlu di buat dan di lapor ke PPD dan Pejabat Kesihatan Daerah bagi sekolah dengan ketidakhadiran yang tinggi
  6. Diasingkan daripada penghuni asrama sehingga benar sembuh bagi yang duduk asrama
  7. Ibu bapa tidak menghantar anak yang sakit ke sekolah sehingga anak sembuh
  8. Ibu Bapa perlu peka dengan kesihatan anak
  9. Ibu Bapa perlu faham peranan mereka dalam mencegah penularan wabak Influenza A

Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubat. Jika anda ada simptom-simptom yang dinyatakan, cepat-cepat ke klinik atau hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan.