Panduan terkini dikemaskini pada

Kalendar Puasa Sunat Dan Wajib 2024 Di Malaysia

Berikut adalah perkongsian tentang kalendar/ jadual puasa wajib dan sunat 2024 Masehi bersamaan dengan 1445H – 1446 Hijrah di Malaysia. Moga tarikh puasa dapat menjadi panduan umat Islam di Malaysia dalam melaksanakan ibadah mulia ini. Ibadah puasa mengandungi banyak faedah dan manfaat yang besar, malah selain puasa yang wajib pada bulan Ramadhan elok juga melakukan puasa sunat yang terdapat dalam sepanjang tahun hijrah.

Puasa adalah amalan yang sangat utama. Dengan puasa seseorang akan terlepas dari pelbagai godaan syahwat di dunia dan terlepas dari siksa neraka di akhirat. Puasa pun ada yang diwajibkan dan ada yang disunnahkan. Setelah  kita menunaikan yang wajib maka alangkah bagusnya kita boleh menyempurnakannya dengan amalan yang sunat. Ketahuilah bahawa puasa sunat nantinya akan menutup kekurangan yang ada pada puasa wajib. Oleh kerana itu amalan sunat sudah seharusnya kita lakukan.

kalendar puasa

Kalendar Dan Tarikh Puasa Sunat Dan Wajib 2024

Berikut dikongsikan sedikit maklumat berkaitan puasa sunat dan wajib untuk panduan umat Islam di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Puasa Sunat yang elok diamalkan

1. Puasa Isnin dan Khamis

Dalam riwayat Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda: “Diangkat amalan seseorang pada Isnin dan Khamis, maka aku lebih suka amalanku diangkat dalam keadaan aku berpuasa” (Hadis Tarmizi).

2. Puasa tiga hari setiap bulan

Ini mungkin senang sikit nak diamalkan. Tak kisah hari apa atau tarikh bila. Dalam sebulan ada 30 hari. Ambil tiga hari sahaja untuk berpuasa. Maknanya ada 27 hari lagi untuk makan-makan. Tapi yang afdalnya pada hari putih iaitu 13, 14 dan 15 setiap bulan Hijrah. Pada tiga tarikh ini, bulan sedang mengambang penuh. Jadi cahaya bulan menerangi. Itu pasal nama ‘Hari Putih’

Sabda Nabi s.a.w, maksudnya: “Apabila kamu berpuasa tiga hari dalam sebulan, maka puasalah pada hari ketiga
belas, empat belas dan lima belas” (Riwayat Tirmizi)

3. Puasa hari ini, esok tak puasa

Lusa puasa semula, tulat tak puasa. Ini maknanya puasa sehari, tak puasa sehari. Selang seli antara keduanya. Ini juga termasuk puasa sunat yang afdal. Sabda Nabi s.a.w: Maksudnya “Seafdal-afdal ialah fesyen puasa Nabi Daud. Adalah Nabi Daud berpuasa sehari dan berbuka puasa sehari” (Riwayat Bukhari)

4. Puasa pada hari Arafah

Bagi orang yang tidak mengerjakan haji. Hari Arafah ini ialah Sembilan Zulhijjah. Puasa pada hari tersebut  besar fadilatnya. Rugi jikalau puasa hari Arafah ditinggalkan.

Sabda Nabi s.a.w, maksudnya: “Puasa hari Arafah, aku mengharapkan pahala kepada Allah bahawa ia menghapuskan dosa setahun sebelumnya dan dosa setahun selepasnya.” (Riwayat Muslim)

5. Bulan Zulhijjah

Bagi membesarkan bulan Zulhijjah, umat Islam digalakkan untuk berpuasa sunat bermula dari 1 hingga 9 Zulhijjah bagi yang tidak menunaikan haji. Pada hari Arafah iaitu 9 Zulhijjah adalah hari terbaik bagi umat Islam yang tidak berkesempatan mengerjakan Haji untuk berpuasa.

6. Puasa pada bulan-bulan ‘Haram’ iaitu bulan Muharram, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijjah

Tidaklah puasa empat bulan penuh tetapi maksudnya memperbanyakkan puasa pada bulan-bulan ini.

Sabda Nabi s.a.w  maksudnya:  “… dan seafdal-afdal puasa selepas Ramadan ialah bulan Allah iaitu bulan Muharram” (Riwayat Muslim)

7. Puasa bulan Syaaban

Ini juga besar fadilatnya. Nabi s.a.w memang selalu berpuasa bulan Syaaban sebagaimana yang diceritakan oleh isterinya Aishah r.ha. (Riwayat Bukhari)

8. Puasa ‘Asyura

Puasa ‘Asyura ini dilakukan pada hari kesepuluh dari bulan Muharram dan lebih baik jika ditambahkan pada hari kesembilan iaitu Hari Tasu’a.

‘Asyura berasal perkataan Arab iaitu ‘Asyarah yang bermakna sepuluh.

Kalendar Takwim Puasa Sunat Dan Wajib Tahun 2024

Berikut dikongsikan Kalendar Puasa Sunat dan wajib tahun 2024 bersamaan dengan 1445-1446H.

kalendar puasa 2024 sunat dan wajib 1 kalendar puasa 2024 sunat dan wajib 2

 

Untuk panduan umat Islam juga berikut disertakan hari-hari yang dimakruhkan untuk berpuasa dalam Islam adalah seperti berikut:

Hari Makruh berpuasa sunat

  • Puasa pada hari ‘Arafah bagi orang yang mengerjakan haji
  • Puasa pada hari Jumaat sahaja, Sabtu sahaja atau Ahad sahaja iaitu tanpa berpuasa sebelum atau selepas hari berkenaan. Walau bagaimanapun, tidak makruh mengerjakan puasa semata-mata Jumaat, Sabtu atau Ahad sekiranya hari-hari tersebut disunatkan puasa seperti Hari Asyura atau Hari Arafah, atau bagi mereka yang mengerjakan puasa sunat Nabi Daud AS (berpuasa selang sehari) atau bagi mereka yang mengerjakan puasa Qadha atau puasa nazar
  • Puasa sepanjang tahun (sepanjang masa)

Hari haram berpuasa sunat

  • 1. Hari Syak iaitu hari yang apabila dia ragu tarikh sebenar Ramadhan (30 Syaaban). Hal ini berdasarkan hadis daripada Ammar bin Yasir r.a yang bermaksud :”Sesiapa berpuasa pada hari syak, sesungguhnya dia telah menderhaka kepada Abu al-Kasim (Muhammad) SAW.”
  • 2. Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha iaitu 1 Syawal dan 10 Zulhijjah. Hal ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah r.s yang bermaksud :”Bahawa Rasulullah SAW menegah berpuasa pada dua hari iaitu hari raya Aidilfitri dan hari raya Aidiladha.”
  • 3. Hari-hari tasyrik iaitu 11,12, dan 13 Zulhijjah. Hal ini berdasarkan hadis daripada Imam Muslim dalam sahihnya daripada Nabi SAW yang bermaksud :”Hari-hari Mina merupakan hari-hari makan minum juga hari mengingati Allah SWT.”
  • 4. Hari Haid dan Nifas
  • 5. Ulama Mazhab Shafie berpendapat adalah haram berpuasa pada separuh akhir bulan Syaaban. Iaitu yang di antaranya terdapat hari syak, melainkan kepada mereka yang biasa berpuasa sepanjang tahun atau bagi mereka yang berpuasa pada hari tertentu seperti hari Isnin dan Khamis, bagi mereka yang puasanya berkebetulan dengan hari selepas 15 Syaaban atau puasa nazar yang tertanggung ke atasnya atau puasa qada atau fardhu ataupun puasa yang bersambung dengan puasa selepas Syaaban dan puasa sebelumnya walaupun satu hari sebelum 15 hari Syaaban. Hal ini berdasarkan hadis yang bermaksud :”Apabila telah tiba pertengahan bulan Syaaban, janganlah kamu berpuasa.” (Riwayat Ahmad)Mazhab Hanbali dan mazhab-mazhab lain tidak berpegang kepada hadis ini kerana hadis ini adalah hadis daif menurut pendapat Imam Ahmad.
  • SUMBER JAWI

Semoga Kalendar Puasa Sunat Dan Wajib 2024 ini bermanfaat buat semua dan boleh dijadikan panduan. Selamat berpuasa.