Panduan terkini dikemaskini pada

Jadual Waktu Peperiksaan STAM 2025 (Sijil Tinggi Agama Malaysia)

Jadual Peperiksaan Bertulis STAM 2025. Bilakah tarikh peperiksaan STAM diadakan? Panduan buat pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia tahun ini? Berikut adalah Jadual Peperiksaan Sijil STAM 2025 yang akan diadakan pada tarikh 12 hingga 24 November 2025.

Peperiksaan STAM merupakan peperiksaan yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Al-Azhar Al-Syarif, Republik Arab Mesir setelah termeterainya Perjanjian Persefahaman Akademik dan Kebudayaan pada tahun 1999. STAM mula dilaksanakan pada tahun 2000.

Pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi mata pelajaran STAM adalah berpandukan kepada kurikulum serta buku teks yang diguna pakai di Maahad Al-Bu’uth Al-Islamiyyah Al-Azhar Al-Sharif dengan Bahasa Arab sebagai bahasa pengantar.

Sijil STAM mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam sebagai setaraf dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Sijil ini melayakkan calon untuk memohon program ijazah pertama di Universiti Al-Azhar, Mesir dan universiti tempatan dalam bidang yang sesuai dengan kelayakan masing-masing.

Pada tahun 2022, KPM telah memeterai pindaan kepada Perjanjian Persefahaman Akademik dan Kebudayaan pada 6 Jun 2022 di Kaherah, Mesir. Antara pindaan yang utama adalah PdP kurikulum STAM akan dilaksanakan bagi tempoh tiga tahun bermula pada Tingkatan 4. Perkara ini penting bagi meningkatkan kefahaman calon dalam aspek yang dipelajari serta kompetensi bahasa Arab calon. KPM akan terus memperkukuh kerjasama dengan pihak Al-Azhar Al-Sharif bagi memperkasakan Pendidikan Islam dan bahasa Arab seiring dengan perkembangan dan keperluan semasa.

Jadual STAM 2025 Tarikh Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia

Buat pelajar STAM semua, berikut adalah jadual waktu peperiksaan bertulis STAM 2025 yang mengandungi maklumat penting seperti tarikh, waktu, kod kertas, nama kertas dan masa peperiksaan dijalankan.

Untuk pensijilan STAM, seperti yang telah dipersetujui antara Kementerian Pendidikan Malaysia dengan Al-Azhar As-Sharif, Mesir, pangkat sijil dan peringkat mata pelajaran dilaporkan seperti berikut;

  • Mumtaz > Cemerlang
  • Jayyid Jiddan > Sangat Baik
  • Jayyid > Baik
  • Maqbul > Lulus
  • Rasib > Gagal

Jadual Waktu Peperiksaan STAM 2025 Ujian Bertulis

Berikut adalah jadual lengkap peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang memaparkan tarikh peperiksaan, hari, waktu, kod kertas dan masa.

Mata pelajaran/ kertas peperiksaan yang terlibat adalah seperti berikut :-

  • Fiqh Kertas 1
  • Fiqh Kertas 2
  • Insya’ dan Mutala’ah
  • Tauhid dan Mantiq Kertas 1
  • Tauhid dan Mantiq Kertas 2
  • Balaghah
  • Tafsir dan Ulumuhu Kertas 1
  • Tafsir dan Ulumuhu Kertas 2
  • Hadith dan Mustolah
  • Adab dan Nusus
  • ‘Arudh dan Qafiyah
  • Nahu dan Sarf Kertas 1
  • Nahu dan Sarf Kertas 2
  • Hifz Al-Quran dan Tajwid

Garis Panduan Dan Arahan Peperiksaan

Arahan Am

  • 1.1 Calon wajib menduduki semua kertas peperiksaan bagi mata pelajaran yang didaftar. Calon yang tidak dapat menduduki mana-mana kertas peperiksaan bertulis akan dianggap TIDAK HADIR bagi mata pelajaran berkenaan. Calon yang tidak dapat menduduki atau tidak hadir sesuatu kertas peperiksaan dikehendaki mengemukakan dokumen sokongan seperti surat perakuan doktor hospital kerajaan. Dokumen sokongan ini hendaklah diserahkan kepada Ketua Pengawas Peperiksaan sebelum tamat tempoh peperiksaan STAM 2025.
  • 1.2 Calon hendaklah menyemak butiran pada Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan sebelum peperiksaan. Calon hendaklah memaklumkan kepada pihak JPN sekiranya terdapat kesilapan maklumat dan mengisi Borang Pembetulan Maklumat Calon. Calon dikenakan bayaran RM30.00. Pembayaran hendaklah dibuat kepada pihak JPN atas nama Akauntan Negara Malaysia menggunakan Kiriman Wang/ Wang Pos.
  • 1.3 Calon hendaklah mengemukakan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan kepada Ketua Pengawas Peperiksaan di pusat peperiksaan selain dari pusat peperiksaan asal calon. Ketua Pengawas Peperiksaan hendaklah menyemak maklumat calon dan maklumat mata pelajaran sebelum membenarkan calon menumpang di pusat peperiksaan seliaannya.
  • 1.4 Calon hendaklah membaca Garis Panduan dan Arahan Peperiksaan yang dinyatakan dalam JWP STAM 2025 dan menandatangani Borang Pengakuan Calon.

Arahan Di Dewan/ Bilik Peperiksaan

  • 2.1 Calon hendaklah berada di tempat duduk di dalam Dewan/Bilik Peperiksaan 15 minit sebelum peperiksaan dimulakan.
  • 2.2 Calon hendaklah meletakkan Kad Pengenalan atau Dokumen Pengenalan Diri atau Borang Pengenalan Diri Calon (LP/Am 118) atau Surat Perakuan Pengenalan Diri di penjuru kanan sebelah label meja sepanjang waktu peperiksaan. Calon dilarang menduduki peperiksaan tanpa dokumen berkenaan.
  • 2.3 Calon dibenarkan menduduki peperiksaan atas budi bicara Ketua Pengawas Peperiksaan sekiranya tiba 30 minit selepas peperiksaan dimulakan. Calon hendaklah mengemukakan alasan yang kukuh. Masa gantian tidak akan diberikan.
  • 2.4 Calon boleh membuat bantahan sekiranya telah mendaftar untuk menduduki sesuatu mata pelajaran dalam tempoh pendaftaran tetapi kod kertas peperiksaan tersebut tidak tercatat dalam mana-mana dokumen rujukan calon. Calon hendaklah mengemukakan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan dari Lembaga Peperiksaan yang mengandungi kod kertas, nama kertas dan jenis peperiksaan STAM 2025 sebagai bukti pendaftaran. Calon tidak dikenakan bayaran. Lembaga Peperiksaan berhak untuk tidak mengeluarkan keputusan calon sekiranya tiada bukti pendaftaran telah dilaksanakan.

Muat Turun/ Download Jadual STAM 2025

  • * Sila download jadual lengkap peperiksaan beserta arahan dan panduan kepada calon yang lengkap di STAM Exam Timetable 2025

Semoga berjaya kepada calon yang mengambil peperiksaan STAM 2025 nanti. Keputusan yang cemerlang membolehkan calon untuk memohon kemasukan ke IPTA untuk melanjutkan pengajian tinggi anda melalui UPU.