Panduan terkini dikemaskini pada

Semakan Tingkatan 6 2023 Online & Semak Keputusan Rayuan

Semakan Keputusan Tawaran Tingkatan 6 Sesi 2023/ 2024. Bilakah tarikh semakan tawaran keputusan kemasukan ke Tingkatan 6 (Form 6) tahun 2023? Pasti rasmi pelajar lepasan SPM yang menanti dengan penuh debar samada mereka layak atau tidak.

Untuk makluman, keputusan tawaran kemasukan murid ke tingkatan enam di sekolah menengah bantuan penuh kerajaan akan diumumkan melalui laman sesawang Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di applikasi e-perkhidmatan berkala.

semakan tingkatan 6

SEMAKAN TAWARAN KE TINGKATAN 6 SEMESTER 1 TAHUN 2023

Berikut dikongsikan maklumat penting mengenai tarikh semakan tawaran kemasukan ke Tingkatan 6 tahun 2023, applikasi semakan dan sebagainya buat panduan pelajar semua :-

1) Semakan secara online

  • Keputusan tawaran Tingkatan 6 boleh disemak bermula dari 3 Julai 2023 hingga 17 Julai 2023 (Tahun lepas 7 Julai 2022 sehingga 24 Julai 2022)
  • Tarikh pendaftaran adalah pada 16/17 Julai 2023  (25 Julai 2022)
    • Tarikh yang tepat selepas pengumuman rasmi daripada KPM
  • Pautan Penting :

Nota Penting

  1. Bagi yang ditawarkan ke Tingkatan Enam jangan lupa buat pengesahan secara dalam talian
  2. Murid yang tidak ditawarkan ke Tingkatan 6 boleh membuat rayuan online melalui portal sama mulai 3 hingga 17 Julai 2023
  3. Semakan keputusan rayuan boleh dibuat pada 24 Julai 2023 secara dalam talian melalui Portal yang dinyatakan di atas
  4. Calon yang sedang menunggu tawaran UPU, Matrikulasi dan lain-lain, PERLU MENGESAHKAN PENDAFTARAN KEMASUKAN.

Tarikh Semakan Tawaran Tingkatan 6 Tahun Sebelumnya

Sebagai panduan, berikut dikongsikan maklumat semakan keputusan tawaran Tingkatan 6 tahun sebelumnya. Untuk makluman, tarikh keputusan tawaran pada tahun-tahun sebelumnya adalah seperti berikut:-

  • 2022 : 7 Julai hingga 24 Julai 2022
  • 2021 : 7 Julai hingga 15 Julai 2021
  • 2020 : 1 Julai 2020
  • 2019 : 16 April hingga 17 Mei 2019
  • 2018 : 16 April hingga 16 Mei 2018
  • 2017 : 16 April hingga 12 Mei 2017
  • 2016 : 14 April hingga 27 Mei 2016
  • 2015 : 15 April 2015
  • 2014 : 24 April 2014

Pelajar dinasihatkan untuk merujuk kepada pengumuman rasmi daripada KPM mengenai tarikh semakan tawaran tingkatan 6 sesi 2023-2024 yang akan dikemaskini dari masa kesemasa.

2) Semakan melalui SMS 

Pelajar boleh membuat semakan melalui SMS dengan mengikuti langkah berikut:-

1) Taip MOE<jarak>T6<jarak>No Kad Pengenalan dan hantar SMS ke 15888
2) Taip MOE<jarak>T6<jarak>Angka Giliran dan hantar SMS ke 15888

Semakan Keputusan Rayuan Tingkatan 6 2023

Bagi mereka yang gagal, anda boleh membuat rayuan bermula dari tarikh keputusan diumumkan dengan klik pautan aplikasi semakan yang sama di atas

Kepada pelajar yang telah membuat rayuan kemasukan ke Tingkatan 6, semakan keputusan rayuan kemasukan ke Tingkatan Enam Bawah (Form 6) Sesi akademik 2023/ 2024 dijangka akan diumumkan pada 24 Julai 2023.

Soalan Penting Tawaran Tingkatan 6

Berikut adalah soalan lazim kemasukan ke Form 6 yang dipetik dari aplikasi SST6 KPM  :-

1. Adakah perlu memohon untuk masuk ke Tingkatan Enam Semester 1 selepas keputusan SPM diumumkan?

Tidak perlu. Calon lepasan SPM yang layak dan memenuhi syarat ke Tingkatan Enam akan ditawarkan secara automatik. Semakan boleh dibuat dalam portal https://sst6.moe.gov.my/ selepas tarikh semakan diumumkan  melalui portal KPM.

2. Bagaimanakah cara untuk mendapatkan Surat Tawaran Kemasukan ke Tingkatan Enam bagi tujuan pendaftaran masuk?

Surat tawaran boleh dimuat turun dan dicetak daripada portal https://sst6.moe.gov.my/ selepas tarikh semakan diumumkan melalui portal KPM.

3. Apakah syarat-syarat kelayakan masuk ke Tingkatan Enam?

  • Syarat am (kecuali Murid Berkeperluan Khas) ialah Lulus SPM dengan mendapat sekurang-kurangnya kepujian bagi mata pelajaran Bahasa Melayu.
  • Berumur antara 17 hingga 20 tahun pada 1 Januari tahun 2022
  • Syarat khas mengikut bidang boleh dirujuk dalam portal KPM.

4. Bagaimanakah cara hendak mengira nilai wajaran mata unit untuk kiraan bagi kemasukan ke Tingkatan Enam?

jadual wajaran mata gred spm

5. Sekiranya ingin menukar bidang yang ditawarkan, bagaimanakah cara untuk melakukannya?

Calon yang layak dikehendaki untuk mendaftar di sekolah yang ditawarkan terlebih dahulu. Kemudian, calon perlu melengkapkan Borang Permohonan Rayuan Tukar Bidang Tingkatan Enam (T6BRTJ) yang boleh dimuat turun daripada portal https://sst6.moe.gov.my/.

Selepas lengkap diisi, semua borang mesti mendapat pengesahan pengetua sekolah yang asal. Alasan yang diberikan untuk bertukar bidang perlu kukuh dan boleh diterima oleh Panel Jawatankuasa Rayuan. Hantar borang T6BRTJ yang telah lengkap ke JPN/PPD melalui sekolah masing-masing. Patuhi tarikh tutup yang ditetapkan bagi penghantaran dokumen. Permohonan yang layak dipertimbangkan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat di Kolej Tingkatan Enam/Pusat Tingkatan Enam.

6. Sekiranya jumlah mata unit melebihi yang ditetapkan (tidak layak), bolehkah pemohon merayu untuk masuk ke Tingkatan Enam?

Calon boleh membuat permohonan rayuan dengan menggunakan Borang Rayuan Kemasukan ke Tingkatan Enam Semester 1 Tahun 2023 bagi Calon Sekolah Kerajaan Berdasarkan Pencapaian Kokurikulum (T6BKK) yang diisi dalam portal https://sst6.moe.gov.my/. Patuhi syarat-syarat yang ditetapkan pada borang tersebut. Patuhi tarikh tutup penghantaran dokumen yang ditetapkan. Permohonan yang layak dipertimbangkan tertakluk pada kekosongan tempat di Kolej Tingkatan Enam/Pusat Tingkatan Enam. Borang yang lengkap perlu dihantar kepada:

  • (a) JPN/PPD untuk rayuan kemasukan ke Sekolah Menengah Harian, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI);
  • (b) Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh untuk rayuan kemasukan ke Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) dan Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu; atau
  • (c) Bahagian Pendidikan Khas untuk rayuan kemasukan ke Sekolah Menengah Pendidikan Khas.

7. Bolehkah lepasan SPM daripada calon persendirian/sekolah swasta/Sekolah Menengah Agama Negeri memohon untuk masuk ke Tingkatan Enam di sekolah kerajaan?

Boleh. Calon perlu membuat permohonan dengan menggunakan Borang Permohonan Kemasukan Tingkatan Enam Semester 1 Tahun 2023 bagi Calon Persendirian, Sekolah Swasta dan Sekolah Menengah Agama Negeri (T6BCP). Patuhi syarat-syarat yang ditetapkan pada borang tersebut. Permohonan yang layak dipertimbangkan tertakluk pada kekosongan tempat di Pusat Tingkatan Enam. Borang yang lengkap diisi hendaklah dikembalikan kepada:

  • (a) JPN/PPD untuk rayuan kemasukan ke Sekolah Menengah Harian, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI);
  • (b) Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh untuk rayuan kemasukan ke Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) dan Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu ; atau
  • (c) Bahagian Pendidikan Khas untuk rayuan kemasukan ke Sekolah Menengah Pendidikan Khas.

8. Bagaimanakah cara untuk membuat permohonan sekiranya seseorang yang telah ditawarkan ke Tingkatan Enam tetapi berhasrat untuk bertukar Kolej Tingkatan Enam/Pusat Tingkatan Enam atas sebab tertentu, seperti mata pelajaran yang ingin diambil tidak ditawarkan di sekolah tersebut dan sebagainya?

Permohonan pertukaran Kolej Tingkatan Enam/Pusat Tingkatan Enam perlu dibuat dengan menggunakan Borang P.U.(A) 275 Jadual Ketiga [Permohonan untuk Bertukar Sekolah oleh Murid Warganegara]. Borang hendaklah diserahkan kepada bahagian (kecuali Sekolah Menengah Harian dan Sekolah Menengah Teknik)/JPN/PPD masing-masing untuk pertimbangan. Sekiranya pertukaran melibatkan pertukaran daerah/negeri, borang perlu diserahkan kepada:

  • (a) JPN/PPD untuk rayuan kemasukan ke Sekolah Menengah Harian, SMKA, SABK dan PPKI;
  • (b) Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh untuk rayuan kemasukan ke KISAS dan SMAP Labu; atau
  • (c) Bahagian Pendidikan Khas untuk rayuan kemasukan ke Sekolah Menengah Pendidikan Khas.

9. Saya bukan warganegara Malaysia. Apakah prosedur permohonan untuk ke Tingkatan Enam?

Bagi murid bukan warganegara yang hendak ke Tingkatan Enam, mereka perlu merujuk Seksyen 130 Akta Pendidikan 1996 Peraturan-peraturan Pendidikan (Penerimaan Masuk Murid ke Sekolah, Penyimpanan Daftar dan Syarat bagi Pengekalan Murid Belajar di Sekolah) 1998 serta tertakluk pada syarat am yang telah ditetapkan. Calon perlu mengisi borang P.U(A) 275-Jadual Pertama yang boleh diperoleh di Sektor Pengurusan Sekolah, JPN/PPD.

Calon perlu memastikan segala butiran diisi dengan lengkap. Dokumen yang berkaitan perlu disahkan seperti surat beranak murid, kad pengenalan murid, kad pengenalan ibu bapa serta pasport murid dan ibu bapa. Jika ibu bapa murid bekerja di negara ini, calon perlu mengemukakan salinan pas pengajian, salinan pas tanggungan dan surat majikan yang telah disahkan. Sekiranya permohonan bukan daripada ibu bapa murid, calon perlu mengemukakan dokumen sendiri yang telah disahkan (surat beranak murid, kad pengenalan murid, ibu bapa, serta pasport murid dan ibu bapa) dan salinan surat keterangan hubungan dengan murid tersebut yang telah ditentusahkan.

10. Saya menerima tawaran ke Tingkatan Enam tetapi tiada penempatan. Apakah yang harus saya lakukan?

Anda perlu segera ke JPN/PPD untuk maklumat lanjut.

11. Apakah pakaian murid Tingkatan Enam?

Berpandukan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 2 Tahun 2014 Etika Pakaian Murid Tingkatan Enam, pakaian murid lelaki ialah baju kemeja berseluar panjang lengkap dengan kasut dan stoking. Pakaian murid perempuan ialah baju kurung, gaun, gaun labuh/jenis jubah/maksi, two-piece/three piece suit pants lengkap dengan kasut atau pakaian tradisional kaum masing-masing yang bersesuaian dan lengkap. Sebarang pakaian yang menggunakan material jenis denim tidak dibenarkan. Jean, cargo pants, seluar pendek, atau legging tidak dibenarkan. Apa-apa pakaian yang menutup muka tidak dibenarkan.

Murid dilarang memakai kemeja-T semasa menghadiri kelas. Murid hendaklah berpakaian kemas, sopan dan tidak mencolok mata. Pakaian yang jarang dan ketat juga tidak dibenarkan. Walau bagaimanapun, murid juga boleh mengenakan pakaian seragam sekolah sekiranya perlu (hak memilih terpulang pada murid).

12. Saya telah menolak tawaran Universiti Awam/IPTA/IPTS, bolehkah saya memohon ke Tingkatan Enam?

Calon yang menolak tawaran Universiti Awam/IPTA/IPTS boleh membuat rayuan ke JPN berkenaan dengan menggunakan borang T6BRU. Borang permohonan yang lengkap hendaklah dihantar ke JPN/PPD sebelum tarikh yang telah ditetapkan. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan permohonan anda tidak dipertimbangkan.

13. Saya tidak menamatkan pengajian di Universiti Awam/IPTA/IPTS, bolehkah saya merayu untuk masuk ke Tingkatan Enam?

Calon yang tidak menamatkan pengajian di Universiti Awam/IPTA/IPTS boleh membuat rayuan ke JPN berkenaan dengan menggunakan borang T6BRU. Borang permohonan yang lengkap hendaklah dihantar ke JPN/PPD sebelum tarikh yang telah ditetapkan. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan permohonan calon tidak dipertimbangkan.

14. Saya telah ditawarkan ke Tingkatan Enam, bolehkah saya memohon penangguhan pengajian?

Tiada penangguhan untuk masuk ke Tingkatan Enam. Calon hanya boleh masuk ke Tingkatan Enam bermula dengan Semester 1 setiap tahun. Jika calon tidak menerima tawaran pada tahun semasa, bermakna calon menolak tawaran tersebut. Bagi calon yang menolak tawaran pada tahun semasa, calon boleh membuat permohonan rayuan memasuki Tingkatan Enam pada tahun yang berikutnya tertakluk pada syarat am dan syarat khas yang telah ditetapkan serta kekosongan tempat di Kolej Tingkatan Enam/Pusat Tingkatan Enam.

15. Saya calon Sekolah Integriti bolehkah saya memohon untuk ke Tingkatan Enam?

Permohonan ke Tingkatan Enam boleh dibuat menerusi Sekolah Integriti masing-masing dan tertakluk di bawah kawalan Kementerian Dalam Negeri.

16. Saya murid lepasan Sijil Vokasional Malaysia (SVM), bolehkah saya menyambung pengajian di Tingkatan Enam, KPM?

Boleh. Calon terlebih dahulu perlu membuat permohonan kepada JPN/PPD yang berhampiran. Tawaran akan diberikan apabila calon memenuhi syarat am dan syarat khas yang telah ditetapkan oleh KPM serta terdapat  kekosongan tempat.

17. Saya murid di bawah Program Vokasional Menengah Atas (PVMA). Adakah saya boleh menyambung pengajian di Tingkatan Enam, KPM?

Boleh, calon terlebih dahulu perlu membuat rayuan kepada JPN/PPD. Tawaran akan diberikan apabila calon memenuhi syarat am dan syarat khas yang telah ditetapkan oleh KPM serta terdapat kekosongan tempat. Namun begitu, bagi calon PVMA mata pelajaran yang diambil kira bagi pengiraan dalam syarat khas adalah hanya bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah

Anda boleh memuat turun dokumen berikut sebagai panduan :-

* Segala informasi adalah tertakluk kepada perubahan

Bagi mereka yang gagal, anda boleh merayu di link applikasi semakan yang sama.

Tahniah kepada pelajar yang yang mendapat tawaran ke Tingkatan 6 tahun 2023. Semoga anda berjaya dalam pelajaran anda dalam mencapai cita-cita pada masa depan.