Panduan terkini dikemaskini pada

Tarikh Hari Raya Aidilfitri 2026 Puasa Di Malaysia

Tarikh Sambutan Hari Raya Puasa/ Aidilfitri 2026 Di Malaysia. Bilakah tarikh Hari Raya Puasa 2026 di Malaysia? Menurut Tarikh Penting Dalam Islam tahun 2026 yang diterbitkan oleh JAKIM, umat Islam dijangka akan menyambut Hari Raya Puasa/ Aidilfitri 2026 pada 21 Mac 2026 iaitu pada hari Sabtu bersamaan dengan 1 Syawal 1447 Hijrah. Ianya merupakan tarikh cuti umum di Malaysia yang akan di bawa ke Hari Isnin, 23 Mac.

Tarikh Hari Raya Aidilfitri ini walau bagaimanapun masih tertakluk kepada pengumuman oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia selepas melihat anak bulan Syawal yang telah ditetapkan pada petang Hari Khamis, 19 Mac 2026 bersamaan dengan 29 Ramadhan 1447 H. 

TARIKH HARI RAYA PUASA 2026 AIDILFITRI DI MALAYSIA

Pengumuman tarikh Hari Raya Puasa Aidilfitri akan diumumkan dan diisytiharkan melalui radio dan TV pada malam 19 Mac 2026 yang kebiasaannya sekitar jam 800 malam.

1 SYAWAL 1447H bersamaan dengan 21 Mac 2026 (Hari Sabtu)

* Tertakluk kepada pengumuman oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia

Berikut adalah tarikh penting dalam Islamic Calendar 2026 yang dikeluarkan oleh JAKIM sebagai panduan untuk Umat Islam semua.

Menyambut Aidilfitri Menurut Sunnah Rasulullah S.A.W

” Hari Raya Aidilfitri (Arab: رطف لا دي ع; ‘Ayd al-Fiṭr; “perayaan fitrah”) disambut pada 1 Syawal tahun Hijrah. Perayaan tersebut juga dikenali sebagai Hari Raya Puasa, Hari Raya Fitrah, dan Hari Lebaran. Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan yang dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia tidak kira bangsa sama ada Melayu, India-Muslim dan lain-lain bangsa di seluruh dunia yang beragama Islam bagi menandakan berakhirnya “Ramadhan Month” yang mana umat Islam telah menjalani ibadat puasa dengan tekun.

Ia merupakan antara dua perayaan terbesar bagi umat Islam, selain Hari Raya Aidiladha (Hari Raya Korban). Hari Raya Puasa bermula melalui dua cara; iaitu melalui rukyah (melihat anak bulan) ataupun secara hisab (kiraan). Sekiranya melalui rukyah, apabila anak bulan kelihatan, ini menandakan bermulanya bulan Syawal, iaitu bulan ke-10 dalam Takwim Hijrah Islam. Di Malaysia, anak bulan akan diperhatikan oleh pegawai bertugas pada sebelah petang hingga waktu maghrib di beberapa tempat strategik.

Lazimnya di negara kita khususnya sebaik saja diumumkan bahawa hari raya telah jatuh pada malam tersebut, sejurus itulah kedengaran bunyi-bunyi mercun yang dipasang bagi meyemarakkan musim perayaan ini. Pada kebiasaannya perkara ini dilakukan oleh golongan muda dan kanak-kanak. Di samping itu juga lagu-lagu hiburan yang bermacam-macam terus berkumandang diikuti dengan pesta-pesta sehingga beberapa hari untuk memeriahkan lagi suasana sambutan hari raya.

Perkara ini adalah satu perkara yang bertentangan dengan kehendak syara’ dan bercanggah dengan sunnah Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam yang perlu diperbetulkan. Sama ada sedar atau tidak, pada hakikatnya dengan melakukan perkara sedemikian kita seolah-olah meniru sesuatu kaum atau agama lain bagaimana cara mereka merayakan hari kebesaran atau perayaan mereka. Umat Islam sangat dilarang dari meniru dan mengikut-ikut cara itu.

Islam ada memperjelaskan di dalam kitab-kitab fiqah bagaimana cara menyambut hari raya seumpama ini. Islam adalah satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah serta agama paling sempurna dan lengkap.

Firman Allah S.W.T: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepadamu, dan Aku telah redha Islam itu menjadi agamamu.” – Surah al-Maaidah: 3.

Kesempurnaan Islam itu terserlah apabila ia mampu menangani segala permasalahan manusia secara menyeluruh. Islam telah membicarakan isu-isu bersifat global seperti sistem ekonomi, pemerintahan, juga sistem kekeluargaan, pendidikan malah ia juga menyentuh sekecil-kecil perkara seperti adab masuk ke tandas dan beristinjak.

Amalan-Amalan Menyambut Aidilfitri

Adalah penting bagi kita untuk sentiasa menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai petunjuk dalam mengendalikan upacara sambutan Aidilfitri kerana inilah masa untuk kita semua membuktikan bahawa kita benar-benar telah menjadi seorang insan yang bertaqwa setelah melalui ujian pada bulan Ramadan, kerana padanya terdapat ibadah puasa yang berupaya membentuk golongan muttaqin (orang yang bertakwa).

Justeru itu, ada baiknya sekiranya kita mengetahui apakah amalan-amalan yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w sempena menyambut ketibaan hari lebaran Aidilfitri ini.

1. Bertakbir

-Bertakbir pada tarikh 1 Syawal bersempena Aidilfitri merupakan suatu amalan yang disyariatkan. Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah.

Firman Allah S.W.T: “Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulanRamadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur.” – Surah al-Baqarah:185.

Adalah juga disunnahkan untuk kita bertakbir disepanjang perjalanan dari rumah kita menuju ke masjid untu menunaikan solat Aidilfitri. Menurut Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani r.h: “Mengenai syariat bertakbir (pada hari raya Aidilfitri) yang perlu dilakukan oleh kaum muslimin ialah bertakbir dengan suara lantang ketika dalam perjalanan menuju ke tempat solat walaupun kebanyakan umat Islam mula memandang remeh sunnah ini.” – Rujuk Kitab Meneladani Rasulullah S.a.w Dalam Berhari Raya, karya Syeikh Ali Hassan bin Ali al-Halabi alAtsari, ms. 32

Bertakbir sejak mula keluar dari rumah bertujuan menyerlahkan syiar Islam di setiap pelusuk jalan yang dilalui ketika menuju ke tempat solat.

2. Lafaz ucapan selamat pada hari raya Aidilfitri

Majoriti amalan umat Islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaran dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin’.

Namun, apa yang lebih bertepatan dengan amalan para salafussoleh dalam meneladani sunnah Nabi s.a.w adalah sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani r.h yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair r.a katanya:

“Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu).” – Rujuk Fath al-Bari, al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani, , jil. 5, ms. 270-271. 3.

3. Meneruskan qiamullail

Jika sepanjang bulan Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah terutamanya solat qiyam Ramadan (solat tarawih), ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud. Saranan ini tidak bermaksud mengkhususkan pada malam Aidilfitri untuk dikerjakan qiamullail. Apa yang cuba ditekankan di sini adalah semangat mengerjakan qiyam Ramadan (solat tarawih) haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari berikutnya sesudah bulan Ramadan

4. Mandi pada pagi hari raya

Disunnahkan mandi di pagi hari raya sebagaimana mandi wajib, iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat perlaksanaan solat Aidilfitri. Ali bin Abi Thalib r.a pernah ditanya mengenai mandi. Adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau menjawab: “Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri.” – Hadis riwayat Imam Syafie di dalam Musnad al-Syafi’i, jil. 1, ms. 118-119.

5. Makan sebelum solat Aidilfitri

Disunnahkan kaum muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya. Menurut al-Muhallab r.h: “Mengenai hikmah menjamah makanan sebelum mengerjakan solat hari raya adalah agar seseorang tidak berpendapat bahawa dia boleh berpuasa sehingga solat hari raya Aidilfitri dilaksanakan. Seolah-olah Rasulullah s.a.w ingin menutup prasangka semacam ini.” – Rujuk Fath al-Bari, jil. 5, ms. 272.

Kebiasaannya, Rasulullah s.a.w akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Namun, tidak bermakna umat Islam perlu menyediakan buah kurma untuk dimakan pada pagi hari raya Aidilfitri. Mereka bebas memakan apa sahaja. Tetapi, mengikut sunnah itu lebih baik daripada menyanggahinya. Sedangkan, sunnah itu termasuk perkara tauqifi (tidak boleh dipersoalkan).

Anas bin Malik r.a berkata: “Rasulullah s.a.w tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan beberapa biji kurma.” Murajja’ bin Raja’ berkata: Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w memakannya dalam jumlah yang ganjil.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 953.

Namun, jika tidak memiliki kurma maka dibolehkan untuk mengisi perut dengan makanan lain terutamanya makanan yang manis-manis seperti madu. Sekiranya tidak ada makanan sama sekali, memadai dengan hanya meminum air.

6. Memakai pakaian yang indah

Disunnahkan kaum muslimin menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya. Imam Syafie r.h berkata: “Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.” – Rujuk Ringkasan Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’I, jil. 1, ms. 327.

Bagi kaum wanita pula walaupun disunnahkan memakai pakaian yang terbaik, namun mereka hendaklah menghindari dari memakai pakaian yang bercorak-corak serta perhiasan yang berlebih-lebihan sehingga menarik perhatian golongan lelaki. Bagi golongan kanak-kanak pula, Imam Syafie r.h menambah: “Mengenai golongan kanak-kanak pula, mereka boleh memakai pakaian paling bagus yang dimilikinya, baik lelaki mahupun perempuan dan mereka juga boleh memakaiperhiasan emas atau apa sahaja perhiasan.” – Rujuk Ringkasan Kitab al-Umm, Imam Syafie, jil. 1, ms. 327.

Semoga di pagi hari raya kita akan memilih pakaian yang terbaik serta paling mahal mengikut kemampuan masing-masing menuju ke tempat solat hari raya. Disunnahkan juga bagi kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunnahkan kepada kaum wanita. Sabda Rasulullah s.a.w:

“Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina.” – Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya. no: 5036. Namun begitu bukanlah bermakna kaum wanita harus membiarkan dirinya berbau busuk. Islam adalah agama yang menitik-beratkan kebersihan serta kesihatan diri. Dibenarkan bagi wanita untuk memakai wangian yang keharuman sekadar untuk menjaga dirinya dari berbau busuk dan tidak sehingga menarik perhatian orang di sekelilingnya. Haruman-haruman yang kuat dan boleh menaikkan nafsu berahi hanyalah khusus untuk suaminya.

7. Berjalan kaki menuju tempat dikerjakan solat hari raya

Umat Islam dianjurkan berjalan kaki menuju ke tempat solat Aidilfitri jika tidak keberatan. Ali bin Abi Thalib r.a: “Termasuk sunnah, iaitu engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat hari raya dan memakan sesuatu sebelum berangkat.” – Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunannya, no: 487. Namun begitu bagi yang sesiapa yang perlu menggunakan kenderaan kerana tempat solat terlalu jauh, ia dibolehkan dalam syarak. Tetapi, berjalan kaki menuju ke tempat solat lebih afdal berbanding menaiki kenderaan.

8. Mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya

Disunnahkan juga mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya. Jabir bin ‘Abdullah r.a berkata: “Nabi s.a.w melalui jalan yang berbeza pada hari raya.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 986.

9. Tempat perlaksanaan solat hari raya

Sunnah mengerjakan solat hari raya di kawasan lapang atau musolla (tempat terbuka seperti padang sehingga khatib dapat melihat semua hadirin) merupakan satu amalan yang jarang dilakukan di Malaysia melainkan beberapa kelompok kecil yang benar-benar kuat berpegang kepada sunnah Nabi s.a.w.

10. Mengerjakan Solat Aidilfitri

Di antara syiar yang paling utama dalam menyambut Aidilfitri adalah perlakasanaan solat Aidilfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat Islam.

11. Bergembira Pada Hari Raya Aidilfitri

Islam adalah agama yang begitu praktikal lagi munasabah. Setelah sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah, maka kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan. Oleh itu, usaha-usaha untuk menimbulkan suasana kegembiraan di dalam keluarga masing-masing pada hari raya Aidilfitri adalah sebahagian daripada syiar Islam.

12. Mengerjakan Puasa Sunat Enam Hari Pada Bulan Syawal

Sabda Rasulullah s.a.w: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun.” – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1164

PENUTUP

Inilah sebahagian daripada hukum-hakam dan amalan yang disunnahkan ketika menyambut bulan Ramadan al-Mubarak dan Hari Raya Aidilfitri menurut al-Quran dan sunnah yang sepatutnya dijadikan contoh ikutan bagi seluruh umat Islam. Mudah-mudahan, sambutan hari raya Aidilfitri yang akan menjelma nanti disambut dengan penuh keikhlasan, kemeriahan dan selari dengan perintah Allah serta Rasul-Nya s.a.w.

SUMBER : IIUM

Semoga Tarikh Hari Raya Puasa 2026 Aidilfitri Di Malaysia ini boleh dijadikan panduan untuk merancang perjalanan balik kampung atau percutian semasa hari raya nanti. Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri.