Ramai mengeluh akibat cuaca panas dan kering sekarang. Apakah punca sebenar berlakunya fenomena panas ini? Menurut Kenyataan Media YB Datuk Seri Panglima Madius Tangau, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi pada 8 Januari 2016, cuaca panas di Malaysia akan berterusan sehingga Mac 2016.
Kejadian ini berlaku di sebabkan oleh Fenomena El Nino kuat yang sedang berlaku menyebabkan suhu di sesebuah kawasan meningkat tinggi / ekstrem.
Dipetik dari Astro Awani, indikator suhu ekstrem ini merujuk kepada peningkatan suhu persekitaran melebihi 37°C dan berupaya meningkat sehingga 40°C dengan kelembapan udara persekitaran rendah serta kering.
Apa Itu El Nino?
Umumnya fenomena El-Nino bukanlah sesuatu yang baharu bagi negara Malaysia dan lain-lain negara di Asia Tenggara.
Boleh dikatakan pada setiap tahun bermula Mei hingga penghujung Ogos, Malaysia akan mengalami cuaca panas dan kering yang melampau serta berupaya menyebabkan kemarau di kawasan-kawasan pertanian dan hutan. Suhu permukaan melonjak naik dan paras air permukaan bumi (sungai/tasik) akan menunjukan penyusutan, kepekatan habuk, debu serta partikel terampai dalam udara juga akan meningkat sekaligus menjadi punca jerebu. Sudah tentu situasi ekstrem persekitaran seperti El-Nino ini akan memberikan impak yang signifikan kepada risiko kesihatan awam.
Menurut laman web rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), ianya adalah Fenomena lautan yang berlaku setiap dua ke tujuh tahun di mana arus laut yang panas akan menggantikan arus laut yang kebiasaannya sejuk di luar pantai barat Peru, Amerika Selatan.
Pemanasan lautan ini didapati berlaku di kawasan yang lebih luas meliputi Pasifik tengah dan timur serta mempunyai kaitan dengan peristiwa cuaca luar biasa yang ketara di tempat-tempat tertentu di dunia seperti banjir yang teruk dan kemarau yang berpanjangan. Di Asia Tenggara, Indonesia dan Australia, berlaku keadaan cuaca lebih kering dari normal sementara di Pasifik tengah dan timur berhampiran khatulistiwa kebiasaannya mengalami keadaan lembap.
Secara lazimnya, El Niño berlaku untuk tempoh 6 hingga 18 bulan. Biasanya ia terbentuk pada pertengahan tahun, berada di kemuncak pada akhir tahun dan menjadi lemah menjelang awal tahun berikutnya. El Niño yang mempunyai keamatan yang sama tidak semestinya menghasilkan corak iklim yang sama.
Menurut Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO), ianya adalah keadaan lebih panas dari biasa yang berpanjangan di kawasan tropika di tengah dan timur lautan Pasifik, dengan nilai Oceanic Niño Index (ONI) adalah 0.5°C atau lebih untuk sekurang-kurangnya 5 bulan ONI berturut-turut. ONI adalah Purata untuk 3 bulan berturut-turut anomali suhu permukaan laut (Sea Surface Temperature, SST) di kawasan NINO 3.4 dikira setiap bulan dan diguna pakai sebagai petunjuk fenomena ini.
Menurut Wikipedia, ianya merupakan fenomena fasa berlawanan putaran iklim semula jadi yang dikenali sebagai Getaran Selatan El-Nino (El Nino-Southern Oscillation – ENSO). Fenomena lautan-atmosfera ini merujuk kepada perubahan besar kepada suhu permukaan laut merintangi timur pasifik tropika. “El Nino” dalam bahasa Sepanyol bermakna “anak lelaki” manakala “La Nina” pula bermakna “anak perempuan”.
Dipetik dari BH Online, ianya berasal daripada perkataan bahasa Sepanyol yang bermaksud ‘anak lelaki’ dan istilah berkenaan digunakan buat pertama kali oleh nelayan di Peru sekitar tahun 1800.
Secara mudahnya, fenomena ini membabitkan perubahan tekanan atmosfera dan suhu lautan terutama di Lautan Pasifik. Ketika ia berlaku, suhu permukaan laut meningkat di bahagian timur Lautan Pasifik iaitu di perairan Columbia, Ecuador dan Peru disebabkan kemasukan arus panas dari bahagian tengah dan barat Lautan Pasifik.
Kesan/ Impak El Nino
Kewujudan Lautan Pasifik di timur Malaysia dan Lautan Hindi di baratnya mempengaruhi jumlah hujan di Malaysia. Antara kesan lautan ini adalah fenomena El Nino (La Nina) yang lazimnya menyebabkan keadaan kering (basah) di Malaysia
Berikut diantara kesan atau impak berlakunya fenomena ini terhadap sesuatu kawasan :-
- Keadaan kering yang luar biasa di Malaysia, Indonesia, Filipina dan utara Australia.
- Cuaca yang lebih panas dan kering juga berlaku di tenggara Afrika, India dan utara Brazil.
- Cuaca lebih lembap pula berlaku di sepanjang pantai barat kawasan tropika Amerika Selatan dan pantai teluk di Amerika Utara.
- Impak El Nino kepada negara secara umumnya boleh menyebabkan jumlah hujan diterima akan berkurangan, terutamanya bagi Sabah dan Sarawak.
- El Nino juga boleh menyebabkan cuaca menjadi lebih panas dan kering yang seterusnya memudahkan berlakunya kebakaran hutan yang boleh menyebabkan kejadian jerebu tebal merentasi sempadan yang akan memberi kesan terutamanya terhadap kesihatan, aktiviti luar dan pertanian.
Nasihat umum untuk rakyat menghadapi fenomena El-Nino
Sekiranya komuniti tidak mengambil atau melaksanakan langkah-langkah pencegahan yang sepatutnya untuk satu tempoh masa yang berterusan, maka ianya berisiko tinggi untuk mengalami kematian.
Jangan tangguh rawatan atau pemulihan yang berkaitan dengan ketegasan haba kerana ianya juga boleh menyebabkan organ dalaman badan seperti buah pinggang, jantung dan hati gagal berfungsi secara normal. Cegah lebih baik dari merawat, jangan sudah terantuk baru mahu tengadah.
Cakna diri dengan membuat penilaian dan kawalan suhu badan (rekod kesihatan) secara kendiri. Bagi ibubapa, adalah menjadi tanggungjawab anda untuk sentiasa memantau dan mengambil tindakan sewajarnya apabila anak-anak terkesan dengan masalah dehadrasi. Segera rujuk dan dapatkan nasihat dari pakar perubatan sekiranya ada mempunyai gejala berkaitan ketegasan haba/strok haba.
Cuba kurangkan aktiviti diluar permis/rumah. Patuhi arahan semasa dan pemakluman kesihatan yang dikeluarkan oleh pihak Kementarian Kesihatan atau mana-mana agensi yang diberikan tanggungjawab oleh kerajaan.
Pemantauan dan pengekalan suhu teras badan pada 36 – 37.5°C (suhu normal) adalah sangat-sangat penting. Suhu teras badan yang tinggi boleh mengganggu sistem fisiologi dan cecair badan. Pengawalan suhu teras badan ini boleh dilakukan dengan mengamalkan kaedah berikut;
i. Minum air (kosong) setiap kali apabila terasa dahaga. Amaun dan kekerapan pengambilan air (kosong) mesti dipertingkatkan pada masa ini. Air penting bagi mengelak badan mengalami dehidrasi. Elakkan minuman berkafein dan manis kerana ia mempercepatkan dehidrasi.
ii. Elak dari menghadiri persekitaran dalaman atau luaran yang panas. Cari tempat yang teduh, sejuk, mempunyai penghawa dingin atau sistem ventilasi (kipas) yang kondusif serta bersih. Elakan dari terdedah kepada sinaran cahaya matahari secara langsung.
iii. Pakai pakaian yang diperbuat daripada fabrik yang ringan, longgar, sejuk, berwarna terang (putih) dan berupaya meresap haba dan peluh (kain kapas/cotton). Elakkan memakai pakaian berlapis, tebal serta berwarna gelap. Pastikan juga fabrik mempunyai ventilasi udara yang baik.
iv. Tingkatkan kekerapan mandi atau basahkan kepala. Pengaliran serta pengeringkan air pada permukaan kulit akan memberikan rasa sejuk dan berupaya menurunkan suhu permukaan kulit.
v. Tingkatkan pengambilan sayur-sayuran atau buah-buahan dan kurangkan makanan tinggi karbohidrat dan protein karana ianya akan menaikkan kadar metabolisme dan memberi kesan peningkatan suhu badan.
Itulah El Nino, fenomena alam masa kini. Walaupun fenomena kepanasan ini tidak dikaitkan dengan aktiviti manusia di muka bumi, aktiviti lain seperti penebangan hutan secara tidak terkawal, pencemaran industri, penggunaan bahan bakar fosil secara berleluasa dan pelepasan gas rumah hijau hendaklah dikawal. Aktiviti tidak sihat ini adalah antara contoh “kerosakan‟ yang dilakukan manusia hingga memberi kesan terhadap bumi.
Ref : malaysia dan negara, peningkatan suhu, menyebabkan hujan, ribut petir, angin monsun, lewat petang, mengalami cuaca panas, hujan lebat, menyebabkan kemarau,