Peranan Keluarga Dalam Menangani Masalah Sosial

Panduan terkini dikemaskini pada 23 Mei 2019 jam 03:46 PM

Contoh Karangan Soalan Bahasa Melayu SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) berkaitan masalah sosial dikalangan remaja masa kini. Pelbagai masalah sosial seperti pergaulan bebas, merempit, vandalisme dan lari dari rumah berkait rapat dengan kebejatan institusi keluarga. Jelaskan peranan keluarga dalam menangani masalah sosial tersebut.

Contoh Karangan Peranan Keluarga Dalam Menangani Masalah Sosial

Tragedi haruan makan anak, kanak-kanak mati didera oleh ibu atau ayah kandung dan anak-anak yang terbiar terlantar bukan lagi isu asing di negara ini. Kisah-kisah sadis ini sering menjadi ‘hiasan’ muka depan akhbar arus perdana dan seolah-olah tiada penghujung. Sebak dada apabila melihat anak kecil terbujur kaku dek perbuatan manusia yang bertopengkan syaitan. Ironi sungguh, anak-anak yang sepatutnya menjadi permata hati akhirnya terpaksa berdepan dengan kehidupan yang amat menyeksakan.

mat rempit

Semua fenomena tersebut telah memusibahkan pelbagai impak negatif jangka panjang apabila anak-anak mula membawa diri dan terdedah kepada kebejatan moral seperti pergaulan bebas, vandalisme dan lari dari rumah. Semua fenomena ini ibarat sesat di hujung jalan, baliklah ke pangkal jalan, justeru institusi keluarga hendaklah kembali ke landasan asal mengambil tanggungjawab menangani masalah sosial yang semakin membarah kini.

Institusi keluarga yang ditunjangi oleh ibu dan ayah sudah sewajarnya kembali kepada fitrah bahawa jodoh pertemuan mereka adalah berpaksikan kasih sayang. Kasih sayang ialah sifat bagi Rabb yang dipinjamkan kepada manusia agar manusia dapat merasai sebuah kehidupan bagaikan di syurga. Daripada adunan kasih sayang itulah lahirnya zuriat. Sedarlah bahawa zuriat ialah darah dan daging sendiri, masakan boleh diapa-apakan. Seandainya fitrah ini bertunjang kukuh di dalam hati nurani, justeru nikmatnya akan melimpah kepada anak-anak. Betapakah akan berlaku krisis anak lari dari rumah, bergelandangan dan memilih rakan yang salah sekiranya fitrah nurani fizikal, mental dan emosi mereka mendapat belaian yang cukup daripada ibu bapa? Jawapannya, anak-anak seperti ini akan sempurna dan seimbang sahsiah mereka. Sesungguhnya, ingatlah kepada kata-kata Imam Al Ghazali bahawa, “Anak-anak yang diajar erti berkasih sayang sentiasa belajar untuk memaafkan orang lain”.

Amalan nilai murni dan segala sifat mahmudah yang ditunjukkan oleh para Nabi dan golongan soleh elok dijadikan garis panduan dalam kehidupan berkeluarga. Hamparan kasih sayang, raut belai, nasihat dan hemah dalam berbicara amat penting diamalkan oleh setiap ahli keluarga. Semua elemen ini harus dipelopori oleh ibu bapa agar terbentuk iklim mawaddah dalam keluarga. Anak-anak akan berasa mereka benar-benar disayangi dan sebagai balas tidak tergamak untuk menconteng arang ke muka ibu bapa. Dalam kalangan abang dan kakak tanami mereka perasaan bertanggungjawab supaya cakna terhadap adik-adik. Inilah yang dikatakan keluarga dalam iklim ‘Rumahku Syurgaku’. Dapatkah kita bayangkan, apakah mungkin akan berlaku kepada seseorang anak untuk lari membawa diri seandainya dari kecil merasai kehidupan di dalam rumah tangga bagaikan syurga? Oleh itu, penyelesaian yang telah ditunjukkan dalam kaedah mendidik anak-anak yang berpaksikan agama dan moral hendaklah dijadikan pedoman kerana air yang jernih di hulu, justeru di muara pun tetap jernih.

Keredaan juga harus dicari dalam perkara berkaitan dengan rezeki, makan minum dan semua perkara dalam rumah tangga. Tanpa membezakan mana-mana agama mahupun budaya, tiada suatu pun kepercayaan, bahawa sesuatu yang bermula dengan yang haram boleh menatijahkan kebaikan. Oleh hal yang demikian, ibu bapa hendaklah sangat tegas dalam perkara haram dan halal yang dibatasi oleh agama. Memetik kata-kata dalam Firman Allah, yang mafhumnya, “Barang sesuatu pada tubuhnya yang tumbuh daripada sumber yang haram, maka yang lebih utama kepadanya ialah api neraka”. Inilah terminologi utama yang menentukan kelahiran zuriat sama ada membawa rahmat atau musibah. Perkara-perkara yang haram dan syubhah apabila menjadi kebiasaan dalam rumah tangga sudah tentu akan menjadi virus untuk merosakkan minda dan akhlak anak-anak. Oleh sebab itu, ibu bapa perlulah berwaspada terhadap unsur halal dan haram, ibarat adat bersendi hukum, hukum bersendikan kitabullah.

Dalam abad milenium ini juga, ibu bapa haruslah lebih peka terhadap perubahan masa. Ibu bapa hendaklah celik maklumat, celik teknologi dan sensitif terhadap segala perubahan sosial. Keengganan sesetengah ibu bapa untuk bersama-sama anak-anak meneroka perubahan semasa pasti akan terbina jurang yang dalam antara mereka. Kedapatan ayah yang terlalu angkuh dengan status quo mereka seolah-olah anak-anak tidak mengetahui apa-apa. Seandainya perkara ini terjadi yakinlah bahawa tidak lama kemudian ibu atau bapa akan menjadi mangsa penipuan oleh anak-anak sendiri. Ibu bapa pada zaman ini perlu mengiktiraf anak-anak terlalu pantas menguasai teknologi, justeru mereka perlu didekati, dibimbing dan berkongsi maklumat secara sihat. Isu-isu pergaulan bebas, sumbang mahram dan haruan makan anak kerap terjadi apabila ibu bapa jahil akan perkembangan maklumat digital dan ICT. Unsur-unsur pornografi, seks bebas dan bersekedudukan boleh diakseskan dengan begitu meluas hanya melalui akses telefon pintar. Oleh itu, pantaulah anak-anak dengan cara mendekati mereka dan ingatlah akan pesan Rasulullah, “Bahawa zaman anak-anak bukan zamanmu”.

Selain itu, ibu bapa dan seluruh ahli keluarga terdekat haruslah bersinergi dalam memantau kelibat anak-anak. Keluarga yang dimaksudkan bukan sekadar keluarga nukleus, sebaliknya meliputi keluarga luas yang ada hubungan kerabat dan darah daging. Situasi pada hari ini amatlah ironi apabila dalam keluarga sendiri pun wujud jurang seperti tidak bertegur sapa dan mementingkan diri sendiri. Sepatutnya dalam kalangan ibu bapa tidak boleh terlalu eksklusif bahawa anak-anak mereka tidak boleh disentuh oleh mana-mana pihak hatta ibu atau bapa saudara sekalipun. Inilah malapetaka yang sedang melanda institusi keluaga abad moden apabila pengaruh kebendaan terlalu menguasai kehidupan. Masing-masing percaya dengan kebendaan mereka tidak perlu saling bergantung kerana semua keperluaan sudah tersedia. Sayang seribu kali sayang, material bukan penyelamat kepada anak-anak. Akhirnya berlakulah krisis anak-anak yang biadab, pembawa onar dan vandalisme apabila mereka berasa bebas di belakang ibu atau bapa. Sesungguhnya, jalan penyelesaian yang terbaik kembalilah kepada adat lama, anak orang anak kita, anak kita anak kita jugalah.

Intihanya, semua pihak haruslah berpegang kepada kata-kata, keluarga sebagai teras masyarakat. Apabila keluarga pincang maka rosaklah masyarakat. Dalam dunia yang semakin kompleks, kesepaduan dalam kalangan ahli keluarga akan menyelamatkan anak-anak daripada terjatuh ke dalam jurang kebejatan sosial. Sesungguhnya, pembinaan sebuah keluarga sakinah memerlukan komitmen yang tinggi berdasarkan adunan ilmu, iman, akhlak dan sosial yang harmoni. Ingatlah akan pesan Nabi SAW bahawa, “Anak yang dilahirkan itu adalah fitrah, bergantunglah kepada ibu bapa yang mencorakkan mereka sama ada menjadi Majusi atau Nasrani”.