Panduan terkini dikemaskini pada

Novel Meniti Impian : Sinopsis, Tema, Persoalan, Watak, Plot, Pengajaran

Berikut dikongsikan nota subjek Komponen Sastera bagi matapelajaran Bahasa Melayu berkaitan Novel Meniti Impian meliputi Sinopsis setiap bab & keseluruhan, Tema, Persoalan, Watak, Nilai, Plot dan Pengajaran untuk rujukan semua.

Novel ini merupakan karya Osman Ayob yang diterbitkan pada tahun 2014 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Pengarang yang berasal dari Yan, Kedah merupakan lulusan PhD dari International Management Development Institute, Indonesia Berkeley International University, California, Amerika Syarikat. Beliau yang mula menulis sejak tahun 1975 telah menghasilkan karya sastera genre novel dan cerpen serta telah menerima pelbagai anugerah kesusasteraaan.

Novel Meniti Impian : Sinopsis, Tema, Persoalan, Watak, Nilai, Plot, Latar & Pengajaran

Di bawah dikongsikan nota-nota yang terkandung dalam Novel di atas untuk panduan semua. Selain itu disertakan nota berkenaan binaan plot, teknik plot, latar dan juga gaya bahasa.

Sinopsis Setiap Bab Novel Meniti Impian

Bab 1: Cita-cita

Pak Yusuf berasa simpati dengan nasib yang menimpa anak saudaranya. Dia tahu selepas gagal menduduki tingkatan enam anak saudaranya banyak mendiamkan diri dan termenung. Impian Zahar untuk belajar telah terhalang kerana ibunya terpaksa menanggung persekolahan dua orang adiknya. Untuk membantu ibunya, Zahar sanggup untuk bekerja di bengkel perabot kecil milik bapa saudaranya, Pak Yusuf. Pak Yusuf mengetahui bahawa Zahar mempunyai
keazaman dan cita-cita yang tinggi untuk berjaya. Zahar telah memberitahu niatnya kepada Pak Yusuf bahawa dia ingin menyambung pelajaran di IKM dalam kursus Pertukangan Perabot. Pak Yusuf berasa amat gembira kerana anak saudaranya itu akan menyambung warisannya sebagai tukang perabot.

Pak Yusuf telah menerima tempahan daripada Tok Imam untuk membuat sebuah rak kasut di masjid. Dia teringat kembali pada masa lampau, kasut para jemaah diletakkan merata-rata dan sering disepak dan dipijak. Kini, jemaah
masjid semakin bertambah, rak kasut yang dibina bersama-sama dengan Zahar itu akan dapat menyelesaikan masalah tersebut. Walaupun dengan peralatan yang serba kekurangan, Pak Yusuf sambil dibantu oleh Zahar dapat
menghasilkan perabot yang baik seperti yang diminta oleh orang kampung.

Dia sentiasa memberikan perangsang kepada anak saudaranya itu agar dapat mencapai impiannya untuk belajar di IKM. Dia tahu Zahar memiliki bakat yang istimewa jika diberi peluang untuk mendapatkan ilmu pertukangan yang lebih moden berbanding dengan dirinya yang hanya bergantung pada bakat semata-mata. Pak Yusuf berasa lapang apabila memikirkan kejayaan yang bakal dicapai oleh Zahar jika anak saudaranya itu berjaya diterima masuk ke IKM.
Hatinya menjadi lebih gembira apabila mengenangkan perabot yang telah ditempah akan siap mengikut waktu yang ditetapkan. Semuanya ini adalah berkat pertolongan daripada Zahar.

Bab 2: Tawaran

Mak Kiah menunggu kepulangan Zahar, anak kesayangannya di rumah pada tengah hari itu. Sewaktu Zahar pulang dia telah menunjukkan sepucuk surat yang ditunggu-tunggu oleh Zahar selama ini. Zahar berasa amat gembira
kerana impiannya untuk belajar di IKM telah tercapai. Belajar kursus Pertukangan Perabot ialah impian besarnya selama ini. Dia berjaya menyambung pelajarannya di IKM Sungai Petani. Ibunya menumpang gembira atas kejayaan anaknya itu. Zahar telah berkongsi kegembiraan tersebut bersama-sama dengan ibu serta rakan-rakannya Bakar dan Rahim. Dia teringat kembali zaman persekolahannya dahulu dan kejayaan Suhaili yang sedang menuntut pelajaran di ITM. Apabila memikirkan perkara tersebut, dia berasa rendah diri kerana hanya mampu belajar di IKM jika hendak dibandingkan dengan Suhaili.

Selepas pulang dari masjid menunaikan solat isyak, Zahar termenung bersendirian. Hatinya berkonflik sama ada untuk memberitahu Suhaili tentang tawaran yang baru diterimanya siang tadi atau tidak. Dia tidak tahu sebab
hatinya berasa resah gelisah apabila teringat akan Suhaili bekas rakan sekolahnya dahulu. Dia masih teringat-ingat akan senyuman manis Suhaili yang berkulit putih kuning itu sewaktu terserempak dengannya dua minggu yang lalu.
Namun, perkara yang lebih penting dalam fikirannya ketika itu adalah untuk mencapai cita-citanya yang masih tidak padam. Selepas termenung dan mengelamun hingga lewat malam, barulah Zahar dapat melelapkan matanya.

Bab 3: Cabaran

Zahar menghadapi konflik diri sama ada ingin memberitahu Suhaili atau tidak tentang tawaran menyambung pelajaran di IKM yang baru diterimanya. Dia ingin berkongsi kegembiraan tersebut bersama-sama dengan Suhaili. Oleh itu, Zahar mengambil keputusan untuk memberitahu perkara tersebut dengan menelefon Suhaili. Zahar berasa gembira kerana Suhaili sudi untuk bertemu dengannya di City Point, Alor Setar. Dia mengimbas kembali kenangan mereka sewaktu di sekolah. Dia sering berbincang dan berdebat dengan Suhaili di dalam bilik darjah.

Keintiman antara mereka berdua menyebabkan Bakar sering mengusiknya sama ada di sekolah atau di kampung. Suhaili seorang yang menarik, cantik, sedikit pendiam tetapi mudah mesra. Namun, sifat Suhaili yang mementingkan pelajaran merapatkan lagi perhubungan mereka. Suhaili telah mencabar Zahar untuk mendapatkan gred satu dalam peperiksaan SPM kelak. Mereka berjanji untuk masuk ke ITM bersama-sama. Namun, segala cita-citanya telah musnah kerana dia demam sewaktu peperiksaan SPM berlangsung. Zahar gagal untuk melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam.

Bab 4: Pertemuan

Perasaan Zahar berdebar-debar dan sedikit gugup untuk bertemu dengan Suhaili. Zahar sengaja pergi awal ke Alor Setar kerana tidak mahu menaiki kenderaan yang sama dengan Suhaili. Dia bimbang jika orang kampung ternampak kelibatnya bersama-sama dengan Suhaili pasti hal itu akan menjatuhkan air mukanya. Akhirnya, saat yang dinanti-nantikan pun tiba. Zahar berasa sangat teruja untuk bertemu dengan Suhaili. Dalam pertemuan singkat tersebut, Zahar bersusah payah memberitahu Suhaili tentang tawaran yang baru diterimanya. Suhaili kecewa kerana Zahar tidak meneruskan cita-citanya untuk ke ITM.

Zahar cuba mempertahankan dirinya dengan mengatakan bahawa masalah keluarga yang menghalangnya untuk menyambung pelajaran. Dia mengatakan bahawa urusan pendidikan adik-adiknya adalah di bawah tanggungjawabnya setelah ayahnya meninggal dunia. Namun, penjelasan Zahar tidak dapat diterima oleh Suhaili. Dia memandang rendah pada lepasan IKM berbanding dengan lepasan ITM. Zahar berasa kecewa kerana Suhaili seperti
memperlekehkan dirinya untuk belajar di IKM dalam kursus Pertukangan Perabot.

Akhirnya, Suhaili meminta diri secara tergesa-gesa. Zahar yang dalam keadaan kecewa telah mengekori Suhaili dari belakang secara senyap-senyap. Tanpa disedari oleh Suhaili, Zahar menyaksikan orang yang dipujanya telah bertemu dengan seorang jejaka kacak yang memandu kereta Proton Saga merah. Hatinya hancur apabila menyaksikan peristiwa tersebut.

Bab 5: Dilema

Zahar berasa amat sedih. Dia teringat kembali kata-kata Suhaili tempoh hari. Kata-kata yang penuh dengan penghinaan dan sindiran. Namun, penghinaan tersebut tidak sedikit pun melemahkan semangatnya untuk
mencapai cita-cita, malah semakin menguatkan semangatnya. Keadaannya yang muram telah disedari oleh Pak Yusuf. Zahar memberitahu bahawa tiada apa-apa yang berlaku pada dirinya walaupun dalam hatinya penuh dengan perasaan yang berkecamuk. Kata-kata yang keluar daripada mulut Suhaili kelmarin benar-benar menghiris tangkai hatinya.

Pak Yusuf yang sememangnya prihatin terhadap nasib anak saudaranya itu cuba memujuknya, malah telah berjanji untuk membantu persekolahan adik-adiknya sewaktu Zahar belajar di IKM. Zahar berasa amat terharu dengan niat
ikhlas pak ciknya itu dan berjanji akan belajar bersungguh-sungguh hingga mencapai cita-citanya untuk menjadi tukang perabot yang terkenal suatu hari nanti. Perbualan mereka berdua terhenti apabila Mak Temah, isteri Pak Yusuf memberitahu bahawa hidangan telah siap untuk dimakan oleh mereka berdua.

Bab 6: Perjalanan

Awal-awal lagi Pak Yusuf, iaitu adik kepada emaknya telah sampai ke rumah. Pak Yusuf memberitahu bahawa dia telah menempah sebuah teksi untuk membawa Zahar ke IKM di Sungai Petani. Zahar berasa sedikit kurang senang
kerana pak ciknya telah menyewa teksi Pak Usin, iaitu bapa saudara kepada Suhaili. Hatinya berasa jengkel kerana perasaannya terhadap Suhaili sudah tertutup rapat.

Pemergiannya ke IKM membuatkan hatinya berasa sedih kerana terpaksa meninggalkan ibunya untuk mengurus dua orang adiknya yang masih bersekolah. Bebanan ibunya semakin bertambah sewaktu ketiadaannya kerana tiada sesiapa yang akan membantu ibunya dari segi kewangan. Dia tidak boleh mengharapkan pertolongan daripada Pak Yusuf semata-mata kerana dua orang anak Pak Yusuf yang sedang belajar di universiti juga memerlukan perbelanjaan
yang banyak.

Tauke Lim turut menaiki teksi yang sama dengan Zahar dan Pak Yusuf. Cuma dia hanya menumpang teksi tersebut hingga ke Pekan Lama. Sepanjang perjalanan, Tauke Lim memuji Zahar kerana mempunyai cita-cita untuk menjadi seorang pengusaha perabot. Dia turut juga memuji Pak Yusuf kerana mempunyai pandangan yang jauh dalam perniagaan perabot. Dengan menghantar Zahar mempelajari kursus Pertukangan Perabot, maka suatu hari nanti perniagaan perabot kepunyaan Pak Yusuf juga akan maju dan berkembang.

Perjalanan mereka akhirnya tiba di destinasi. Pak Yusuf turut membantu Zahar menyelesaikan pengurusan penginapan di asrama. Dalam kesibukan pendaftaran pelatih baharu, Zahar telah berkenalan dengan Pak Kamil yang
turut menghantar anak gadisnya ke IKM. Hati Zahar berdegup kencang apabila melihat anak gadis Pak Kamil yang bernama Norimi. Begitu juga dengan Norimi apabila berasa sesuatu yang berbeza sewaktu melihat Zahar. Mereka
tidak mengambil kursus yang sama. Norimi mengambil kursus Lukisan Seni Bina.

Setelah selesai mendaftar dan mendapatkan kunci bilik asrama masing-masing maka bermulalah kehidupan Zahar di IKM. Tempat yang akan merealisasikan impiannya untuk menjadi seorang pengusaha perabot yang berjaya suatu hari nanti.

Bab 7: Suai Kenal

Minggu suai kenal pun bermula. Zahar dan rakan baharunya Ramli bersama-sama terlibat dalam minggu orientasi pelatih-pelatih baharu yang dikendalikan oleh pelatih senior. Para pelatih baharu telah diingatkan tentang masa hadapan mereka sebagai pekerja kolar biru yang akan bekerja di bengkel, di tapak binaan, atau di tengah terik matahari. Pelatih senior mengingatkan mereka agar semua pelatih baharu di IKM memiliki semangat, cita-cita yang
tinggi dan keyakinan yang kental untuk mengejar cita-cita. Selesai sesi memberikan kata-kata perangsang kepada pelatih baharu, mereka diarahkan pula untuk sesi bergotong-royong di tempat-tempat yang telah ditetapkan.

Pada sesi gotong-royong tersebut, Zahar sempat untuk berbual mesra dengan Norimi gadis dari Johor yang telah berjaya mencuri hatinya. Para pelatih baharu sekali lagi diingatkan agar sentiasa beramah mesra dengan pelatih-
pelatih yang lain terutama pelatih senior. Selepas sesi gotong-royong, mereka kemudian telah dibenarkan untuk minum petang, seterusnya bersiap-siap untuk solat dan menghadiri program pada waktu malam.

Bab 8: Kemahiran

Minggu suai kenal sudah berakhir. Semua pelatih te1ah ditempatkan di kelas mengikut kursus masing-masing. Zahar yang mengikuti kursus Pertukangan Perabot mendapat Cikgu Baharum sebagai guru kelasnya. Sewaktu sesi suai kenal di dalam kelas, Zahar telah menceritakan pengalamannya terbabit dalam kerja-kerja pembinaan perabot bersama-sama dengan bapa saudaranya. Cikgu Baharum berasa gembira apabila Zahar memberitahu kelas bahawa dia berazam untuk memiliki bengkel sendiri dan menghasilkan perabot yang canggih suatu hari nanti.

Cikgu Baharum memulakan kelasnya dengan memberikan penerangan lengkap tentang latihan pertukangan perabot. Zahar berasa terpegun apabila melihat peralatan yang ada dari sekecil-kecilnya hinggalah sebesar-besar mesin. Cikgu Baharum memberikan pesanan kepada para pelatihnya agar tidak menggunakan mesin besar tersebut melainkan mereka telah mahir menggunakan alat-alat pertukangan biasa. Cikgu Baharum juga memberitahu bahawa pelajaran teori hanyalah sebahagian kecil perkara yang akan dipelajari selebihnya ialah latihan amali.

Di kampus, Zahar te1ah memulakan persahabatan dengan rakan-rakan baharunya, namun antara semua kenalan baharunya, Norimilah yang paling dekat dengan hatinya. Zahar, Ramli, Norimi, dan Habsah kini telah menjadi sahabat yang akrab. Mereka berempat telah bersetuju untuk keluar ke bandar untuk membeli peralatan bagi tujuan kursus yang bakal dijalani oleh mereka nanti.

Bab 9: Kepulangan

Kepulangan Zahar ke kampung pada hujung minggu itu sedikit terganggu apabila melihat ramai orang berkumpul di rumah Pak Karim. Kelihatan beberapa orang kampung sedang sibuk menumis gulai. Hati kecilnya tertanya-tanya tentang majlis yang sedang berlangsung di rumah ketua kampung tersebut. Setibanya di rumah, Zakri, adiknya yang bongsu memberitahu bahawa emak dan abang Halim telah ke rumah Pak Karim. Zakri memberitahu Zahar bahawa kenduri tersebut adalah untuk meraikan Suhaili yang berjaya mendapat kerja di Petaling Jaya.

Zahar mengambil keputusan untuk pergi ke rumah Pak Yusuf tetapi setibanya di sana, rumah Pak Yusuf kelihatan lengang. Dia tertarik melihat sebuah rangka almari pakaian yang sudah berdiri tegak hasil kerja Pak Yusuf. Walaupun tidak menggunakan peralatan yang moden tetapi hasil kerja yang dilakukan oleh Pak Yusuf sangat bermutu. Tidak lama kemudian, Pak Yusuf pulang dan memberitahu bahawa Tauke Lim telah menempah sebuah almari dan barangkali itulah tempahan pertama oleh orang Cina di bengkel Pak Yusuf.

Hati Zahar sedikit terganggu apabila Mak Temah pulang dari rumah Pak Karim. Mak Temah menasihati Zahar supaya tidak merajuk dengan Suhaili. Zahar cuba menafikan hal itu tetapi Mak Temah memberitahu bahawa orang-
orang kampung telah melihat dia dan Suhaili berjumpa di Alor Setar dahulu. Mak Temah cuba mencungkil hubungan antara Zahar dengan Suhaili. Pak Yusuf menyokong kata-kata Zahar bahawa dia dan Suhaili hanya kawan biasa. Pak Yusuf juga ada menyatakan bahawa seorang lelaki tampan merupakan kawan Suhaili turut datang ke majlis kesyukuran tersebut. Kenyataan Pak Yusuf itu telah membuatkan hati Zahar berdetak secara tiba-tiba. Akhirnya, Zahar terpaksa akur dengan pelawaan Mak Temah untuk makan walaupun tangannya terasa berat untuk menyuap nasi kenduri Pak Karim itu.

Bab 10: Nota

Zahar dan rakan-rakannya berasa amat gembira setiap kali hujung bulan kerana mereka mendapat elaun pelatih sebanyak RM200. Hal ini bermakna dia tidak perlu menyusahkan ibunya di kampung. Dengan wang sebanyak itulah dia berjimat cermat sehingga hujung bulan. Pendapatan ibunya sebagai penoreh getah dan menganyam tikar cukuplah untuk menampung perbelanjaan adik-adiknya, Halim dan Zakri. Hatinya berasa sedikit lapang apabila memikirkan kesihatan ibunya beransur baik selepas tiga bulan sakit.

Apabila tidak bersekolah, adik-adiknya akan membantu emaknya memesin getah atau menetak pokok mengkuang. Dia sentiasa mengingatkan adik-adiknya agar ringan tulang dan sentiasa belajar bersungguh-sungguh.

Ingatannya di kampung terganggu apabila Habsah memberitahunya bahawa terdapat sepucuk surat untuknya. Norimi yang juga berada di situ seolah-olah berasa cemburu kerana menyangka surat tersebut datang daripada
teman wanita Zahar. Walaupun Zahar menafikannya, namun Norimi tetap tidak percaya. Zahar membaca surat yang dihantar oleh Suhaili sebelum kelas Cikgu Baharum bermula. Dalam surat tersebut Suhaili telah meminta maaf kerana telah mengeluarkan kata-kata yang kurang menyenangkan Zahar tempoh hari. Namun, Zahar seperti tidak berminat untuk meneruskan pembacaannya. Zahar berjanji kepada dirinya sendiri bahawa surat yang baru diterimanya daripada Suhaili itu tidak akan mematahkan semangatnya.

Bab 11: Parut Luka

Zahar memberikan keizinan kepada Norimi untuk membaca surat yang telah dihantar oleh Suhaili untuk meleraikan perasaan cemburunya. Norimi meminta maaf kerana telah membaca surat yang terlalu peribadi walaupun dengan keizinan daripada tuannya. Melalui surat tersebut barulah Norimi memahami bahawa kedatangan Zahar ke IKM adalah disebabkan perasaannya yang amat terluka. Dalam diam, dia menghulurkan rasa simpati terhadap nasib yang telah menimpa Zahar.

Perbualan mereka berdua telah terganggu seketika apabila Maarof, ketua pasukan bola sepak mengajak Zahar berlatih sekali di padang. Ramli yang turut berada di situ telah memperlinya hingga menyebabkan Zahar rasa tercabar. Zahar telah menunjukkan kehebatannya sebagai pemain bola sepak dan Norimi yang berada di tepi padang telah memberikan sokongan moral kepadanya. Dalam hati, Norimi berdoa agar Zahar akan turut terpilih mewakili kolej untuk perlawanan di Alor Setar nanti.

Bab 12: Kejohanan

Bas yang membawa pemain dan penyokong IKM Sungai Petani bergerak pulang selepas perlawanan di Alor Setar. Maarof sebagai ketua pasukan telah meminta rakan-rakan yang lain memberikan tepukan yang hangat kepada Zahar
kerana telah membantu IKM Sungai Petani mengalahkan IKM Alar Setar. Norimi yang duduk di sebelah Zahar turut serta memberikan penghargaan kepada pemuda yang telah mula bertakhta di hatinya itu.

Zahar teringat akan Hanafi, Redzuan, dan Maarof yang telah mengendalikan sesi minggu suai kenal semasa dia mula mendaftar dahulu. Zahar dapat merasakan sifat kepemimpinan yang terdapat dalam diri Maarof apatah lagi jawatannya sebagai Yang Dipertua Persatuan Pelatih IKM. Begitu juga dengan Hanafi dan Redzuan walaupun tegas dan penuh disiplin tetapi mereka berjaya membina hubungan yang baik antara pelatih junior dengan pelatih senior selepas berakhirnya minggu orientasi. Sifat kematangan mereka terserlah apabila mereka memohon maaf daripada pelatih junior selepas minggu orientasi selesai.

Maarof sekali lagi memberikan perangsang dan ingatan kepada rakan-rakan sepasukannya agar turun berlatih untuk menghadapi perlawanan dengan IKM Alor Setar di padang mereka nanti. Redzuan, Safuan, dan Yusuf Senot memberikan perangsang supaya pasukan mereka akan menang untuk perlawanan yang seterusnya nanti.

Bab 13: Kemenangan

Ketibaan pasukan IKM Alor Setar telah disambut dengan meriahnya. Pelatih perempuan yang diketuai oleh Norimi telah berjaya mengatur jamuan ringan. Zahar yang bijak mengambil peluang telah berjaya menghantar bola kepada Ramli hingga Ramli berjaya membuat jaringan. Redzuan sebagai penjaga gol telah bertindak cemerlang untuk menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya pasukan lawan. Berkat kesungguhan dan juga sokongan daripada guru dan juga penyokong, pasukan bola sepak IKM Sungai Petani berjaya mengalahkan pasukan bola sepak IKM Alor Setar dengan keputusan 1-0.

Walaupun kalah, demi semangat kesukanan yang tinggi, pasukan IKM Alor Setar tetap mempamerkan sifat mesra terhadap pasukan IKM Sungai Petani. Yusuf Senot yang terlalu ghairah dengan kemenangan sebentar tadi telah
bertanya soalan kepada Maarof tentang pasukan yang akan dihadapi oleh mereka pada masa akan datang. Norimi, Mardiah, Saleha, dan lain-lain memerhatikan pasukan bola sepak menuju ke asrama masing-masing pada petang itu.

Bab 14: Ujian

Sebulan sebelum peperiksaan, semua pelatih bertungkus lumus untuk membuat persediaan. Sijil yang dikeluarkan oleh Majlis Latihan Vokasional (MLVK) menjadi idaman semua pelatih. Zahar yang awal-awal lagi mahu mencapai kejayaan yang cemerlang telah belajar bersungguh-sungguh. Segala nasihat daripada Cikgu Baharum diingati dan diamalkannya satu persatu. Pengalaman Cikgu Baharum selama lima belas tahun telah dicurahkan sepenuhnya kepada para pelajarnya tanpa rasa jemu.

Cikgu Baharum berpesan kepada para pelajarnya agar tidak mudah panik serta tekun sewaktu melaksanakan projek yang dihasilkan. Sewaktu peperiksaan, Zahar memulakan projeknya dengan tenang. Rak buku yang diciptanya dibuat dengan halus dan teliti hingga mendapat perhatian pengawas peperiksaan.

Selepas peperiksaan selama dua minggu, para pelatih telah dibenarkan pulang. Zahar berjanji untuk mempraktikkan segala ilmunya di bengkel Pak Yusuf yang sudah lama tidak dikunjunginya. Sewaktu menuju ke stesen bas, Zahar telah membantu Norimi dengan membawa beg besarnya, sementara Ramli pula membantu Habsah dengan membawa beg kepunyaannya. Tidak lama kemudian, mereka pun berpisah setelah bas yang dinanti oleh mereka
sampai untuk membawa mereka ke destinasi masing-masing.

Bab 15: Semangat

Bercuti di kampung amat menggembirakan Zahar, cuma hatinya tidak berasa begitu seronok apabila melintasi rumah Pak Karim yang tersergam dan bercat biru muda. Dia tidak suka akan kenangan lama yang pahit menghambat
hidupnya kerana perkara yang lebih penting ialah cita-cita yang dikejarnya akan tercapai.

Pak Yusuf berasa sangat gembira apabila melihat kepulangan Zahar. Zahar begitu bersemangat untuk menceritakan kepada bapa saudaranya tentang peperiksaan yang dihadapinya tempoh hari di IKM. Mak Temah yang tiba dengan seteko kopi panas berasa amat gembira kerana kepulangan Zahar dapat membantu suaminya menyiapkan tempahan perabot yang semakin meningkat. Zahar berasa terkejut kerana Taukeh Lim telah menempah meja kayu yang agak
banyak untuk kedai kopi yang bakal dibukanya.

Zahar teringat akan kisah novel yang dikarang oleh Sasterawan Negara Shahnon Ahmad yang berlatarkan Kampung Banggul Derdap, Kisah Lahuma, Jeha, dan anak-anaknya bertarung hidup di sawah. Kini, Taukeh Lim pula yang
akan membuka kedai kopi di kampung tersebut. Namun, Kampung Banggul Derdap bukan seperti kisah di dalam novel itu lagi kerana kampung tersebut sudah semakin maju dengan deretan kedai. Malah, Zahar sendiri mempunyai
cita-cita untuk membuka kedai bengkel perabotnya di situ.

Bab 16: Perjuangan

Zahar telah lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan yang lalu. Cikgu Baharum seperti selalu sentiasa berpesan kepada pelatihnya supaya terus gigih berusaha hingga berjaya. Para pelatih diingatkan supaya bersedia dengan lebih
intensif kerana selepas peperiksaan mereka akan dihantar ke bengkel atau kilang yang terpilih untuk menjalani latihan sambil bekerja. Cikgu Baharum menyatakan bahawa kebolehan mereka boleh diukur mengikut kehendak
bengkel atau kilang.

Suasana gembira turut dirasai oleh pelatih-pelatih yang mengambil kursus lain. Zahar melihat wajah Norimi berseri-seri sewaktu berada di dewan makan. Habsah memberitahu Zahar bahawa Norimi juga telah mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Zahar sangat gembira kerana kejayaan yang dicapainya turut diperoleh Norimi yang telah mula dekat dengan hatinya.

Bab 17: Harapan

Zahar merasakan tempoh enam bulan terlalu singkat. Para pelatih perlu bersedia dengan lebih intensif untuk menghadapi dua lagi peperiksaan Peringkat Pertengahan Sijil MLVK dan kemudian peperiksaan akhir IKM untuk
menentukan sama ada pelatih layak atau tidak untuk mendapatkan sijil IKM. Doa restu daripada emak, adik-adik, dan Pak Yusuf di kampung sentiasa memberikan dorongan dan semangat kepada Zahar untuk berjaya. Namun,
kadang-kadang dia tidak dapat melupakan kata-kata Suhaili yang pernah menghiris tangkai hatinya itu. Pada peringkat pertengahan pengajian, para pelatih dikehendaki menyiapkan perabot yang lebih besar dan rumit. Setelah
bertungkus lumus selama lima belas jam, akhirnya Zahar berjaya menyiapkan sebuah almari pakaian yang kemas dan bermutu tinggi.

Selesai peringkat pertengahan untuk sijil MLVK, para pelatih harus bersedia untuk peperiksaan akhir sijil IKM pula. Zahar dan rakan-rakannya menduduki peperiksaan tersebut dengan lebih yakin. Seminggu sebelum cuti semester, para pelatih diberitahu tentang latihan dalam loji yang diwajibkan kepada mereka. Dua orang Site Technical Officer dari ibu pejabat MARA negeri telah memberikan penerangan kepada para pelatih tentang latihan dalam loji tersebut.

Zahar te1ah ditawarkan kursus latihan di sebuah kilang perabot di Kamunting, Perak. Ramli pula ditempatkan di kilang perabot di Bayan Lepas. Habsah mendapat peluang menjalani kursus latihan di Terengganu sementara Norimi mendapat tawaran kursus latihan di sebuah firma arkitek di Johor Bahru. Sebelum para pelatih pergi berkursus, satu majlis perpisahan telah diadakan dan pengetua sendiri menyampaikan ucapan berupa nasihat dan dorongan kepada
para pelatihnya.

Zahar dan Norimi mengimbas kembali saat-saat sewaktu mereka mula-mula mendaftar dahulu. Malam semakin larut, kedua-dua sahabat baik itu meluahkan perasaan masing-masing sepanjang mereka berada di IKM itu sebelum berpisah untuk jangka waktu yang panjang.

Bab 18: Matlamat

Selama tiga minggu bercuti di kampung, Zahar telah membantu emaknya menetak mengkuang, kemudian dilayur di atas api. Selepas seminggu membantu emaknya barulah Zahar membantu Pak Yusuf di bengkel. Zahar memberitahu bapa saudaranya itu bahawa dia telah ditawarkan latihan praktikal di Kilang Perabot Usaha Bersatu di Kawasan Perindustrian Kamunting, Taiping.

Dari Stesen Bas Taiping, Zahar menaiki teksi ke kilang perabot tersebut yang terletak di Lot 313, Jalan Kencana Sari, Kawasan Perindustrian Kamunting. Zahar telah melaporkan diri kepada Miss Ooi, Ketua Unit Personel. Dia kemudian telah diperkenalkan kepada Encik Manaf, Penyelia Unit Pengeluaran. Zahar diberitahu bahawa terdapat kira-kira 150 orang pekerja yang kesemuanya lelaki.

Zahar kemudiannya telah berkenalan dengan Razali dan dia telah mempelawa Zahar untuk tinggal bersama-sama dengannya di rumah sewa. Pelawaan Razali telah disambut Zahar dengan rasa syukur dan terima kasih kerana dia sememangnya tidak mempunyai tempat tinggal di situ.

Bab 19: Kekesalan

Kedatangan Zahar untuk menjalani latihan praktikal di kilang tersebut telah menyebabkan Suhaili berasa tidak selesa. Segala-galanya berlaku secara kebetulan tanpa dirancang. Selepas berhenti kerja di Petaling Jaya, Suhaili telah
bekerja di kilang perabot tersebut. Kehadiran Zahar untuk kursus praktikal di situ menyebabkan dirinya berasa benar-benar resah. Semangatnya untuk bekerja semakin hilang. Suhaili berperang dengan dirinya sendiri. Semuanya adalah disebabkan egonya selama ini. Dia tidak tahu cara yang sepatutnya untuk berhadapan dengan Zahar nanti.

Miss Ooi menyedari perasaan gelisah yang dipamerkan oleh Suhaili. Suhaili bertanyakan prestasi Zahar sejak melakukan kursus praktikal di kilang tersebut. Miss Ooi memberitahunya bahawa Zahar merupakan seorang pekerja
yang rajin dan mempunyai potensi untuk maju. Akhirnya, Suhaili menerangkan kepada Miss Ooi bahawa Zahar ialah rakan sekampungnya.

Bab 20: Tiada Kemesraan

Setelah dua minggu, barulah Zahar dapat menyesuaikan diri. Sikapnya yang suka merendah diri, senang didekati dan mudah mesra menyebabkan dirinya mudah diterima. Berbeza pula dengan rakan serumahnya, iaitu Razali yang lebih bersikap pendiam, masih solo, rajin, dan tidak banyak kerenah. Disebabkan tempat kerjanya jauh, Zahar telah mengeluarkan duit simpanannya untuk membeli sebuah basikal.

Manaf memberitahu Zahar bahawa Penolong Ketua Unit Pemasaran ingin berjumpa dengannya. Zahar berasa sungguh terkejut kerana orang yang hendak berjumpa dengannya ialah Suhaili, iaitu orang yang pernah melukai hatinya dahulu. Suhaili memberitahu Zahar bahawa dia boleh membantu Zahar untuk bekerja tetap di kilang tersebut. Pertolongan Suhaili itu ditolak mentah-mentah oleh Zahar kerana Zahar berpegang pada prinsip dirinya bahawa dia tidak akan sesekali mengemis bantuan daripada sesiapa.

Zahar beranggapan bahawa tidak guna bergaji lumayan dan berjawatan tinggi tetapi hati terkongkong. Baginya sikap tidak setia kepada sesuatu pekerjaan, tidak akan membawa ke mana-mana, malah menjadikan seorang itu tidak ada prinsip dan harga diri. Kata-kata daripada Zahar menyebabkan Suhaili kehilangan idea untuk berkata-kata, Zahar kemudian meninggalkannya dalam keadaan termangu-mangu.

Bab 21: Tentang Dia

Pada petang itu, Zahar dan Razali bersembang-sernbang selepas pulang daripada kerja. Razali bertanyakan pertemuannya dengan Penolong Ketua Unit Pemasaran siang tadi. Zahar memberitahu Razali bahawa Suhaili ialah rakan sekampung dan rakan sekelasnya dahulu. Zahar memberitahu bahawa dia tidak gembira bertemu dengan Suhaili kerana Suhaili pernah menghinanya dahulu ketika dia ingin menyambung pelajarannya di IKM. Penghinaan tersebut telah mendorong dirinya berusaha lebih bersungguh-sungguh untuk berjaya. Zahar bercita-cita untuk membuka bengkel perabot sendiri. Razali percaya suatu masa nanti, Zahar akan berjaya membuka bengkel perabot sendiri.

Razali membuka cerita bahawa Suhaili sebenarnya pernah bekerja di sebuah kilang elektronik di Petaling Jaya tetapi prestasi kerjanya merosot apabila dia putus cinta. Kisah tersebut diketahuinya daripada seorang rakannya yang pernah bekerja di kilang yang sama dengan Suhaili. Zahar meminta Razali menghentikan perbualan tentang Suhaili kerana tidak mahu mendapat dosa mengumpat.

Bab 22: Cinta dan Cita-cita

Zahar berasa amat gembira sewaktu mendapat berita tentang keputusan peperiksaan peringkat pertengahan dengan mendapat pangkat satu. Suhaili cuba berbaik-baik semula dengannya tetapi dia berjaya mengelakkan diri. Bagi Zahar, tiada gunanya bertemu dengan Suhaili kerana tindakan itu hanya akan membuatkan hatinya kembali sakit apabila teringat akan kenangan lama. Dia lebih senang berehat di rumah selepas waktu kerja atau pergi berjoging. Pada
petang itu, Zahar membaca surat daripada Norimi yang penuh dengan tanda tanya. Namun, pengalaman telah mengajarnya supaya tidak terlalu beremosi. Dia tidak mahu terperangkap dalam emosi yang boleh menggugat cita-citanya.

Tempoh enam bulan akhirnya tiba juga. Dalam satu jamuan ringkas yang dibuat untuknya, Miss Ooi yang mewakili pihak pengurusan telah memujinya sebagai pekerja yang rajin dan cemerlang. Dalam majlis tersebut, Zahar melihat
Suhaili memerhatikannya dengan pandangan mata yang menusuk kalbu. Selepas majlis perpisahan selesai, Suhaili telah meminta maaf atas segala kesilapannya dan Zahar telah memaafkannya. Zahar memberitahu Suhaili bahawa perkara yang terbaik ialah mereka melupakan segala kenangan lama antara mereka dahulu. Ingatan Suhaili kembali berputar pada teman lelakinya Razman, anak seorang Yang Berhormat. Teman lelakinya itu telah meninggalkannya kerana telah mendapat teman yang baharu. Air matanya deras mengalir apabila mengenangkan hal tersebut dan Zahar pula seperti dingin kepadanya.

Petang itu, Razali telah menghantar Zahar ke stesen teksi. Selepas bersalaman, teksi yang membawa Zahar meninggalkan bandar Taiping perlahan-lahan dalam rintik hujan yang meresahkan.

Bab 23: Terbinanya Impian

Zahar membuat keputusan untuk membina bengkel perabot di atas tanah milik ibunya sendiri. Ibunya dan Pak Yusuf berasa gembira apabila Zahar membuat keputusan untuk membuka bengkel sendiri. Malah, Pak Yusuf bersedia untuk memindahkan barang-barang daripada bengkel lamanya ke bengkel yang akan didirikan oleh Zahar nanti.

Dua orang pegawai kemajuan dari Bahagian Pinjaman MARA datang untuk membuat tinjauan terhadap projek yang diusahakan oleh Zahar. Pegawai MARA berasa gembira apabila diberitahu bahawa Zahar sebelum memasuki IKM telah pun menunjukkan minat dan bakatnya di bengkel perabot.

Tidak sampai sebulan, pinjaman sebanyak RM10 000 telah diluluskan. Pak Yusuf sendiri telah menghulur sumbangan sebanyak RM5000. Rakan-rakan Zahar seperti Bakar, Rahim, Isa, Samad dan lain-lain telah membantu Zahar mendirikan bengkel perabotnya. Bakar memberitahu Zahar bahawa Saleh anak Pak Ramli Wanok sudah menjadi wartawan Harian Kebangsaan. Bakar telah memberikan cadangan agar Saleh menulis sebuah rencana mengenai bengkel tersebut sebagai publisiti. Zahar telah bersetuju dengan idea tersebut.

Bab 24: Impian Terlaksana

Bengkel Perabot Meniti Impian semakin dikenali ramai selepas rencana “Kejar Kejayaan Lepas Dihina Kekasih”. Bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, Zahar telah menawarkan tiga tempat di bengkelnya kepada pelatih Pertukangan Perabot dan dia sanggup membayar imbuhan seperti yang diterimanya sewaktu melakukan praktikal di Kamunting dahulu.

Pak Yusuf juga telah memainkan peranan yang cukup penting untuk menaikkan nama syarikat perabot Zahar. Selain jiran sekampung, peniaga dari pekan Sik, Jeniang, Gurun, dan Baling turut memberikan sambutan yang menggalakkan. Zahar berpendapat bahawa dia tidak boleh bergantung harap pada nama Pak Yusuf sahaja. Dia telah mengatur rundingan dengan peniaga perabot di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, dan Kota Bahru. Pegawai MARA yang membuat tinjauan susulan turut berasa gembira dengan perkembangan bengkel perabot Zahar yang sangat memuaskan.

Pada petang itu, sewaktu minum kopi bersama-sama dengan Pak Yusuf, Zahar telah menerima sepucuk surat daripada Norimi. Pak Yusuf teringat akan perkenalannya dahulu dengan bapa Norimi sewaktu mendaftar Zahar di IKM dahulu. Pak Yusuf memuji Norimi di hadapan Mak Kiah dengan mengatakan bahawa Norimi cantik, lemah lembut, dan berbudi bahasa. Bapa Norimi juga seorang yang baik dan merendah diri walaupun seorang pegawai tinggi kerajaan. Zahar tidak berkata apa-apa kerana pada saat-saat begitu perkara yang terbaik dilakukannya adalah berdiam sahaja. Zahar dan Pak Yusuf turun semula ke bengkel selepas selesai minum kopi.

Sinopsis Keseluruhan

Zahar yang merupakan watak utama dalam Novel Meniti Impian adalah seorang pelajar yang mempunyai cita-cita dan keazaman yang tinggi. Dia berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke ITM tetapi impiannya musnah kerana Zahar jatuh sakit sewaktu peperiksaan SPM dan tidak berpeluang untuk menyambung pelajaran. Hal ini kerana dia perlu bertanggungjawab ke atas dua adiknya, Halim dan Zakri. Selepas kematian ayahnya, ibu Zahar, Mak Kiah telah menanggung keluarganya dengan menoreh getah, menganyam tikar mengkuang dan mengambil upah menjahit pakaian. Zahar mengambil keputusan untuk melupakan hasratnya dan telah salah erti oleh Suhaili, kawan baiknya yang berasa Zahar gagal kerana tidak berjaya untuk ke ITM.

Selepas itu, Zahar telah membantu bapa saudaranya di bengkel perabot untuk meringankan beban ibunya. Pak Yusuf dapat melihat bakat dan keazaman dalam diri Zahar dan mendorong Zahar untuk berjaya pada masa akan datang. Zahar juga memberitahu Pak Yusuf bahawa dia berminat dengan kerja tersebut dan bercita-cita untuk membuka bengkel perabot sendiri. Oleh itu, Zahar memohon kemasukan ke IKM dan berjaya mendapat tawaran untuk menjadi pelatih. Berita baik itu ingin dikongsikan Zahar kepada Suhaili yang sudah berada di tahun akhir pengajian di ITM tetapi dia dikecewakan oleh Suhaili kerana beranggapan graduan IKM tidak mempunyai masa depan yang baik.

Di IKM, Zahar berazam untuk membuktikan bahawa dia boleh berjaya dan telah menunjukkan prestasi yang cemerlang. Zahar juga telah menemui Norimi yang merupakan pelatih Lukisan Seni Bina di IKM dan berkawan rapat. Selepas enam bulan berkursus, Zahar telah mengikuti latihan praktikal di sebuah kilang perabot Usaha Bersatu Sendirian Berhad. Kilang yang terletak di Kamunting, Taiping itu kebetulan menjadi tempat kerja Suhaili yang menjawat jawatan Penolong Ketua Unit Pemasaran. Suhaili berasa serba salah dengan apa yang telah diakukan kepada Zahar dahulu ingin meminta maaf dan membantu Zahar mendapatkan pekerjaan di kilang tersebut. Zahar menolak bantuan Suhaili dengan tegas dan menyatakan hatinya telah dimiliki oleh orang lain dan tidak berharap dengan pertolongan daripad aorang yang telah menghinanya dahulu.

Selepas menamatkan kursus di IKM dengan cemerlang, Zahar kembali ke kampung halamannya. Dia menyatakan hasrat untuk membuka bengkel perabotnya sendiri kepada ibu, rakan-rakan dan Pak Yusuf. Dengan pinjaman kewangan daripada MARA sebanyak RM10,000 serta sumbangan Pak Yusuf sebanyak RM5,000, Zahar berjaya membuka bengkelnya perabotnya. Impian dan hasrat Zahar tercapai dan dia telah membuktikan kepada Suhaili bahawa graduan IKM juga mampu berjaya. Bengkel perabot Zahar semakin dikenali dan tersiar dalam akhbar dan mendapat kiriman surat daripada Norimi.

Tema

Tema novel Miniti Impian ialah keazaman seseorang dalam mencapai cita-cita dan akhirnya membuahkan hasil dan kejayaan

Persoalan

1) Persoalan kepentingan pendidikan dalam kalangan manusia

  • Setiap kali pulang ke kampung, Zahar tidak pernah lupa menasihati adik-adiknya supaya tidak mengabaikan pelajaran. Walaupun gagal memasuki Tingkatan 6 kerana kekangan kewangan, Zahar tetap menyimpan hasrat untuk menyambung pelajaran  jika diberi peluang

2) Persoalan tanggungjawab antara ahli keluarga

  • Selepas kematian suaminya, Mak Kiah menoreh getah, menganyam tikar mengkuang dan mengambil upah menjahit pakaian untuk menyara keluarganya. Pak Yusuf membantu Zahar yang merupakan anak saudaranya untuk menyambung pelajaran dan membuka bengkel perabot

3) Persoalan memandang rendah kepada orang lain

  • Suhaili yang memandang rendah kepada Zahar kerana menjadi pelatih IKM sedangkan di seorang penuntut di ITM

4) Persoalan semangat kesukanan antara pelajar-pelajar

  • Walaupun telah memenangi perlawanan bola sepak dengan pasukan IKM Alor Setar, pelatih IKM Sungai Petani kekal tenang mengawal diri supaya tidak mengguris perasaan lawan mereka

5) Persoalan konflik percintaan dalam kalangan remaja

  • Zahar mencintai Suhaili tetapi Suhaili jelas tidak mencintai Zahar dan telah menghinanya kerana taraf pendidikan mereka berbeza

6) Persoalan keharmonian hidup masyarakat di kampung

  • Majlis kenduri kesyukuran yang berlangsung di rumah Pak Karim dihadiri oleh semua orang kampung yang membantu dalam menyediakan hidangan untuk majlis tersebut.

Watak Dan Perwatakan

1) Zahar

  • Anak sulung kepada Mak Kiah dan mempunyai dua orang adik lelaki.
  • Berusia awal 20-an
  • Seorang yang pandai bermain bola sepak dan menamatkan persekolahan di peringkat SPM
  • Bercita-cita untuk membuka bengkel perabotnya sendiri
  • Seorang yang tidak mudah berputus asa, Zahar tidak berputus asa walaupun Suhaili menghinanya ketika hendak menyambung pelajaran di IKM
  • Seorang yang setia, Zahar setia kepada Norimi walaupun Suhaili cuba menjalin hubungan semula dengannya
  • Seorang yang bertanggungjawab, Zahar memastikan adiknya, Halim dan Zakri dapat meneruskan pelajaran

2) Pak Yusuf

  • Bapa saudara kepada Zahar dan merupakan adik kepada Mak Kiah
  • Suami kepada Mak Temah dan mempunyai dua orang anak
  • Memiliki sebuah bengkel pertukangan perabot
  • Seorang yang baik hati kerana membantu Zahar melanjutkan pelajaran ke IKM dan memberikan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada Zahar yang ingin membuka bengkel perabot
  • Seorang yang prihatin dengan kebajikan dan pelajaran Zahar serta keluarganya

3) Mak Kiah

  • Ibu kepada Zahar, Halim dan Zakri
  • Mak Kiah bekerja sebagai penoreh getah dan menganyam tikar mengkuang setelah kematian suaminya
  • Seorang yang mementingkan pelajaran kerana menggalakkan Zahar untuk menyambung pelajaran di IKM
  • Seorang yang bertanggungjawab kerana telah menyara keluarganya dengan bekerja demi kebajikan anak-anaknya

4) Suhaili

  • Anak kepada Pak Karim, Ketua Kampung Caruk Petitih
  • Merupakan graduan ITM dan pernah bekerja di Petaling Jaya dan Perak
  • Merupakan bekas buah hati Zahar sewaktu zaman sekolah dan memutuskan hubungan mereka setelah mempunyai teman lelaki baharu yang kacak dan berada
  • Seorang yang ego kerana menghina Zahar yang ingin belajar di IKM yang dianggap tidak mempunyai masa hadapan
  • Seorang yang insaf kerana telah mengakui kesilapannya dan meminta maaf kepada Zahar atas segala kesalahannya

5) Norimi

  • Menyertai kursus Lukisan Seni Bina di IKM bersama-sama Zahar
  • Menjalinkan hubungan yang istimewa dengan Zahar
  • Seorang yang cemburu apabila mengetahui Zahar pernah menaruh harapan pada Suhaili
  • Seorang yang rajin kerana mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan semasa di IKM

6) Tauke Lim

  • Memiliki kedai menjual dan membaiki basikal
  • Telah memberikan galakan kepada Zahar untuk berjaya dalam bidang perniagaan perabot

Binaan Plot

Permulaan

Zahar yang telah setahun lebih bekerja di bengkel perabot Pak Yusuf tekun menyiapkan rak kasut yang ditempah imam masjid pada pagi itu. Sejak berhenti sekolah tiga tahun lalu, pelbagai jawatan telah dimohon tetapi gagal. Zahar juga gagal untuk memasuki Tingkatan 6 di sekolah kerajaan dan ibunya, Mak Kiah tidak mampu untuk membiayai pengajian Tingkatan 6 di sekolah swasta. Pak Yusuf bertanya kepada Zahar tentang temuduga kemasukan IKM dan berharap Zahar berjaya mendapat tawaran.

Perkembangan

Mak Kiah menyerahkan surat tawaran IKM kepada Zahar. Selepas gembira dengan berita itu, Zahar berkongsi kegembiraannya dengan Bakar dan Rahim. Rakan-rakannya mengusik Zahar untuk memaklumkan Suhaili tentang tawaran tersebut. Zahar menghubungi Suhaili dan berjanji untuk bertemu di City Point, Alor Setar.

Perumitan

Suhaili terkejut dengan tawaran IKM yang diterima Zahar dan menghinanya kerana beranggapan lulusan IKM tiada masa depan yang baik. Malah, Suhaili pulang dengan menaiki sebuah kereta yang dipandu oleh seorang elalki tampan. Perkara tersebut menguatkan lagi azam Zahar untuk berjaya membuka bengkel perabotnya sendiri pada masa akan datang. Di IKM, Zahar menemui rakan baharu seperti Norimi dan Ramli

Klimaks

Selepas enam bulan mengikuti kursus di IKM, Zahar mendapat tawaran mengikuti latihan praktikal di kilang Usaha Bersatu Sendirian Berhad di Kamunting, Taiping, Perak. Kebetulan dia bertemu dengan Suhaili yang juga bekerja disitu. Suhaili yang telah putus cinta dengan kekasih sebelum ini cuba untuk berbaik semula dengan Zahar dan ingin membantunya mendapat pekerjaan di situ. Tetapi Zahar menolak bantuan Suhaili dan hatinya sudah terpaut pada Norimi. Akhirnya, Suhaili berasa malu dan kesal atas perbuatannya dan Zahar memaafkan Suhaili serta cuba melupakan kenagan antara mereka.

Peleraian

Selepas menamatkan latihan praktikal dengan cemerlang, Zahar telah membuka bengkel perabotnya dengan bantuan kewangan daripada MARA dan sumbangan daripada Pak Yusuf. Bengkel perabotnya menjadi terkenal setelah terpapar dalam sebuah rencana akhbar tempatan.

Latar

Latar Masyarakat

  1. Masyarakat yang mementingkan ilmu pengetahuan : Zahar bercita-cita untuk menyambung pelajaran ke ITM bersama-sama Suhaili
  2. Masyarakat yang prihatin dengan nasib ahli keluarga : Pak Yusuf mengambil berat tentang kebajikan anak saudaranya dengan memberikan bantuan kewangan kepada Zahar
  3. Masyarakat yang memandang rendah kepada orang lain : Suhaili memandang rendah kepada Zahar yang akan memasuki IKM sebagai pelatih berbanding dirinya berkelulusan ITM
  4. Masyarakat yang rajin bekerja : Zahar dan Razali bekerja dengan rajin di kilang perabot Usaha Bersatu walaupun mereka hanya menjalani latihan praktikal di sana.

Latar Masa

  1. Waktu pagi : Zahar pulang ke kampungnya pada waktu pagi dan mendapati ada kenduri di rumah Suhaili
  2. Waktu malam : Norimi dan Zahar mendeklamasikan sajak ciptaan mereka pada malam penutupan minggu suai kenal di IKM Sungai Petani
  3. Dua minggu : Pasukan bola sepak IKM Alor Setar bertandang ke IKM Sungai Petani dua minggu selepas perlawanan persahabatan di tempat mereka
  4. Enam Bulan : Zahar menjalani latihan selama enam bulan dalam Pertukangan Perabot di IKM Sungai Petani
  5. Satu jam setengah : Selama satu jam setengah Zahar menaiki bas dari Sik ke Alor Setar untuk bertemu dengan Suhaili
  6. Lima tahun : Pak Yusuf yang minat kerja pertukangan telah mendirikan bengkel perabot yang berupa bangsal kecil di sebelah rumahnya sejak lima tahun lalu

Latar Tempat

  1. Kampung Caruk Petitih, Sik, Kedah : Zahar dan Pak Yusuf bertolak dari kampung Carok Petitih menuju ke IKM Sungai Petani menaiki teksi Pak Usin
  2. Bengkel perabot Pak Yusuf : Selepas berhenti sekolah, Zahar bekerja di bengkel perabot Pak Yusuf bagi membantu keluarganya
  3. IKM Sungai Petani : Zahar mendaftar dan berkursus pertukangan perabot dan bertemu dengan Norimi
  4. City Point, Alor Setar : Zahar bersama Suhaili makan ayam goreng KFC
  5. Stesen Bas MARA : Zahir menaiki bas ke stesen bas MARA di Alor Setar untuk bertemu dengan Suhaili
  6. Padang : Ramli mengajak Zahar menyertai latihan bola sepak di padang bola kerana mereka kurang pemain

Teknik Plot

  1. Monolog Dalaman : Zahar berkata dalam hatinya bahawa kata-kata Pak Yusuf itu benar tetapi Pak Yusuf tidak tahu betapa lukanya hati Zahar
  2. Dialog : “Kita mesti siapkan bangku panjang ni, petang ni juga, ya pak cik,” usul Zahar sambil menyusun kayu yang digergaji tadi
  3. Pemerian : Pengarang memerihalkan keadaan Zahar sedang bersiap-siap untuk menghadiri program suai kenal pada hari pertama dia mendaftarkan diri di IKM
  4. Saspens : pembaca tertanya-tanya perkara yang akan dilakukan oleh Suhaili apabila mengetahui Zahar sedang menjalani latihan praktikal di kilang tempatnya bekerja
  5. Imbas Kembali : Zahar teringat kembali pertemuannya dengan Suhaili di City Point, Alor Setar
  6. Imbas Muka : Pak Yusuf benar-benar berasa dadanya lapang. Segera terbayang dimatanya, wajah tok imam tersenyum gembira kerana rak yang ditempah siap lebih awal daripada dijangkakan

Gaya Bahasa

  1. Peribahasa : Berat mulut, Berat tulang
  2. Metafora : tunggul nostalgia, obor semangat, bara keaazaman
  3. Hiperbola : Perdu hati Zahar bagaikan bergayut dengan sebeban debaran, Segugus debaran menggoncang dadanya
  4. Personafikasi : Lidah api sedang menjelir memamah punggung kawah, petang yang semakin muram
  5. Sinkope : nak, tak
  6. Simile : lidahnya seperti dikelukan, bagaikan mengundang kembali kenangan masa lampau

Nilai

  1. Ketabahan : Zahar meneruskan cita-citanya walaupun hidup dihimpit kemiskinan
  2. Kerajinan : Mak Kiah rajin menganyam tikar mengkuang selain mengambil upah menjahit pakaian untuk menambah pendapatan keluarga
  3. Kesetiaan : Zahar setia kepada Norimi walaupun Suhaili cuba untuk berbaik dengannya semula
  4. Kesyukuran : Mak Kiah bersyukur kerana Zahar berjaya untuk belajar di IKM
  5. Mengenang budi : Zahar mengenang budi Pak Yusuf yang banyak membantunya semasa ingin menyambung pelajaran dan membuka bengkel perabot
  6. Kerjasama : Rakan-rakan Zahar bekerjasama membina bengkel perabot Meniti Impian

Pengajaran

1) Kita seharusnya menggalas tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita dengan telus dan baik

2) Kita perlu yakin dengan kemampuan diri sendiri kerana orang lain hanya mampu mengkritik tetapi kita yang menentukan kejayaan diri sendiri

3) Kita sepatutnya tidak berputus asa apabila menghadapi dugaan atau cabaran dalam kehidupan kerana setiap kegagalan merupakan peluang untuk mendapat kejayaan yang baharu

4) Kita mestilah mengekalkan disiplin yang baik untuk berjaya dalam kehidupan khususnya apabila bekerjaya

5) Kita seharusnya mengamalkan sikap rendah diri agar disenangi oleh orang sekeliling dan tidak meletakkan diri dalam situasi yang kita tidak mampu kawal

6) Kita digalakkan untuk memafkan kesalahan orang lain kepada kita kerana menyimpan dendam hanya akan merugikan masa dan perasaan diri kita.

Soalan

1) Berdasarkan novel yang anda kaji, huraikan tema dan dua persoalan yang terdapat dalam novel tersebut

Novel yang telah saya pelajari ialah novel Meniti Impian, karya Osman Ayob. Tema yang diketengahkan adalah keazaman dan kesungguhan seorang individu yang kurang bernasib baik untuk berjaya dan mengubah nasib hidupnya. Antara persoalan yang terdapat dalam novel ini adalah persoalan tanggungjawab dalam keluarga. Selepas kematian suaminya, Mak Kiah telah menoreh getah, menganyam tikar mengkuang dan mengambil upah menjahit pakaian untuk menyara keluarganya. Selain itu, persoalan berkorban demi keluarga juga ditunjukkan oleh Zahar misalnya apabila dia berkorban untuk tidak meneruskan pengajian dan bekerja untuk meringankan beban ibunya.

2) Dalam setiap novel pastinya terdapat latar tempat yang diceritakan. Huraikan tiga latar tempat yang terdapat dalam novel yang anda kaji.

Berdasarkan novel yang telah saya pelajari iaitu novel Meniti Impian, terdapat banyak latar tempat yang signifikan. Antaranya adalah Bengkel Perabot Pak Yusuf dimana Zahar bekerja selepas berhenti sekolah dan bercita-cita untuk membuka bengkel perabotnya sendiri nanti. Selain itu, latar tempat yang terdapat dalam novel ini adalah IKM Sungai Petani. Tempat Zahar berkursus pertukangan perabot dan bertemu dengan Norimi. Akhir sekali, latar tempat yang terdapat dalam novel ini adalah Kompleks City Point, Alor Setar dimana Zahar dan Suhaili bertemu dan memakan ayam goreng KFC.

3) Jelaskan satu pengajaran bagi setiap latar tempat yang telah dihuraikan di atas.

Berdasarkan latar tempat di atas, pengajaran yang didapati di Bengkel Perabot Pak Yusuf adalah kita jangan berputus asa untuk mencapai cita-cita berdasarkan kemampuan diri kita. Di IKM Sungai Petani pula, kita hendaklah mengekalkan disiplin yang baik dalam hidup seperti Zahar yang cemerlang sepanjang berada di IKM. Akhir sekali, pengajaran yang terdapat di latar tempat Kompleks City Point, Alor Setar, kita seharusnya bersikap rendah diri kerana setiap orang mampu peroleh kejayaan walaupun berbeza latar belakang.

Semoga perkongsian berkenaan Novel Meniti Impian : Sinopsis, Tema, Persoalan, Watak, Nilai, Pengajaran membantu pelajar dan juga guru.