Permohonan Dan Kemaskini BSH 2019 Bantuan Sara Hidup Rakyat

Panduan terkini dikemaskini pada 23 Mei 2019 jam 02:05 PM

Anda layak menerima Bantuan Sara Hidup Rakyat atau lebih dikenali sebagai BSH? Bagaimana cara untuk membuat permohonan bagi mendapatkan bantuan ini? Bagaimana pula cara untuk mengemaskini permohonan bagi yang pernah mendapat bantuan ini pada tahun lepas? Berikut adalah panduan untuk membuat permohonan dan juga kemaskini BSH bagi tahun 2019.

Bagi makluman semua, Bantuan Sara Hidup Rakyat adalah nama baharu bagi Bantuan Rakyat 1 Malaysia atau lebih dikenali sebagai BR1M sebelum ini. Bermula tahun 2018, kerajaan Pakatan Harapan telah mengambil alih pemerintahan kerajaan Malaysia dan masih meneruskan bantuan kewangan untuk rakyat ini.

Permohonan dan Kemaskini BSH

JENIS JUMLAH BANTUAN DAN SYARAT KELAYAKAN BSH 2019
Berikut merupakan jenis bantuan BSH bagi tahun 2019 beserta syarat kelayakan seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2019.
RM 500RM 750RM 1,000
Isi Rumah (A)
Mempunyai pendapatan kasar bulanan seisi rumah : 
RM3,001 hingga RM4,000 
(termasuk warga emas)
Isi Rumah (B)
Mempunyai pendapatan kasar bulanan seisi rumah : 
RM2,001 hingga RM3,000 
(termasuk warga emas)
Isi Rumah (C)
Mempunyai pendapatan kasar bulanan seisi rumah : 
RM2,000 dan ke bawah 
(termasuk warga emas)
Warganegara Malaysia yang tinggal menetap di Malaysia sahaja
RM 120 / ANAK
Bantuan Tambahan
Untuk setiap anak berumur 18 tahun ke bawah
Dikecualikan atau tiada had umur bagi anak OKU
Hanya terhad sehingga 4 orang anak / keluarga

Permohonan BSH 2019 Bantuan Sara Hidup Rakyat

Bagi mereka yang belum pernah menerima BSH sebelum ini, anda perlu membuat permohonan kali pertama untuk mendapatkan bantuan tersebut. Berikut adalah langkah-langkah untuk membuat permohonan BSH dan maklumat berkaitan.

Kelayakan Umum Permohonan BSH 2019

  • Warganegara Malaysia yang tinggal di Malaysia sahaja.
  • Ketua kepada isi rumah / ahli sama ada lelaki atau perempuan yang bersekedudukan dengan jumlah pendapatan kasar bulanan RM4,000 dan ke bawah seisi rumah.
  • Warga emas yang hidup sebatang kara berumur 60 tahun dan ke atas dengan jumlah pendapatan kasar bulanan RM4,000 dan ke bawah.

Individu Yang Layak Membuat Permohonan BSH 2019

  • Belum pernah membuat permohonan BSH / BR1M sebelum ini.
  • Gagal permohonan atau tidak layak mendapat permohonan BSH / BR1M sebelum ini.
  • Pasangan hidup kepada penerima BSH 2018 yang telah bercerai atau meninggal dunia.

Tarikh Rasmi Pendaftaran Permohonan BSH 2019

Berikut adalah tarikh tempoh pendaftaran permohonan baru BSH 2019 seperti dipaparkan di Portal Rasmi Bantuan Sara Hidup Rakyat.

  • Dibuka : 1 Februari 2019
  • Ditutup: 15 Mac 2019

Cara Membuat Permohonan BSH 2019

Permohonan Bantuan Sara Hidup 2019 boleh dilakukan melalui dua cara atau kaedah seperti berikut:

Cara Pertama : Permohonan Secara  Atas Talian (Online)

Sebuah portal khas untuk membuat permohonan BSH secara atas talian telah disediakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM). Permohonan secara atas talian hanya dibuka mengikut tempoh yang diumumkan di portal rasmi berkenaan. Pemohon perlu mengunjungi portal berkenaan seperti pautan yang disediakan di bawah. Pemohon juga disarankan membuat cetakan salinan permohonan untuk disimpan sebagai rujukan.

Cara Kedua : Permohonan Secara Borang Manual

Permohonan juga boleh dibuat melalui pengisian borang secara manual dengan muat turun borang di Portal Rasmi BSH atau mendapatkannya di Cawangan / Pusat Khidmat Hasil / Urban Transformation Centre (UTC) Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) berhampiran. Borang yang telah siap diisi hendaklah dihantar sebelum tarikh tutup ke Cawangan / Pusat Khidmat Hasil / Urban Transformation Centre (UTC) Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) berhampiran anda.

*Peringatan: Pemohon disarankan membuat permohonan menggunakan salah satu daripada cara yang disediakan untuk mengelakkan daripada berlaku duplikasi atau pertindihan identiti pemohon dan kandungan maklumat.

Salinan Dokumen Yang Perlu Dikemukakan (Yang Mana Berkenaan)

Pemohon

  • Salinan sijil perceraian yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri/JPN
  • Salinan perkahwinan yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri/JPN
  • Salinan sijil kematian pasangan yang dikeluarkan JPN
  • Salinan sijil dekri nisi/dekri nisi mutlak yang dikeluarkan oleh mahkamah

Pasangan

  • Salinan pengenalan pasangan (MyKad/MyPR/MyKAS)
  • Salinan pasport/visa/UNCHR/Pas sempadan/sijil lahir/kad pengenalan lama

Anak

  • Salinan MyKad/MyKid (Anak kandung atau anak angkat)
  • Salinan sijil lahir (Anak kandung)
  • Salinan sijil daftar anak angkat yang dikeluarkan JPN (Anak angkat)

Info Penting Permohonan Baru BSH 2019

Akaun Bank

  • Bantuan akan disalurkan dalam bentuk kredit terus ke akaun bank penerima mengikut jadual pembayaran yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia untuk mengelak daripada beratur panjang di kaunter.
  • Pemohon yang baru membuat permohonan kali pertama digalakkan membuka akaun bank individu sekiranya tidak mempunyai akaun bank di cawangan bank yang disertakan di bawah.
  • Klik : Senarai Bank yang Terlibat Bagi Pembayaran BSH 2019

Kemaskini BSH 2019 Bantuan Sara Hidup Rakyat

Penerima sedia ada BSH 2018 iaitu mereka yang telah layak dan menerima bantuan sebelum ini tidak perlu membuat permohonan baru. Anda hanya perlu membuat kemaskini permohonan dengan mengisi maklumat terkini khususnya maklumat peribadi dan lain-lain dengan betul. Berikut dikongsikan panduan atau langkah untuk membuat kemaskini permohonan BSH 2019.

Tarikh Kemaskini Permohonan BSH 2019

Tempoh kemaskini permohonan Bantuan Sara Hidup Rakyat 2019 seperti yang dipaparkan di Portal Rasmi BSH adalah seperti ketetapan berikut:

  • Dibuka : 1 Februari 2019
  • Ditutup: 15 Mac 2019

Bila Perlu Kemaskini Maklumat BSH 2019

Pemohon-pemohon perlu mengemaskini maklumat BSH 2019 sekiranya perkara-perkara berikut terjadi:

  1. Jika terdapat perubahan dalam maklumat peribadi terutamanya no. telefon, alamat rumah dan lain-lain.
  2. Jika terdapat perubahan status perkahwinan seperti kematian pasangan / tanggungan, penceraian dan perubahan waris.
  3. Hendaklah dibuat sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh tiga tahun permohonan.

Apa yang Perlu Dikemaskini Maklumat BSH 2019

  • Nombor telefon bimbit atau rumah.
  • Alamat emel terkini.
  • Alamat surat-menyurat terkini.
  • Status perkahwinan seperti kematian pasangan atau bercerai (mesti disertakan tarikh)
  • Maklumat pasangan dan tanggungan (No. MyKad / MyPR / MyKAS / MyKid / Passport / Visa / Sijil Kelahiran perlu diisi dengan betul).
  • Maklumat waris terkini untuk membolehkan waris membuat tuntutan Skim Khairat Kematian (jika waris terdahulu telah meninggal dunia).
  • Maklumat akaun bank (persendirian sahaja).
    Nota: Jika pemohon tidak memberikan maklumat nombor akaun bank untuk permohonan sebelum ini, anda disarankan memberikan maklumat akaun bank bagi permohonan BSH 2019 melalui sistem kemaskini online atau dengan mengiri borang (secara manual) untuk memudahkan dan melancarkan proses pemberian bantuan.

Cara Membuat Kemaskini BSH 2019

Kemaskini permohonan Bantuan Sara Hidup Rakyat 2019 boleh dibuat melalui dua cara juga iaitu seperti berikut:

Cara Pertama : Kemaskini Secara Atas Talian (Online)

Pemohon boleh mengemaskini maklumat penting peribadi secara atas talian (online) di portal rasmi BSH yang dikendalikan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM). Setelah membuat kemaskini, pemohon disarankan membuat cetakan salinan sebagai simpanan dan rujukan. Pemohon boleh melayari Portal Rasmi BSH LHDNM pada tarikh kemaskini dibuka seperti pautan yang disediakan di bawah.

Cara Kedua : Kemaskini Secara Borang Manual

Pengemaskinian maklumat BSH 2019 juga boleh dibuat melalui pengisian borang secara manual dengan memuat turun borang di portal rasmi BSH seperti disediakan di pautan di bawah atau mendapatkannya di Cawangan / Pusat Khidmat Hasil / Urban Transformation Centre (UTC) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDNM) yang berhampiran. Setelah siap diisi dengan lengkap, borang kemaskini maklumat BSH 2o19 hendaklah dihantar sebelum tarikh tutup kemaskini di Cawangan / Pusat Khidmat Hasil / Urban Transformation Centre (UTC) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDNM) berdekatan.

  • Klik : Borang Kemaskini BSH 2019
  • Klik : Jadual Pembukaan Kaunter BSH 2019 di semua Cawangan LHDNM

*Peringatan: Pengemaskinian maklumat hendaklah dilakukan melalui salah satu daripada dua cara yang disediakan sama ada secara atas talian (online) ataupun secara manual (pengisian borang) bagi mengelakkan pertindihan maklumat dan identiti pemohon.

Info Penting Kemaskini Maklumat BSH 2019

  1. Penerima sedia ada BSH 2018 tidak perlu lagi melakukan permohonan baru tetapi hanya perlu mengemaskini permohonan dengan memberikan maklumat terkini bagi mengelakkan permohonan ditolak.
  2. Kebanyakan permohonan lambat diproses ataupun gagal keranan maklumat yang diberikan tidak lengkap atau tidak terkini.
  3. Nombor akaun bank yang diberikan hendaklah diisi dengan betul agar bantuan berjaya disalurkan.
  4. Sekiranya status permohonan menunjukkan didaftarkan, itu tidak semestinya bermaksud permohonan telah diterima terutama sekali bagi pemohon yang telah lama memohon seperti penerima BR1M 2016 yang tidak mengemaskini pada tahun 2017 dan sebagainya. Status permohonan didaftarkan adalah bagi tahun-tahun sebelumnya dan kemaskini pemohonan perlu dilakukan.
  5. Sekiranya tiada sebarang pindaan yang ingin dilakukan bagi permohonan tahun ini, penerima disarankan untuk membuat juga kemaskini dengan menghantar pengemaskinian bagi BSH 2019 untuk mengesahkan maklumat tersebut adalah yang terkini selain memaklumkan bahawa penerima masih hidup.

Agensi Yang Terlibat dalam Proses Verifikasi Kelayakan BSH 2019

Permohonan dan kemaskini maklumat BSH akan melalui proses verifikasi atau penyemakan kelayakan bagi mendapatkan BSH 2019 melalui beberapa agensi seperti:

  1. Lembaga Hasil Dalam Negeri
  2. Suruhanjaya Syarikat Malaysia
  3. Angkatan Tentera Malaysia
  4. Kementerian Luar Negeri
  5. Kementerian Pendidikan Malaysia
  6. Kementerian Pendidikan Tinggi
  7. Kumpulan Wang Persaraan
  8. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
  9. Jabatan Pendaftaran Negara
  10. Jabatan Pengangkutan Jalan
  11. Jabatan Agama Islam Negeri
  12. Jabatan Akauntan Negara Malaysia Termasuk PDRM

Maklumat Lanjut

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan atau ingin mendapatkan maklumat lanjut, sila lihat kepada FAQ yang disediakan seperti pautan di bawah ataupun hubungi mana-mana butiran berikut:

  • Klik : FAQ Permohonan | Permohonan & Kemaskini BSH 2019
  • Berhubung terus ke Cawangan / Pusat Khidmat Hasil / Urban Transformation Centre (UTC) Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) yang berhampiran
  • Pertanyaan secara langsung dengan melayari Facebook Rasmi LHDNM di pautan berikut
  • Klik : Facebook Rasmi LHDNM
  • Membuat panggilan ke talian bebas tol 1-800-88-2747 (LHDNM) atau 03-8882 4565 / 4566 (Kementerian Kewangan Malaysia)
  • Menghantar emel ke bsh@treasury.gov.my

*Penafian: Segala maklumat mengenai BSH 2019 di atas didapatkan melalui fakta BR1M / BSH 2018 dan tertakluk kepada sebarang perubahan. Maklumat rasmi akan dikemaskini sebaik sahaja pengumuman oleh Kementerian Kewangan Malaysia dikeluarkan.