Berapa jumlah penduduk Malaysia terkini? Berikut adalah statistik terkini penduduk Malaysia yang dikongsikan berapa sumber iaitu dari Department of Statistics Malaysia, Kementerian Sumber Manusia dan PMR Penerangan.
Malaysia terkenal dengan penduduk berbilang kaum seperti Melayu, Cina dan India dan telah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Jumlah Penduduk Malaysia Terkini Tahun 2026
Populasi Malaysia pada suku tahunan pertama 2026 meningkat kepada 34.4 juta orang, berbanding 34.2 juta orang pada tempoh yang sama tahun 2025.
Daripada jumlah ini, 31.0 juta merupakan warganegara dan 3.4 juta bukan warganegara. Penduduk lelaki berjumlah 18 juta, manakala perempuan 16.3 juta, dengan nisbah 110 lelaki bagi setiap 100 perempuan.
Kumpulan umur terbesar ialah 15 hingga 64 tahun iaitu 24.2 juta orang, manakala kanak-kanak berumur 0 hingga 14 tahun berjumlah 7.4 juta orang. Penduduk berumur lebih 65 tahun pula mencatat 2.8 juta orang.
Dari segi komposisi etnik warganegara, Melayu mencatat peratusan tertinggi iaitu 58.3%, diikuti Cina 22.1%, Bumiputera lain 12.3%, India 6.5% dan lain-lain 0.8%.
Pada tempoh ini juga, jumlah kelahiran hidup ialah 94,807, manakala kematian ialah 49,139. Ini menunjukkan populasi Malaysia terus meningkat, walaupun kadar kelahiran mencatat sedikit penurunan berbanding tahun sebelumnya.
Oleh itu secara ringkasnya, penduduk Malaysia pada suku pertama (S1) 2026 dianggarkan berjumlah 34.4 juta berbanding 34.2 juta dalam tempoh sama tahun lepas, dengan kadar pertumbuhan lebih perlahan iaitu 0.5 peratus, menurut laporan perangkaan demografi bagi S1 tahun ini yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penduduk lelaki meningkat kepada 18.0 juta daripada 17.9 juta pada S1 2026 manakala perempuan meningkat kepada 16.3 juta daripada 16.2 juta bagi tempoh yang sama setahun lepas.

Tahun 2025
Penduduk Malaysia dianggarkan 34.3 juta berbanding 34.1 juta pada suku tahun keempat 2024 (ST4 2024), pertumbuhan yang lebih perlahan dengan 0.6 peratus berbanding 1.2 peratus.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, komposisi penduduk warganegara dan bukan warganegara pada suku tahun keempat 2025 (ST4 2025) masing-masing kekal pada 90.1 peratus dan 9.9 peratus berbanding ST4 2024.
“Penduduk lelaki meningkat kepada 18.0 juta daripada 17.9 juta, dan penduduk perempuan meningkat kepada 16.3 juta daripada 16.2 juta.
“Nisbah jantina keseluruhan penduduk ialah 110 lelaki bagi setiap 100 perempuan, manakala nisbah jantina bagi warganegara ialah 102,” katanya dalam satu kenyataan (Februari 2026).
Mohd Uzir berkata, komposisi populasi warga emas berumur 65 tahun dan ke atas meningkat daripada 7.8 peratus kepada lapan peratus.
Sementara itu, populasi muda (0 hingga 14 tahun) menurun daripada 21.9 peratus kepada 21.6 peratus, manakala populasi berumur bekerja (15 hingga 64 tahun) meningkat sedikit daripada 70.3 peratus kepada 70.4 peratus.
Mengikut etnik, Mohd Uzir berkata, orang Melayu membentuk 58.2 peratus daripada jumlah populasi, diikuti Cina (22.2 peratus), Bumiputera lain (12.3 peratus) dan India (6.5 peratus), tidak berubah berbanding tahun sebelumnya.
Mohd Uzir berkata, bilangan kelahiran hidup terus merekodkan penurunan sebanyak 5.4 peratus kepada 99,353 kelahiran berbanding 105,027 kelahiran pada ST4 2024.
Bayi lelaki melebihi bayi perempuan iaitu 51,340 kelahiran berbanding 48,013 kelahiran, dengan nisbah jantina ketika lahir ialah 107 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

“Selangor merekodkan bilangan kelahiran hidup tertinggi dengan 18,517 kelahiran atau 18.6 peratus, manakala kelahiran hidup terendah direkodkan di Wilayah Persekutuan Labuan dengan 331 kelahiran atau 0.3 peratus,” katanya.
Mohd Uzir berkata, ibu berusia 30 hingga 39 tahun mencatatkan kelahiran hidup tertinggi dengan 49,432 kelahiran, iaitu 49.8 peratus, diikuti oleh ibu berusia 20 hingga 29 tahun (43.4 peratus), 40 tahun dan lebih (4.7 peratus) dan kurang daripada 20 tahun (2.1 peratus).
“Secara purata, seorang bayi dilahirkan pada setiap minit, 45 bayi setiap jam dan 1,080 bayi sehari pada suku tahun keempat 2025,” katanya.
Sementara itu, Mohd Uzir berkata, sebanyak 51,077 kematian direkodkan pada ST4 2025, meningkat 1.3 peratus berbanding SK4 2024 (50,415 kematian).
Bilangan kematian lelaki ialah 29,358, manakala kematian bagi perempuan sebanyak 21,719, menyaksikan nisbah jantina kematian ialah 135 lelaki bagi setiap 100 perempuan.
“Selangor merekodkan bilangan kematian tertinggi dengan 7,990 kematian, manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya merekodkan bilangan kematian terendah dengan 82 kematian. Penduduk berumur 60 tahun dan lebih merekodkan bilangan tertinggi dengan 35,788 kematian atau 70.1 peratus, diikuti 41 hingga 59 tahun (20.7 peratus) 15 hingga 40 tahun (7.3 peratus) dan 0 hingga 14 tahun (1.9 peratus).
“Secara purata, satu kematian direkodkan pada setiap dua minit, 23 kematian direkodkan setiap jam dan 555 kematian sehari pada suku tahun keempat 2025,” katanya.
Mohd Uzir berkata, dunia ketika ini menyaksikan trend penurunan global dalam kadar kelahiran dan kadar kesuburan jumlah (TFR), dan semakin banyak negara mencatatkan TFR di bawah paras penggantian, iaitu 2.1 anak bagi setiap perempuan berumur 15 hingga 49 tahun.
Beberapa negara seperti Korea Selatan, Jepun, Singapura, Thailand, China, Rusia dan Perancis telah mencatatkan TFR di bawah paras penggantian yang membawa kepada kebimbangan terhadap isu penuaan penduduk, penurunan penduduk dan tenaga kerja.
SUMBER : HMetro
Tahun 2024
Penduduk Malaysia pada suku tahun pertama 2024, dianggarkan berjumlah 34.0 juta, meningkat 2.3 peratus berbanding suku tahun pertama 2023 iaitu hanya 33.2 juta.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata jumlah itu berdasarkan hasil laporan berkaitan Perangkaan Demografi yang memaparkan data penduduk, kelahiran hidup dan kematian bagi suku tahun pertama 2024.
Beliau berkata, peningkatan penduduk negara disumbangkan oleh pertambahan semula jadi yang positif bagi warga negara dan juga pertambahan penduduk bukan warga negara.
Katanya, jumlah penduduk berkenaan merangkumi 30.6 juta (90 peratus (%)) warga negara dan 3.4 juta (10%) bukan warga negara.
Untuk statistik yang lengkap, sila rujuk grafik berikut :-


Anggaran Penduduk Malaysia Tahun 2019
Pada 2019, penduduk Malaysia dianggarkan sebanyak 32.6 juta orang dengan kadar pertumbuhan penduduk tahunan 0.6 peratus.
Umur penengah adalah 28.9 tahun
Warganegara berjumlah 29.4 juta orang dan bukan warganegara berjumlah 3.2 juta orang
Bumiputera mewakili 69.3% populasi penduduk Malaysia diikuti oleh Cina sebanyak 22.8%, India 6.9% dan lain-lain 1%.
Penduduk Malaysia 2018
Penduduk lelaki 2018 melebihi penduduk perempuan iaitu masing-masing 16.7 juta (lelaki) dan 15.7 juta (perempuan). Nisbah jantina bagi tahun 2018 kekal pada 107 lelaki bagi setiap 100 perempuan berbanding 2017.
Peratusan penduduk berumur bawah 14 tahun (umur muda) pada 2018 menurun daripada 24.1 peratus pada 2017 kepada 23.8 peratus. Manakala peratusan penduduk berumur 15–64 tahun (umur bekerja) meningkat daripada 69.6 peratus pada 2017 kepada 69.7 peratus pada 2018. Peratusan penduduk 65 tahun dan lebih (umur tua) pula meningkat daripada 6.3 peratus kepada 6.5 peratus bagi tempoh yang sama. Peningkatan komposisi penduduk umur bekerja dan umur tua memberi kesan kepada peningkatan umur penengah pada 2018 iaitu 28.6 tahun.
Statistik Terkini Penduduk Malaysia 2014 : Jumlah Penduduk Malaysia Kini 30 Juta Orang Tahun 2014
Mengikut laporan The Star, sekitar jam 6.43 pada 27 Februari 2014, penduduk Malaysia adalah 29,999,530 rakyat.Namun berdasarkan jangkaan kadar kelahiran di Malaysia iaitu seorang setiap minit, angka 30 juta rakyat dicecah selepas jam 2 pagi tadi.
Dijangkakan, jumlah rakyat Malaysia akan meningkat kepada 38.5 juta menjelang 2040 meliputi 19.6 juta lelaki dan 19 juta perempuan.
Setakat 2010, Bumiputera mencatat peratusan 67.4 peratus daripada jumlah keseluruhan rakyat diikuti Cina (24.6), India (7.3) dan lain-lain (0.7).
Tahun 2010
Menurut laporan BH Online, yang memetik daripada Laporan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010, Malaysia kini mempunyai 28.3 juta penduduk dengan bilangan lelaki melebihi wanita. Daripada 28.3 juta, 91.8 peratus adalah warganegara manakala 8.2 peratus adalah bukan warganegara.
Menurut laporan Banci ini juga, penduduk lelaki kini berjumlah 14.56 juta orang manakala wanita pula seramai 13.77 juta orang.
Mengikut statisik mengikut negeri, Selangor mempunyai jumlah penduduk tertinggi di Malaysia dengan 5.46 juta diikuti Johor (3.35 juta) dan Sabah (3.21 juta) manakala negeri yang mempunyai penduduk paling sedikit adalah Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu 72,413 orang dan Wilayah Persekutuan Labuan (86,908).
Negeri yang mempunyai kepadatan penduduk paling tinggi pula ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu 6,891 orang diikuti Pulau Pinang (1,490) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (1,478). Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya dengan paras urbanisasi 100 peratus manakala negeri lain yang mencatatkan paras urbanisasi yang tinggi adalah Selangor dan Pulau Pinang, masing-masing dengan 91.4 dan 90.8 peratus. Negeri yang mencatatkan paras urbanisasi yang paling rendah pula adalah Kelantan sebanyak 42.4 peratus diikuti Pahang (50.5 peratus) dan Perlis (51.4).
Daripada 28.3 juta penduduk Malaysia, kumpulan etnik yang terbesar adalah Bumiputera iaitu merangkumi 67.4 peratus jumlah penduduk, Cina (24.6), India (7.3) dan lain-lain (0.7). Di kalangan warganegara Malaysia, Melayu adalah etnik utama di Semenanjung Malaysia iaitu 63.1 peratus manakala Iban merekodkan 30.3 peratus daripada jumlah keseluruhan rakyat di Sarawak sementara Kadazan/Dusun merekodkan 24.5 peratus di Sabah.



