Enam Langkah Selesaikan Hutang Dengan Bijak

Panduan terkini dikemaskini pada 27 Mei 2019 jam 10:26 PM

Cara Selesaikan Hutang Dengan Bijak. Hutang adalah sesuatu yang ajaib kerana dengan hutang ada menjadi kaya- raya dan pada masa sama ada boleh jatuh bankrap. Hutang itu bukan menjadi satu masalah bagi seseorang yang bijak merancang kewangan kerana ada ketika ia boleh mendatangkan manfaat bagi yang tahu menjana wang dengan
berhutang.

Namun begitu, ramai yang mengalami masalah hutang yang kronik kerana mereka meminjam untuk membeli barang-barang yang tidak akan bertambah nilai dan makin susut nilainya. Inilah dikatakan hutang lapuk. Bagi sesiapa yang mempunyai masalah hutang lapuk, ambillah masa untuk mengurus hutang anda.

cara bayar hutang

Langkah Bayar Hutang Dengan Bijak

Untuk jadi seorang yang bijak dalam merancang kewangan, bukan wang saja yang perlu diurus dengan baik, malah hutang juga perlu ditadbir dengan baik supaya ia tidak menjadi beban.

Pengurusan hutang bukanlah satu aktiviti yang merumitkan dan ia harus bermula dengan keinginan untuk menyelesaikan hutang lapuk dengan strategi yang betul. Namun ia tidak dapat diselesaikan sekiranya kita mengambil pendekatan senyap atau lari daripada menjelaskan hutang. Ada yang tahap kronik sehinggakan tak sanggup untuk buka kandungan surat dari bank yang mengandungi penyata hutang.

Namun, apa yang mereka dapat sekiranya memilih untuk lari dari masalah hutang? Adakah dengan lari masalah hutang akan selesai dan pihak bank akan memberikan mereka diskaun atas faedah hutang? Sudah tentu tidak sama sekali. Bagi seorang Muslim, perkara hutang bukan perkara kecil.

Hutang pada seorang Muslim wajib dibayar, malah waris bertanggungjawab melangsaikan hutang si mati sekiranya ada. Terdapat beberapa langkah boleh diambil untuk menguruskan hutang dengan berkesan.

Langkah Menyelesaikan Hutang

Berikut adalah langkah-langkah dalam menyelesaikan hutang dengan bijak :-

Langkah pertama

Berhenti daripada membuat hutang yang baru terutamanya hutang kad kredit. Setiap pembelian seterusnya perlu dibuat secara tunai.

Sekiranya anda terpaksa berhutang, itu bermaksud anda belum mampu untuk miliki barang berkenaan. Kumpul duit dan beli secara tunai.

Langkah kedua

Mempunyai senarai daftar hutang untuk menyusun kembali hutang.

Apakah jenis hutang yang anda miliki dan berapa nilai kesemuanya? Berapa jumlah ansuran bulanannya? Berapa lagi tempoh bayaran balik? Ada bercagar atau tidak? Mempunyai perlindungan atau tidak? Dengan daftar hutang, anda boleh buat analisis dan mengira berapakah jumlah faedah yang akan anda bayar untuk menjelaskan hutang itu.

Lumrahnya, hutang yang dikenakan kadar faedah yang paling tinggi seperti hutang kad kredit adalah hutang yang paling membebankan. Oleh itu, anda perlu mengambil langkah untuk membayar hutang kad kredit dengan jumlah sebanyak yang mungkin dan dalam tempoh yang paling cepat.

Jangan sekali-kali membayar lewat kerana anda akan dikenakan caj kelewatan yang akan membebankan lagi keadaan. Daftar hutang ini boleh dibuat dengan membina satu jadual yang menyenaraikan setiap hutang kad kredit atau pinjaman peribadi yang perlu dilunaskan.

Jalankan simulasi bagaimana hutang anda sebenarnya akan dapat dilunaskan lebih awal jika bayaran dibuat lebih daripada bayaran minimum.

Langkah ketiga

Menggunakan duit lebihan untuk membayar hutang.

Lebihan wang boleh datang dari penjimatan yang dijalankan setiap bulan, ataupun bonus tahunan. Wang lebihan ini lebih untung untuk dibayar hutang daripada disimpan dalam simpanan tetap kerana simpanan tetap di bank pulangannya amat rendah berbanding faedah hutang kad kredit anda.

Langkah keempat

Melalui pemindahan baki kad kredit.

Bagi anda yang mempunyai hutang kad kredit, anda perlu rajin mencari maklumat yang boleh menguntungkan anda dari segi mengurangkan faedah yang dikenakan ke atas hutang. Terdapat beberapa bank menawarkan produk yang membolehkan anda memindah baki hutang kad kredit dengan sebuah bank kepada mereka tanpa sebarang faedah dikenakan.

Ini akan menjimatkan dan anda boleh menggunakan sejumlah wang yang sepatutnya anda bayar sebagai faedah pinjaman untuk mengurangkan baki pokok hutang anda.

Langkah kelima

Menyelesaikan satu hutang dengan menggandakan pembayaran hutang lain.

Inilah untungnya bagi anda yang mempunyai daftar hutang, di mana anda boleh tetapkan keutamaan untuk selesaikan mana-mana hutang terdahulu. Apabila ia sudah selesai, anda bukan saja lebih bermotivasi untuk selesaikan hutang-hutang lain dalam senarai, malah anda boleh gunakan lebihan wang untuk gandakan pembayaran hutang lain pula.

Langkah keenam

Adalah membina pendapatan kedua.

Pada dasarnya, hutang terbentuk bukan kerana tidak cukup wang, namun kita tidak berupaya mengawal nafsu untuk memiliki sesuatu yang diluar kemampuan. Bagi sesiapa yang sudah mempunyai kesedaran untuk menguruskan hutang, maknanya anda sudah insaf dan tidak akan mengulangi ‘dosa’ yang lalu.

Dengan itu, fikirkan cara bagaimana untuk bina pendapatan kedua dan hasil dari pendapatan ini gunakan sepenuhnya untuk membayar hutang-hutang lapuk sedia ada.

Jangan pula dengan adanya wang tambahan ini anda mula memasang impian untuk tukar kereta baru – myMetro