Nota Novel Tawanan Komander Caucasus : Tema, Sinopsis, Plot, Watak, Pengajaran. Khusus buat pelajar Tingkatan tiga yang sedang mencari rujukan untuk Komponen Sastera (KOMSAS) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Berikut dikongsikan nota-nota penting berkaitan Novel yang bertemakan sains dan fantasi yang mampu membuka minda dan menambah baik penggunaan Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar di sekolah.
Ruzaini Yahya yang merupakan pengarang kepada novel ini menerbitkan novel tersebut bersama Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. Novel kajian pelajar Tingkatan 3 ini pertama kali dicetak pada tahun 2010 dan merupakan pemenang Sayembara Novel Fiksyen Sains Dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan. Pengarang juga telah menghasilkan karya sastera lain seperti Kumpulan Cerpen Titik Pertemuan dan Kumpulan Cerpen Remaja : Membakar Mentari.
Nota Novel Tawanan Komander Caucasus : Sinopsis, Tema, Persoalan, Plot, Watak, Nilai & Pengajaran
Sebagai rujukan kepada pelajar nota berkenaan novel Tawanan Komander Caucasus dikongsikan dibawah bersama-sama dengan penerangan berkaitan tema, persoalan dan latihan soalan yang berkaitan.
Tema
Penulis novel ini menceritakan tema kegigihan remaja berdepan dengan pelbagai dugaan dan cabaran dalam kehidupan
Persoalan
1) Persoalan perpaduan antara kaum dalam kalangan generasi muda
- Farhani dan rakan-rakannya Chea Mei, Haikal, Devnath, Wei serta Kim Yong adalah contoh generasi muda yang berkawan baik tanpa mengira perbezaan kaum serta agama
2) Persoalan keinginan untuk berkuasa sehingga mengorbankan orang lain
- Komander Caucasus tamak untuk berkuasa sehingga memburu Puteri Coleoptera dan mengancam untuk membunuhnya
3) Persoalan kesetiaan pengikut terhadap seorang pemimpin
- Tentera kumbang setia dan patuh dengan arahan daripada ketua mereka iaitu Komander Caucasus.
4) Persoalan keberanian menghadapi cabaran
- Farhani dan rakan-rakannya berani untuk mendepani Komander Caucasus dan tenteranya
5) Persoalan kerjasama dalam menentang kejahatan dan kezaliman
- Farhani dan rakan-rakannya bekerjasama dengan Bara dan Dara Merah untuk melawan Komander Caucasus serta tenteranya
Sinopsis Setiap Bab Novel Tawanan Komander Caucasus
Bab 1: Hilang
Sekolah dikejutkan dengan berita kehilangan Kim Yong yang merupakan anak hartawan di bandar ini dan merupakan pewaris tunggal kekayaan milik mendiang bapanya yang telah meninggal dunia. Farhani bersimpati dan bersedih atas kehilangan rakan sekelasnya itu walaupun Kim Yong seorang yang bersikap angkuh dan sombong.Farhani dan rakan-rakannya menziarahi Puan Lee, ibu Kim Yong yang sangat bersedih dan tidak henti-henti menangis atas kehilangan anak tunggalnya itu pada suatu petang untuk menyatakan rasa simpati mereka.
Ketika Farhani dan rakan-rakannya tiba di rumah Kim Yong, terdapat juga beberapa orang anggota polis yang masih menyiasat dan mencari bahan maklumat untuk menyelesaikan kes kehilangan Kim Yong itu. Farhani dan rakan-rakannya melihat terdapat sebuah zoo mini kepunyaan Kim Yong yang dibina di pekarangan rumahnya yang menempatkan berbagai-bagai spesies kumbang yang pelbagai rupa dan warna.
Seminggu selepas kehilangan Kim Yong, Farhani, rakan-rakannya dan masyarakat membuat pelbagai andaian dan sebab atas kehilangannya itu. Setelah sebulan kes kehilangan Kim Yong, berita sensasi mengenainya semakin jarang diperkatakan kecuali Farhani yang masih tertanya-tanya dan mencari jawapan tentang misteri kehilangan rakan sekelasnya itu.
Bab 2: Misi Memburu Kumbang
Cikgu Salimah memahami kerenah anak-anak muridnya yang sedang beralih emosi daripada zaman kanak-kanak kepada alam remaja. Farhani tidak suka suasana yang bingit dan bising. Farhani teringat akan suasana di rumahnya yang sunyi kerana hanya dia, ibu dan bapanya yang masih ada di rumahnya kini.
Cikgu Salimah memberikan arahan kepada setiap murid tentang tugas masing-masing untuk menangkap serangga dan mereka dipecahkan kepada empat kumpulan yang akan menangkap kumbang, pepatung, rama-rama dan belalang. Cikgu Salimah menegur sikap Haikal, Devnath dan Wei yang membuat bising dengan ketawa tidak berhenti-henti.
Cikgu Salimah memuji Farhani yang rajin mengakses maklumat berkaitan kumbang daripada laman sesawang. Haikal mengusik dengan menyangkal keupayaan Farhani dan ahli kumpulannya yang ditugaskan untuk mencari kumbang. Sementara itu, Farhani bertekad untuk membuktikan keupayaannya mencari kumbang-kumbang yang dikehendaki oleh Cikgu Salimah kepada Haikal. Mira pula bersemangat untuk mencari kumbang tanpa rasa takut.
Bab 3: Meneroka Rumah Usang
Farhani menunggu kedatangan Mira dan Chea Mei di pinggir dusun datuknya hampir setengah jam. Sementara menunggu kedatangan rakan-rakannya itu, Farhani bertindak dengan mencari kumbang lebih dahulu hingga akhirnya membawa langkahnya semakin jauh ke dalam kebun datuknya. Tanpa disangka, Farhani terjumpa dengan sebuah rumah kayu lama yang sebahagian dindingnya hampir roboh.
Farhani memberanikan dirinya dengan menyelinap masuk ke dalam rumah lama itu untuk meneroka secara lebih terperinci keadaan di dalam rumah lama itu. Farhani mendapati rumah lama itu mengandungi tangga curam menuju ke ruangan bawah tanah menyebabkan dia berasa teruja untuk menuruni tangga ke ruangan bawah tanah itu. Farhani merasakan adanya perubahan pada ketumpatan udara ketika dia berada di bawah tanah itu.
Setelah dia menapak maju dan mundur antara ruangan perbezaan udara tersebut, Farhani dapat merasakan seolah-olah dia berada di ambang dimensi lain. Ketika Farhani melintasi dimensi baharu itu, secara tiba-tiba muncul serakan cahaya dan kelihatan lembaga hitam bersaiz agam dengan mata kemerah- merahan yang merenung tepat ke arahnya.
Bab 4: Di manakah Farhani?
Chea Mei resah memikirkan cara untuk meminta keizinan neneknya untuk pergi mencari kumbang bersama-sama dengan Farhani dan Mira kerana jam telah menunjukkan angka tiga petang. Chea Mei bimbang kalau-kalau neneknya tidak mengizinkannya untuk pergi kumbang disebabkan neneknya patuh akan amanah bapanya yang melarangnya keluar rumah. Chea Mei mencuri-curi keluar dari rumahnya melalui pintu belakang apabila jarum jam menunjukkan angka pukul tiga setengah.
Sementara itu, Mira bersungut apabila tiada kelihatan seorang pun rakannya di tepi dusun datuk Farhani ketika dia tiba di situ. Mira cuba mencari kumbang di kawasan sekelilingnya sebelum Chea Mei tiba selepas jam tiga setengah petang. Setelah hampir dua jam Mira dan Chea Mei menantikan kemunculan Farhani di situ, mereka mengambil keputusan untuk pergi ke rumah Farhani. Ibu Farhani, Puan Asmah mesra menyambut kedatangan Mira dan Chea Mei ke rumahnya tetapi kehairanan apabila Mira dan Chea Mei menyatakan tujuan kedatangan mereka untuk bertemu dengan Farhani.
Puan Asmah dan Encik Adnan meminta Mira dan Chea Mei menceritakan semula keseluruhan peristiwa yang berlaku itu. Keluarga Mira dan keluarga Chea Mei datang ke rumah Farhani pada waktu malam. Masing-masing kebingungan tentang kehilangan Farhani yang keluar mencari kumbang. Encik James Ren mencadangkan agar laporan polis dibuat berkaitan dengan kes kehilangan Farhani. Puan Asmah menangisi kehilangan anak bongsunya itu, iaitu Farhani tetapi ditenangkan oleh suaminya, Encik Adnan dan ibu Mira, iaitu Puan Mariah.
Mira membuat andaian bahawa Farhani disembunyikan oleh makhluk halus tetapi andaiannya itu disangkal oleh bapanya, Encik Zainal. Sekali lagi Puan Asmah menyetujui andaian Mira tetapi disangkal keras oleh suaminya, Encik Adnan malahan dia yakin bahawa Farhani selamat.
Bab 5: Tawanan Chalcosoma Caucasus
Farhani berdepan dengan satu lembaga yang merupakan seekor kumbang besar yang berketinggian satu setengah meter dan pandai berkata-kata. Kumbang tersebut memarahi dan menuduh Farhani sebagai makhluk Allah yang paling zalim. Farhani menjelaskan tugasnya mencari kumbang adalah untuk zoo mini di sekolahnya.
Kumbang tersebut memarahi Farhani kerana mengurung kaumnya dan dijadikan bahan uji kaji di makmal. Farhani menyangkal dakwaan kumbang tersebut. Kumbang tersebut memperkenalkan dirinya sebagai Komander Chalcosoma
Caucasus sebagai ketua tentera kerajaan kumbang. Farhani dikelilingi oleh kumbang dari spesies Chalcosoma Caucasus.
Komander Caucasus menuduh manusia yang menyebabkan spesiesnya kian terancam kerana terkena racun yang diletakkan dalam makanan. Farhani menyangkal tuduhan Komander Caucasus itu yang menyalahkan manusia yang
membunuh spesies mereka. Komander Caucasus menggertak Farhani sebagai bahan makanannya.
Komander Caucasus meminta Bara membawa Farhani masuk ke dalam kota kerana Farhani telah menjadi tawanan mereka pada hari itu. Tubuh Farhani menggeletar apabila mendengar kata-kata kumbang tersebut yang mahu menjadikannya sebagai makanan mereka selama berbulan-bulan.
Bab 6: Menjelajah Kota
Bara menjalankan tugas yang diperintahkan oleh Komander Caucasus dengan membawa Farhani menelusuri terowong-terowong gelap yang bercabang-cabang. Farhani memuji kecantikan tubuh Bara yang mengeluarkan cahaya yang bersinar-sinar. Bara memberitahu Farhani bahawa dia merupakan kumbang spesies Lampyridae.
Farhani melihat kota yang diperbuat daripada batu yang kukuh, berbentuk segi empat dan kelihatan sama di mana-mana. Farhani terpegun seketika melihat pintu gerbang di hadapannya yang sungguh indah. Farhani merakamkan keadaan kota dan pintu gerbang dengan menggunakan telefon bimbit yang dibawa di dalam koceknya.
Farhani merayu kepada Bara agar tidak mencengkam lengannya dengan kuat dan berjanji bahawa dia tidak akan melarikan diri. Bara melepaskan cengkamannya kerana dia yakin bahawa Farhani tidak akan melarikan dirinya
memandangkan Farhani tidak tahu selok-belok di dalam kota dan mahligai itu.
Bab 7: Menghadap Maharaja Tanduk
Bara membawa Farhani masuk menghadap Maharaja Tanduk. Farhani berasa kagum akan keindahan ruang dalam mahligai Maharaja Tanduk yang mempunyai lantai berkaca-kaca warna kebiruan dan berdinding putih mutiara yang dilimpahi cahaya daripada cangkerang kaum Bara.
Dara Bintik memaklumkan bahawa Maharaja Tanduk murka kerana Bara mengambil masa terlalu lama untuk membawa Farhani masuk menghadapnya sedangkan Komander Caucasus telah lama tiba di mahligai itu. Komander Caucasus menegur Bara yang lambat tiba di mahligai Maharaja Tanduk.
Secara tiba-tiba, Farhani merasakan tubuhnya lemah setelah dia minum air minuman yang diberikan oleh Dara Bintik selepas dia memperkenalkan dirinya kepada Maharaja Tanduk. Dalam keadaan yang lemah itu, Farhani dapat merasakan tubuhnya diusung untuk dibawa ke suatu tempat. Farhani menyesal kerana meminum air yang dihulurkan oleh Dara Bintik tetapi dia tidak berani menolak pemberian air minuman itu.
Bab 8: Disembunyikan Bunian?
Sudah masuk hari ketiga Farhani hilang menyebabkan warga sekolah gempar dengan kehilangan seorang lagi murid di Sekolah Menengah Seri Kencana. Kisah kehilangan dua orang murid sekolah ini menjadi perbualan masyarakat setempat dan seluruh rakyat Malaysia.
Cikgu Salimah berasa menyesal kerana menugaskan anak-anak muridnya mencari serangga bagi menjadikan zoo mini serangga di sekolah menjadi suatu kenyataan. Cikgu Salimah telah mengunjungi keluarga Farhani untuk bertanya khabar dan menyatakan rasa simpatinya. Encik Adnan dan Puan Asmah reda dengan kehilangan Farhani dan tidak sesekalipun menyalahkan Cikgu Salimah apatah lagi untuk membawa kes tersebut ke mahkamah.
Abang Farhani, Muhammad Faris Akmal bercakap dengan sinis dan menyalahkan Cikgu Salimah atas kehilangan adiknya, Farhani. Pada petang itu, Cikgu Salimah telah mengajak beberapa orang murid di kelas Farhani untuk mencari jejak kehilangan Farhani di dusun tersebut. Ketika mereka sedang mencari jejak Farhani di dusun milik datuk Farhani, Haikal tiba-tiba menjerit memanggil Cikgu Salimah dan rakan-rakannya kerana dia telah menemukan sebuah rumah usang di dalam dusun itu.
Haikal memberikan cadangan agar Cikgu Salimah, Mira dan Chea Mei tunggu di luar rumah usang itu sementara dia, Devnath dan Wei akan meninjau keadaan di dalam rumah usang itu.
Bab 9: Makmal Rahsia
Farhani tersedar dirinya berada di dalam sebuah balang kaca besar di sebuah makmal. Farhani melihat ada sebuah lagi balang kaca yang sama saiz berhampiran dengannya. Dia nampak ada objek lain yang bergerak-gerak di dalam balang kaca itu. Tiba-tiba, Farhani mendengar bunyi ketukan bertalu-talu sebanyak tiga kali dari balang kaca di sebelahnya sebagai tanda minta tolong. Mereka berbalas-balas ketukan itu sehingga mereka berhenti mengetuk apabila terdengar suara bercakap-cakap di luar makmal dan disertai bunyi yang sangat bising.
Keadaan di dalam makmal menjadi hiruk-pikuk dengan bunyi tapak kaki berlarian ke sana-sini dan jeritan yang kedengaran begitu jelas. Dalam keadaan kelam-kabut itu, Bara membuka pintu balang kaca dan mencengkam lengan
Farhani lalu menyeretnya pergi tetapi Farhani bertegas mahu menyelamatkan seseorang yang terkurung di dalam balang kaca. Farhani berusaha membuka balang kaca yang menempatkan Kim Yong dan akhirnya dia berjaya.
Farhani mengusung Kim Yong keluar bersama-sama dengan Bara dan Dara Bintik dan mereka bergerak sepantas mungkin meninggalkan makmal rahsia Komander Caucasus itu. Ketika mereka sedang mengusung Kim Yong melalui
terowong yang sempit, Kim Yong tiba-tiba tersedar. Dia terkejut kerana sedang diusung oleh Farhani dan dua ekor kumbang. Kim Yong yang masih lemah berpaut pada bahu Farhani.
Setelah berjalan selama hampir dua jam, mereka akhirnya keluar dari terowong yang gelap dan lembap. Mereka kini berada di sebuah hutan yang mempunyai beberapa buah khemah di sekeliling sebuah khemah yang lebih besar.
Bab 10: Bertemu Puteri Coleoptera
Farhani menghulurkan minuman yang diisi di dalam tempurung kelapa yang cantik kepada Kim Yong yang dahaga dan keletihan. Farhani tergamam apabila Kim Yong yang selama ini bersikap sombong dan tidak suka bergaul dengan rakan-rakannya mengucapkan terima kasih kepadanya dan memanggil namanya.
Kim Yong berjanji bahawa dia tidak akan bersikap sombong, akan berkawan dengan semua orang, dan mengalu-alukan Farhani dan rakan-rakan yang lain ke rumahnya. Farhani dan Kim Yong dibawa oleh Bara untuk menghadap Tuan Puteri Coleoptera. Puteri Coleoptera mempelawa Farhani dan Kim Yong ke meja makan. Farhani dan Kim Yong makan buah-buahan yang berada di atas meja itu dengan gelojoh kerana kelaparan. Sementara itu, Puteri Coleoptera, Bara, dan Dara Bintik mendiamkan diri dan menikmati makanan mereka dengan tertib.
Puteri Coleoptera menanyakan sebab Farhani dan Kim Yong datang ke dunia kumbang. Bara menjelaskan kepada Puteri Coleoptera bahawa Farhani dan Kim Yong bukanlah sengaja datang ke situ tetapi ditawan oleh Komander Caucasus. Puteri Coleoptera mengimbas kembali muslihat Komander Caucasus yang menyebabkan dia tersingkir dari kerajaan kumbang dan terpaksa melarikan diri kerana semua tentera Komander Caucasus sedang memburunya sekali gus ingin membunuhnya.
Puteri Coleoptera menjelaskan niat jahat Komander Caucasus yangmenawan Kim Yong dan Farhani untuk djadikan bahan uji kaji makmalnya. Menurut Puteri Coleoptera, Komander Caucasus mempunyai impian yang besar untuk menakluki kerajaan kumbang dan juga manusia. Komander Caucasus berkeinginan untuk mentransformasikan dirinya menjadi manusia untuk membalas dendam terhadap manusia yang banyak membunuh kumbang. Komander Caucasus juga bercita-cita untuk mengambil alih takhta Maharaja Tanduk.
Bara menegaskan bahawa mereka tiada halangan untuk membebaskan Farhani dan Kim Yong kembali ke dunia asal manusia tetapi mereka terpaksa melalui kawalan ketat tentera Caucasus. Tambahan pula, Bara amat memerlukan bantuan Farhani dan Kim Yong untuk menewaskan Komander Caucasus. Farhani menyatakan persetujuannya untuk membantu kumbang-kumbang itu hingga menyebabkan kumbang-kumbang itu menarik nafas kelegaan.
Bab 11: Musuh Menjadi Sahabat
Setelah selamat menemani Cikgu Salimah, Mira dan Chea Mei sampai ke rumah masing-masing, Haikal segera menyuarakan hasratnya untuk kembali ke rumah usang itu pada malam nanti. Kedua-dua rakannya keberatan untuk berbuat demikian tetapi demi setia kawan, mereka sanggup menemani Haikal meneruskan usaha mencari Farhani di rumah usang itu.
Haikal yakin bahawa Farhani mungkin masih di situ berdasarkan penemuan sapu tangan berwarna merah jambu milik Farhani yang ditemuinya di ruangan bawah tanah rumah usang itu. Haikal, Devnath dan Wei bertemu semula selepas solat isyak di tempat yang telah dijanjikan. Kemudian, mereka bergerak ke rumah usang di dusun datuk Farhani.
Ketika mereka berada di ruang bawah tanah rumah usang itu, Devnath dan Wei mendapati Haikal begitu bersungguh-sungguh dan berani mencari petanda untuk menjejaki kehilangan Farhani itu. Ketika mereka asyik mencari bukti kehadiran Farhani di situ, tanpa disengajakan Haikal telah memasuki dimensi dunia kumbang
apabila ditarik oleh suatu daya di pintu maya. Keadaan itu menyebabkan Devnath dan Wei turut sama memasuki dimensi dunia kumbang itu.
Mereka kehairanan dan bingung memikirkan dimensi tersebut kerana udaranya ringan dan nafas mereka tidak berat. Setelah hampir setengah jam berjalan, mereka akhirnya tiba di sebuah kota yang susunannya sangat teratur. Sesampainya mereka di satu sudut bangunan, mereka bertiga telah diserang hendap dan ditangkap sehingga menyebabkan mereka pengsan.
Ketika tersedar dari pengsan, Haikal, Devnath dan Wei mendapati diri mereka berada di sebuah kawasan hutan dan beberapa buah khemah. Dalam keadaan masih terpinga-pinga, mereka terkejut apabila muncul makhluk yang pelik serupa kumbang tetapi saiz badannya sahaja berbeza.
Mereka terkejut lagi sekali apabila mendengar suara Farhani yang memberitahu Bara bahawa mereka itu ialah kawan-kawannya. Farhani memandang wajah kawan-kawannya yang pucat lesi dengan mengatakan bahawa dia belum mati. Kemunculan Kim Yong secara tiba-tiba sekali lagi menimbulkan rasa terkejut mereka. Farhani memberitahu Haikal, Wei dan Devnath bahawa kumbang-kumbang itulah yang telah menculik mereka.
Farhani menjelaskan secara panjang lebar perihal Bara, Dara Bintik dan Puteri Coleoptera yang merupakan pemerintah sebenar kerajaan kumbang kepada kawan-kawannya itu. Haikal menghulurkan salam perkenalan kepada Bara dan Dara Bintik. Tindakannya itu turut diikuti oleh Wei dan Devnath. Bara menyuarakan hasrat kaum kumbangnya yang memohon pertolongan Farhani dan kawan-kawannya untuk membantu mereka menumpaskan Komander Caucasus.
Puteri Caucasus memberitahu bahawa Komander Caucasus dan tenteranya semakin hampir dengan tempat persembunyian mereka dan mengarahkan semua pengikut agar segera berpindah dari situ.
Bab 12: Diburu Caucasus
Bara segera mengarahkan kumpulan kumbang yang menjadi pengawal Puteri Coleoptera bersiap sedia untuk meninggalkan kawasan itu. Bara hairan apabila rahsia tempat persembunyian mereka dapat diketahui Komander Caucasus. Bara segera membantu Puteri Coleoptera menyembunyikan harta warisan kerajaan kumbang, terutama cap mohor yang menjadi bukti bahawa baginda pewaris sah takhta kerajaan kumbang.
Farhani dan rakan-rakannya menyertai rombongan Puteri Coleoptera meninggalkan kawasan yang pernah didiami selama beberapa bulan itu. Sementara itu, Kim Yong menjawab pertanyaan Haikal bahawa mereka sekarang berada di dunia kumbang. Perjalanan yang jauh menyebabkan Haikal, Devnath dan Wei keletihan serta kelaparan. Bara segera menghulurkan buah-buahan yang belum pernah mereka lihat sebelum ini untuk dimakan. Haikal membisikkan ucapan terima kasih kepada Bara kerana memberikannya buah-buahan itu.
Setelah menempuh perjalanan yang panjang, akhirnya mereka tiba di suatu kawasan yang terdiri daripada pokok-pokok besar bersaiz satu hingga dua pemeluk yang berdiri gagah seakan-akan memagari kawasan itu. Dalam masa tidak sampai satu jam, lima buah khemah siap dipasang. Khemah Puteri Coleoptera, iaitu khemah yang paling besar berada di tengah-tengah dengan dikelilingi empat buah khemah lain. Dara Bintik menyoal Bara dan kemudian memberitahu Bara bahawa dia sudah letih berpindah-randah untuk mengelakkan diri daripada diburu oleh Komander Caucasus dan tenteranya.
Serentak dengan ucapan kemaafan daripada Dara Bintik, tiba-tiba khemah mereka telah diserang oleh tentera Komander Caucasus. Walau bagaimanapun, Farhani berjaya bersembunyi di dalam semak-samun yang berhampiran. Sangkaan Farhani tepat apabila dia melihat khemah mereka telah diserang hendap oleh tentera Caucasus. Farhani melihat Bara yang berusaha melindungi Puteri Coleoptera telah ditangkap dan salah seekor kumbang telah menumbuk perutnya sehingga menyebabkan Bara terbongkok menahan kesakitan.
Farhani juga menyaksikan semua rakannya menjadi tawanan tentera Caucasus dan Farhani juga melihat Dara Bintik telah berpaling tadah terhadap Puteri Coleoptera. Farhani terkejut apabila mengetahui Kim Yong juga terselamat daripada menjadi tawanan tentera Caucasus apabila dia cepat-cepat memanjat pokok untuk menyembunyikan dirinya sewaktu khemah mereka diserang hendap. Kim Yong menegaskan bahawa mereka mesti melakukan sesuatu perkara untuk membebaskan Bara, Puteri Coleoptera dan rakan-rakannya daripada ditawan oleh tentera Caucasus.
Bab 13: Terperangkap!
Haikal, Devnath dan Wei telah ditawan oleh tentera Caucasus dan dibawa ke mahligai Maharaja Caucasus. Sepanjang perjalanan, Devnath berasa tangannya sakit akibat dikilas oleh tentera Caucasus. Haikal juga turut merasai kesakitan itu dan berdoa agar Farhani serta Kim Yong dapat melepaskan diri daripada menjadi tawanan tentera Caucasus.
Sesampainya mereka di mahligai yang sangat indah, semua tawanan dibawa masuk menghadap Maharaja Caucasus yang berdiri berhampiran sebuah peterana yang dihias serba indah. Maharaja Caucasus mengarahkan semua tawanan dipenjarakan kecuali anak-anak manusia.
Maharaja Caucasus berang dan mengarahkan tenteranya mencari Farhani dan Kim Yong apabila dia mendapati anak-anak manusia yang ditawan itu bukanlah Farhani dan Kim Yong. Sementara itu, Kim Yong mengingatkan Farhani
agar mereka lebih berhati-hati dengan keadaan persekitaran kerana mereka menjadi buruan tentera Caucasus.
Ketika mereka berdua berada di kawasan air sungai yang jernih, mereka telah ditangkap dan diheret masuk ke dalam semak belukar yang tebal. Seekor kumbang lain telah menekup kuat mulut Farhani dan mengarahkan mereka agar diam. Tiba-tiba kedengaran suara riuh-rendah beberapa ekor kumbang. Salah seekor kumbang yang bertindak sebagai ketua kumbang itu kelihatan sedang marah-marah kepada kumbang-kumbang yang lain akibat kegagalan mereka menemukan dirinya dan Kim Yong. Seketika, Farhani tertanya-tanya status sebenar kumbang yang telah
menyembunyikan dirinya dan Kim Yong daripada ditawan oleh tentera Caucasus itu
tadi.
Bab 14: Di Penjara
Dara Merah memperkenalkan dirinya kepada Farhani dan Kim Yong. Dara Merah juga memperkenalkan dua ekor kumbang jantan yang mengiringinya, iaitu kunang-kunang. Dara Merah memaklumkan kepada mereka berdua tentang Dara Bintik yang telah menjadi pembelot dan bertindak membocorkan lokasi persembunyian Puteri Coleoptera di dalam hutan itu kepada Komander Caucasus.
Sebagai pengikut setia Puteri Coleoptera, Dara Merah memohon bantuan dan kerjasama daripada Farhani dan Kim Yong untuk membantu kumbang-kumbang itu membebaskan Puteri Coleoptera dan semua pengikutnya, termasuklah
rakan-rakan Farhani daripada penjara. Sebagai balasan, Dara Merah berjanji akan membantu mereka untuk kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.
Dara Merah, kunang-kunang, Farhani dan Kim Yong berbincang tentang strategi terbaik untuk menyelamatkan Puteri Coleoptera dan semua pengikutnya serta rakan-rakannya itu. Sementara itu, di dalam penjara yang berbau hapak dan busuk, Wei, Haikal dan Devnath sebak dan sedih apabila terkenang akan keluarga masing-masing. Devnath juga dihimpit rasa kesal atas kedegilannya keluar dari rumah pada malam kejadian walaupun dilarang oleh ibunya. Namun, dia tidak menyesal mengambil keputusan untuk menyertai misi mencari Farhani itu.
Di kem persembunyian Dara Merah, Farhani menggenggam sebotol cecair Endosulfan yang dijumpainya sewaktu dia kembali ke tempat rakan-rakannya ditawan. Farhani yakin cecair itu dibawa oleh Haikal. Farhani membawa dan
menunjukkan sebotol cecair Endosulfan kepada Dara Merah sebagai bahan yang boleh digunakan untuk membunuh kumbang. Dara Merah berasa gembira kerana cecair itulah yang ingin dicarinya dan ingin digunakan kepada Komander Caucasus.
Menurut Dara Merah, cecair racun itulah yang telah membunuh adik-adiknya yang memakan sayur-sayuran di kebun manusia pada suatu ketika dahulu. Tengah malam itu, mereka berlima mengatur strategi bagi membebaskan Puteri
Coleoptera, semua pengikut, dan rakan-rakannya.
Dara Merah mengambil botol kecil berisi Endosulfan daripada tangan Farhani untuk digunakan sebagai salah satu alat untuk menewaskan Maharaja Caucasus dan tenteranya. Farhani dan Kim Yong tertanya-tanya status sebenar Dara Merah apabila mendapati kumbang-kumbang yang mengiringinya itu begitu patuh dan taat kepadanya. Sementara itu, di dalam penjara, Haikal merasakan sesuatu perkara akan berlaku. Kenyataannya itu disambut pula oleh Wei dan Devnath. Kemudian, mereka terdengar suara yang biasa didengari, iaitu suara Farhani yang meminta
Haikal, Wei dan Devnath bersedia untuk melarikan diri dari penjara itu kerana mereka akan datang untuk menyelamatkan mereka.
Bab 15: Pertarungan
Malam kian larut sewaktu Farhani, Kim Yong, Dara Merah, dan kunang-kunang tiba di mahligai ketua kerajaan kumbang. Dara Merah melewati pintu mahligai dengan botol kecil berisi Endosulfan di dalam genggaman tangannya.
Farhani kebasahan dan sesekali menggigil kesejukan akibat terkena hujan ketika sedang bersembunyi di balik pagar yang ditutupi pohon renek. Dia sudah bersedia melakukan tindakan yang selanjutnya jika Dara Merah gagal dalam misinya.
Dara Merah telah menyamar sebagai Dara Bintik. Dia ke dapur untuk memasukkan setitis cecair Endosulfan ke dalam minuman Maharaja Caucasus. Ketika di dapur, Dara Merah mendapati kumbang spesies Weevil sedang bertugas. Dara Merah memberikan alasan untuk membawa minuman kepada Maharaja Caucasus dan meminta Weevil berehat. Hal itu menimbulkan kehairanan kepada Weevil kerana Dara Bintik tidak pernah bersikap ringan tangan.
Dara Merah meletakkan minuman itu di atas meja kecil sebelum dia bergegas meninggalkan kamar itu tetapi dipanggil oleh Maharaja Caucasus. Maharaja Caucasus mengizinkan Dara Merah meminum air itu disebabkan kesetiaannya itu. Dara Merah yang menyamar sebagai Dara Bintik menolak pelawaan itu atas dasar hormat dan dia hanya akan meminum sisa minuman Maharaja Caucasus.
Penyamaran Dara Merah sebagai Dara Bintik terbongkar setelah diketahui oleh Weevil. Weevil berlari keluar mendapatkan bantuan tentera. Sementara itu, Maharaja Caucasus telah mengayun tangannya yang dipenuhi duri tajam dan mengenai tepat pada tubuh Dara Merah sehingga menyebabkan tubuhnya cedera. Maharaja Caucasus jatuh tersungkur akibat pengaruh cecair racun itu. Weevil kembali semula ke kamar dan Dara Merah bertindak untuk keluar segera dari tempat itu.
Di penjara, Kim Yong dan Farhani telah membebaskan Haikal, Wei, dan Devnath. Mereka bertindak menyelamatkan diri dengan bantuan beberapa ekor kumbang lain yang setia terhadap Dara Merah. Mereka menjadi penunjuk jalan
dengan melalui terowong rahsia yang dibina oleh kumbang-kumbang yang merancang pemberontakan terhadap Maharaja Caucasus. Di pertengahan terowong, mereka menemui Puteri Coleoptera, Bara, dan kunang-kunang.
Tidak jauh dari lubang terowong, kedatangan mereka telah dinantikan oleh tentera Caucasus yang lengkap bersenjata dan diketuai oleh Dara Bintik. Namun, tindakan pantas Farhani menggunakan semburan cecair Endosulfan itu telah
menyebabkan semua tentera kumbang itu pengsan satu persatu ke tanah akibat terhidu racun itu. Setelah keadaan mengizinkan, Farhani memberikan arahan kepada Puteri Coleoptera dan para pengikut setianya agar membuka topeng keselamatan yang telah dipakai.
Bab 16: Pertabalan Puteri Coleoptera
Komander Caucasus, Dara Bintik dan pasukan tenteranya telah dimasukkan ke bilik kurungan ketika malam beransur siang. Dara Merah ingin menunaikan janjinya untuk menghantar Farhani berlima kembali ke dunia manusia tetapi Bara memujuk mereka agar menangguhkan seketika kepulangan mereka untuk sama-sama menyaksikan majlis pertabalan Puteri Coleoptera sebagai tonggak kerajaan kumbang.
Farhani dan rakan-rakannya akhirnya menyaksikan peristiwa pertabalan Puteri Coleoptera sebagai ketua kerajaan kumbang dalam majlis yang gilang-gemilang. Puteri Coleoptera berterima kasih atas bantuan dan kerjasama yang diberikan oleh Farhani berlima. Puteri Coleoptera menghadiahi Farhani dan rakan-rakannya lambang kebesaran kerajaan kumbang yang diperbuat daripada logam perak yang berukir cantik.
Sebagai balasan, Farhani menghadiahi Puteri Coleoptera sehelai sapu tangan merah jambu miliknya yang bersulam huruf ‘F’, Bara telah dihadiahi lampu suluh milik Haikal dan Dara Merah dihadiahi Endosulfan oleh Farhani.
Puteri Coleoptera melantik Bara sebagai penasihatnya, manakala Dara Merah pula dilantik sebagai komander tentera. Pada masa yang dijanjikan, akhirnya Dara Merah menghantar Farhani dan rakan-rakannya hingga ke gerbang dimensi yang menghubungkan mereka ke dunia di ruang bawah tanah berhampiran dusun datuk Farhani. Kim Yong menyatakan rasa seriknya yang pernah dikurung di dalam tabung uji tetapi dia mendapat pengajaran yang amat bermakna.
Akhirnya, mereka berlima dapat kembali ke dunia manusia. Mereka berazam untuk tidak memburu serangga sebaliknya hanya menggunakan serangga plastik untuk ditempatkan di dalam zoo mini di sekolah nanti. Mereka juga berjanji tidak akan menceritakan kisah dan pengalaman yang telah mereka tempuhi mengenai kerajaan kumbang. Mereka mendapati lambang kerajaan kumbang yang dihadiahi oleh Puteri Coleoptera telah bertukar menjadi serdak berwarna putih perak.
Bab 17: Serum
Farhani tiba di rumahnya pada waktu malam dan dari kejauhan dia dapat melihat bapanya duduk di sisi ibunya yang kesedihan. Farhani juga dapat melihat abangnya dan kereta milik kedua-dua kakaknya terparkir di depan rumah. Farhani memberikan salam banyak kali namun dia kecewa kerana tiada seorangpun ahli keluarganya yang dapat mendengar suaranya dan melihat kepulangannya itu.
Farhani tergamam apabila mendengar bapa, ibu, abang dan kakaknya berbincang tentang kehilangannya sejak dua minggu sedangkan dia merasakan baru beberapa hari dia berada di dimensi kumbang. Farhani mendapati Kim Yong
turut mengalami masalah yang sama. Farhani dan Kim Yong pergi menemui Haikal, Devnath dan Wei. Akhirnya mereka berjumpa dan ternyata mereka menghadapi masalah yang sama.
Wei memberikan cadangan agar mereka kembali ke dimensi kerajaan kumbang untuk mencari penawar bagi mengembalikan diri mereka sebagai manusia asal. Setelah mereka mencapai kata muafakat, mereka kembali ke
mahligai Puteri Coleoptera dan mereka berjaya menemui Bara. Bara membawa mereka berlima ke makmal untuk mengambil formula vaksin bagi meneutralkan serum yang telah mengubah diri Farhani dan rakan-rakannya menjadi halimunan.
Wei menanyakan Bara sebab manusia lain tidak dapat melihat mereka sedangkan kumbang-kumbang dapat melihat mereka dengan jelas. Bara menjelaskan tujuan serum itu dicipta adalah untuk mengaburi penglihatan manusia
terhadap kumbang ketika kumbang tersebut memasuki kebun-kebun atau hutan-hutan di dunia manusia. Farhani sanggup menanggung risiko untuk meminum formula vaksin itu walaupun formula itu belum pernah diuji kepada sesiapapun. Bara menghulurkan botol kecil berisi formula vaksin kepada setiap remaja itu dan berdoa agar formula itu bertindak positif ke atas mereka.
Bab 18: Kepulangan
Farhani kembali ke rumahnya pada waktu subuh dan berharap formula yang diminumnya akan mengembalikan dirinya sebagai manusia dan bukanlah sebagai halimunan. Farhani mengetuk pintu beberapa kali sehingga akhirnya pintu rumah itu dibuka oleh ibunya, Puan Asmah. Mereka berdua bertangisan dan sesudah itu seluruh rumahnya menjadi terang-benderang apabila seorang demi seorang ahli keluarganya memeluk Farhani.
Berita kepulangan Farhani dan empat orang sahabatnya tersebar ke merata ceruk bandar. Sekolah Menengah Seri Kencana kembali menjadi tumpuan anggota polis, guru, rakan-rakan dan pihak media yang mahu mendapatkan cerita eksklusif mengenai peristiwa kehilangan mereka. Farhani dan kawan-kawannya menjelaskan kepada pihak wartawan bahawa mereka sebenarnya tersesat di dalam hutan tetapi mereka tidak menceritakan kejadian sebenar yang menimpa mereka.
Wei menjawab pertanyaan seorang wartawan bahawa mereka dapat mencari jalan keluar disebabkan kecekapan Devnath sebagai ahli pengakap yang mencari jalan keluar. Farhani menjelaskan bahawa mereka terpaksa makan buah-buahan dan pucuk-pucuk kayu sepanjang tempoh mereka tersesat di hutan dan atas ajaran bapanya yang banyak mengajar tentang ikhtiar hidup di dalam hutan.
Farhani dan rakan-rakannya telah bersepakat dan berjanji untuk merahsiakan cerita sebenar tentang dimensi kumbang untuk mengelakkan kerajaan dimensi kumbang menjadi mangsa serakah nafsu manusia. Kim Yong meminta diri untuk pulang ke rumahnya untuk membebaskan kumbang-kumbang peliharaannya.
Haikal dan rakan yang lain turut berminat ke rumah Kim Yong untuk membebaskan kumbang-kumbang peliharaannya.– Kim Yong tekad untuk membebaskan semua kumbang peliharaannya agar semua kumbang itu dapat menikmati erti kebebasan sepenuhnya.
Sinopsis Keseluruhan
Novel ini bermula apabila warga Sekolah Menengah Seri Kencana dan penduduk kampung dikejutkan dengan berita kehilangan Kim Yong yang kali terakhir dikesan apabila keluar mencari kumbang di pinggir hutan. Rakan sekelasnya Farhani, Chea Mei, Mira, Haikal, Devnath dan Wei bersimpati dan bersedih atas kehilangannya dan menziarahi Puan Lee, ibu Kim Yong. Sebulan selepas itu, Cikgu Salimah, guru sains kelas Tingkatan Satu Arif menugaskan anak muridnya untuk mencari serangga bagi menghasilkan projek zoo mini. Farhani, Chea Mei dan Mira telah ditugaskan untuk mencari kumbang. Mereka bertiga bersetuju untuk mencari kumbang di dusun datuk Farhani.
Farhani yang tiba awal telah masuk ke dusun datuknya terlebih dahulu sehingga menjumpai sebuah rumah usang dan bertindak untuk memasuki rumah tersebut hingga menuruni ruang bawah tangga yang kemudian membawanya ke dimensi lain. Mira dan Chea Mei yang tiba di dusun tersebut terkejut apabila tidak nampak kelibat Farhani. Puan Asmah, ibu Farhani bersedih dan ditenangkan oleh suaminya Encik Adnan. Peristiwa kehilangan Farhani dan Kim Yong telah menjadi bualan masyarakat setempat dan seluruh Malaysia. Cikgu Salimah yang berasa serba salah telah mengajak murid-muridnya untuk menjejaki mereka yang hilang. Mereka telah menjumpai rumah usang yang dimasuki oleh Farhani. Haikal telah mengajak Devnath dan Wei untuk kembali pada waktu malam ke rumah usang tersebut setelah dia menemui sapu tangan milik Farhani.
Farhani yang telah memasuki alam dimensi kerajaan kumbang kini ditawan oleh tentera Komander Caucasus. Dia dibawa oleh kumbang Bara untuk menghadap Maharaja Tanduk di istana. Kemudian Farhani dikurung dalam sebuah tabung uji bersaiz besar di sebuah makmal kerana Komander Caucasusu ingin menjadikannya bahan uji kaji untuk menakluk dunia manusia. Di situ, dia bertemu dengan Kim Yong yang sebelum ini hilang. Komander Caucasus ingin merampas takhta Maharaja Tanduk dan giat memburu Puteri Coleoptera yang bersembunyi dan menjadi pewaris takhta yang sah. Bara dan Bintik yang merupakan pengikut Puteri Coleoptera telah membawa sekali Farhani dan Kim yong untuk menyelamatkan diri dan menghadap Puteri Coleoptera. Haikal, Devnath dan Wei yang masuk ke ruang bawah tanah rumah usang tersebut telah memasuki dimensi kerajaan kumbang. mereka terkejut apabila menjadi tawanan kumbang yang bersaiz besar di dalam hutan. Mereka juga dikejutkan dengan Farhani dan Kim Yong yang selamat dan menceritakan bahawa kumbang-kumbang tersebut memerlukan bantuan mereka untuk menewaskan Komander Caucasus
Tempat persembunyian Puteri Coleoptera telah terbongkar oleh pembelot Dara Bintik dan mereka melarikan diri ke tempat lain. Tidak lama kemudian mereka diserang hendap dan menawan Haikal, Devnath dan Wei tetapi Farhani dan kim Yong berjaya melarikan diri. Komander Caucasus telah menaiki takhta dengan menggulingkan Maharaja Tanduk dan marah terhadap kegagalan tenteranya mendapatkan manusia yang lain. Pada suatu malam, Dara Merah, Farhani, Kim Yong dan pengikut yang lain menyusun strategi untuk menumpaskan Komander Caucasus menggunakan cecair Endosulfan. Strategi mereka berjaya dan telah membebaskan Puteri Coleoptera, Maharaja Tanduk, Bara, Haikal, Devnath dan Wei manakal Komander Caucasus, Dara Bintik dan tenteranya dikurung.
Puteri Coleoptera telah ditabalkan sebagai pemerintah baharu kerajaan kumbang dan menghadiahkan lambang kebesaran kerajaan kumbang yang diperbuat daripada logam perak kepada Farhani dan rakan-rakannya. Mereka dibenarkan pulang ke alam mereka namun kecewa apabila mereka menjadi halimunan daripada pandangan manusia. Mereka meminta bantuan kumbang Bara yang kemudian menghasilkan serum dan akhirnya mereka pulang ke bentuk asal mereka dan kembali ke pangkuan keluarga masing-masing. Berita menegnai mereka mendapat liputan yang luas namun mereka bersepakat untuk merahsiakan cerita yang sebenar.
Watak dan Perwatakan
1) Farhani
- Watak utama yang berusia 13 tahun dan merupakan anak bongsu daripada enam orang adik-beradik
- Pelajar murid tingkatan 1 Arif di Sekolah Menengah Seri Kencana
- Seorang yang tabah menghadapi cabaran dalam kehidupan
- Seorang yang bertanggungjawab dengan tugasannya seperti tugasan yang diberikan oleh guru Sainsnya, Cikgu Salimah sehingga dia mencari kumbang.
2) Haikal
- Rakan sekelas kepada Farhani
- Seorang yang berani dengan mengajak Devnath dan Wei untuk kembali kepada rumah usang pada waktu malam untuk menjejaki kehilangan Farhani
3) Kim Yong
- Rakan sekelas kepada Farhani dan Haikal
- Merupakan seorang anak tunggal kepada Puan Lee dan bapa tirinya, Encik Kwok
- Meminati serangga spesies kumbang
4) Komander Caucasus
- Merupakan ketua tentera kerajaan Kumbang
- mempunyai pengikut setia yang merupakan tentera kumbang daripada spesies yang sama
- Tamak untuk berkuasa dan merampas takhta kerajaan kumbang daripada Maharaja Tanduk
- Zalim apabila ingin menjadikan Farhani dan Kim Yong sebagai Tikus Makmal
5) Puteri Coleoptera
- Merupakan anak saudara kepada Maharaja Tanduk dan pewaris takhta koloni kumbang
- Seekor kumbang betina
- Mengenang budi apabila dia menghadiahkan Farhani dan rakan-rakannya lambang kebesaran kerajaan kumbang yang diperbuat daripada logam perak
Plot
1) Permulaan
Kim Yong yang hilang apabila mencari kumbang di pinggir hutan telah menggemparkan warga Sekolah Menengah Seri Kencana. Farhani dan rakan-rakan bersimpati dan sedih atas kehilangan Kim Yong
2) Perkembangan
Farhani yang tiba awal di dusun datuknya telah mencari dahulu kumbang apabila Chea Mei dan Mira lewat tiba. Farhani menemui sebuah rumah usang dan memasuki rumah tersebut hingga menemui ruang bawah tanah yang membawanya ke dimensi kerajaan kumbang
3) Perumitan
Semua penduduk kampung digemparkan dengan kehilangan Farhani pula. Cikgu Salimah yang menugaskan muridnya untuk mencai kumbang berasa serba salah dan mengajak muridnya untuk mencari Farhani. Haikal, Devnatah dan Wei telah menjumpai bukti Farhani berada di rumah usang di dusun tersebut. Farhani yang berada di dalam alam kerajaan kumbang telah ditawan oleh Komander Caucasus dan menemui Kim Yong. Puteri Coleoptera yang diburu Komander Caucasus meminta bantuan Farhani dan Kim Yong untuk melawan kumbang yang gila kuasa itu. Haikal, Devnath dan Wei kembali ke rumah usang di dusun datuk Farhani pada waktu malam telah memasuki alam kerajaan kumbang dan ditangkap oleh Bara
4) Klimaks
Tempat persembunyian Puteri Coleoptera telah diketahui dan mereka mencari tempat persembunyian baru. Selepas tibadi tempat persembunyian yang baharu, mereka diserang hendap tetapi Farhani dan Kim Yong berjaya meloloskan diri. Komander Caucasus berjaya menggulingkan Maharaja Tanduk dan marah kerana bahan uji kajinya untuk menakluk dunia dan manusia gagal ditangkap
5) Peleraian
Farhani, Kim Yong, Dara Merah dan pengikut yang lain berjaya menewaskan Komander Caucasus. Puteri Coleoptera ditabal sebagai pemerintah kerajaan kumbang. Farhani, Kim Yong, Haikal, Devnath dan Wei diberikan sebuah lambang kebesaran kerajaan kumbang dan dibenarkan kembali ke keluarga semula. Namun, mereka menjadi halimunan apabila kembali dan telah memeinta bantuan Bara. Dia mencipta sebuah serum dan mereka kembali ke bentuk asal sebagai manusia dan kembali ke keluarga masing-masing
Teknik Plot
- Imbas Kembali : Farhani teringat semula tentang kisah Puteri Balqis yang pernah diceritakan oleh Ustazah Hamizah
- Imbas Muka : Farhani membayangkan tindakan Komander Caucasus yang akan meratah mentah-mentah dagingnya dan Kim Yong
- Pemerian : Pengarang memerihalkan keadaan zoo mini kepunyaan KimYong yang menempatkan pelbagai jenis kumbang
- Dialog : Perbualan ibu Farhani, Puan Asmah dengan Mira dan Chea Mei ketika mereka berkunjung ke rumah Farhani
- Monolog : Farhani bermonolog sendirian dengan memujuk dirinya bahawa dia bukanlah seorang penakut kerana dia merupakan anak kepada seorang renjer hutan
Latar
1) Latar Tempat
- Rumah Usang : Haikal, Devnath dan Wei memasuki rumah tersebut untuk mencari Farhani
- Rumah Farhani : Tempat di mana Mira dan Chea Mei menelefon keluarga masing-masing untuk memaklumkan mereka berada di sana
- Halaman rumah Kim Yong : Zoo mini dibina yang menempatkan pelbagai spesies kumbang
- Rumah Kim Yong : Farhani dan rakan-rakannya menziarahi ibu Kim Yong setelah mendapat berita kehilangan Kim Yong
2) Latar Masa
- Petang : Farhani menunggu rakan-rakannya sebelum mereka bersama mencari kumbang tetapi mereka lewat
- Malam : Dara Merah mengambil botol kecil berisi Endosulfan dari tangan Farhani
3) Latar Masyarakat
- Masyarakat yang cekal dalam mendepani dugaan dan cabaran dalam kehidupan : Farhani dan Kim Yong tetap membantu Puteri Coleoptera untuk menumpaskan Komander Caucasus walaupun tiada sebarang pengalaman
- Masyarakat yang hidup dalam berbilang kaum dan agama : Haikal, Devnath dan Wei yang berkawan baik walaupun berlainan agama dan bangsa
- Masyarakat yang mementingkan pendidikan dalam kehidupan : Cikgu Slaimah menugaskan anak muridnya untuk mencari serangga dan binatang untuk membuat zoo mini bagi tujuan pembelajaran sains
- Masyarakat yang menjalankan tugas dengan penuh dedikasi : Farhani yang membuat rujukan di laman sesawang mengenai spesies kumbang sebelum keluar mencarinya
- Masyarakat yang prihatin terhadap keselamatan murid-murid sekolah : Cikgu Salimah serba salah dan mengajak anak muridnya untuk mencari rakan-rakan mereka yang hilang
Gaya bahasa
- Peribahasa : Umpama nila setitik, rosak susu sebelanga, sudah gaharu cendana pula
- Simile : Bunyi ranting-ranting yang dipijak umpama muzik mengiringi langkah mereka
- Personafikasi : Perasaan gementar tiba-tiba sahaja menyelinap dalam hati
- Metafora : Tiada istilah takut dalam kamus hidupnya
- Bahasa asing : Bahasa Arab, Alhamdulillah, Assalamualaikum
Nilai
1) Nilai Tanggungjawab : Farhani tekad untuk menjalankan kerja projek yang ditugaskan oleh guru sainsnya untuk mencari kumbang
2) Nilai Kerajinan : Farhani yang ingin mencari kumbang telah mencari maklumat terlebih dahulu melalui laman sesawang
3) Nilai Keberanian : Dara Merah berani untuk menundukkan Maharaja Caucasus walaupun ia hanya seekor kumbang betina
4) Nilai Hormat Menghormati : Devnath dan Wei memahami kenapa Haikal lewat untuk berkumpul kerana dia menunaikan solat isyak terlebih dahulu
5) Nilai Kasih Sayang : Puan Lee bersedih dengan kehilangan anak tunggalnya yang dilaporkan hilang sewaktu pergi mencari kumbang di pinggir hutan kampungnya
Pengajaran
1) Kita seharusnya mengamalkan toleransi antara satu sama lain agar keharmonian masyarakat kekal terjamin sepertimana Devnath dan Wei yang menghormati Haikal untuk solat Isya dahulu sebelum perjumpaan mereka.
2) Kita mestilah bijak dalam menyusun strategi untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi seperti Farhani yang menggunakan semburan Endosulfan untuk menewaskan Komander Caucasus
3) Kita perlu rajin membuat rujukan sebagai persediaan awal sebelum melaksanakan satu tugasan yang diamanahkan. Cointohnya Farhani yang mencari maklumat menegnai spesis kumbang di laman sesawang sebelum keluar mencarinya
Latihan Soalan dan Jawapan
1) Berdasarkan novel yang anda kaji, nyatakan contoh peristiwa yang terlibat dengan “Persoalan Ketabahan Menghadapi Dugaan” dan “Persoalan Kepentingan Ilmu dalam Kehidupan”
- Berdasarkan novel yang saya kaji iaitu novel Tawanan Komander Caucasus karya Ruzaini Yahya, contoh peristiwa berkaitan persoalan ketabahan adalah apabila Farhani yang dikurung dalam sebuah balang kaca kekal tabah untuk meneruskan hidupnya walaupun sukar untuk bernafas. Contoh peristiwa untuk persoalan kepentingan ilmu pula adalah Cikgu Salimah yang mengakui kesan positif telnologi maklumat dalam dunia pendidikan justeru bertekad untuk bergerak seiring dengan kemajuan teknologi hari ini.
2) Jelaskan tiga perwatakan watak utama di dalam novel yang anda kaji
- Watak utama dalam novel yang saya kaji iaitu novel Tawanan Komander Caucasus adalah Farhani. Dia merupakan seorang yang rajin kerana terlebih dahulu membuat kajian di alamn sesawang sebelum keluar menjalankan tugasan mencari kumbang. Selain itu, dia seorang yang berani kerana telah memasuki dusun datuknya seorang diri untuk mencari kumbang kerana tidak ingin membuang masa. Farhani juga seorang yang bersimpati kerana telah menziarahi dan bersimpati terhadap Puan Lee yang kehilangan Kim Yong.
3) Nyatakan tiga latar tempat dan huraikan peristiwa yang berlaku dalam novel yang anda kaji.
- Novel yang telah saya kaji ialah Tawanan Komander Caucasus karya Ruzaini Yahya. Antara latar tempat yang terdapat dalam novel tersebut adalah Sekolah Menengah Seri Kencana, tempat di mana Farhani dan rakan-rakannya belajar di kelas Tingkatan Satu Arif. Selain itu, latar tempat yang diceritakan adalah rumah Kim Yong yang memepunyai zoo mini di mana Farhani dan rakan-rakannya ternampak pelabagi spesies kumbang. Akhir sekali, latar tempat yang menarik di dalam novel tersebut adalah Kamar Peraduan Komander Caucasus. Dara Merah telah memperdaya Komander Caucasus dengan memberikan minuman yang telah diracun di kamar peraduan Komander Caucasus.
Semoga perkongsian berkaitan Novel Tawanan Komander Caucasus : Sinopsis, Plot, Watak, Nilai memberikan manfaat kepada pelajar.