Panduan terkini dikemaskini pada

Langkah Mengelakkan Keracunan Makanan

Berikut dikongsikan contoh karangan SPM Bahasa Melayu yang bertajuk langkah mengelakkan keracunan makanan di Sekolah. Peperiksaan bertulis Sijil Peperiksaan Malaysia akan diadakan pada hujung tahun ini

Huraikan pendapat anda tentang langkah-langkah untuk mencegah keracunan makanan. Panjangnya huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

cegah keracunan makanan

Analisis soalan:

Tugasan : langkah-langkah untuk mencegah keracunan makanan
Tema : Keracunan makanan
Kata kunci : Langkah

  • Isi 1 : penyediaan makanan yang bersih
  • Isi 2 : ibu bapa menyediakan bekal kepada anak-anak
  • Isi 3 : penguatkuasaan undang-undang

Langkah Mengelakkan Keracunan Makanan (Contoh Karangan 1)

Keracunan makanan merupakan antara isu yang sering diwara-warakan dalam media cetak dan media elektronik di negara kita akhir-akhir ini. Sehubungan dengan itu, semua pihak mestilah komited untuk mendepani isu ini kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Persoalannya apakah langkah-langkah untuk mencegah keracunan makanan?

Pada pendapat saya, antara langkahnya ialah penyediaan makanan yang bersih. Hal ini dikatakan demikian kerana pengusaha kantin yang menyediakan makanan yang bersih dapat memastikan pelajar makan makanan yang tidak tercemar. Di samping itu, penyediaan makanan yang bersih ini juga dapat mengelakkan seseorang pelajar daripada keracunan makanan kerana mencegah lebih baik daripada merawat. Sebagai contoh, pengusaha kantin mestilah menutup makanan yang disediakan supaya tidak dihinggapi lalat. Mereka juga mestilah membasuh sayur-sayuran, menyimpan bahan mentah ke dalam peti sejuk beku dan sebagainya. Saya ingin menegaskan bahawa penyediaan makanan yang bersih merupakan antara langkah untuk mengelakkan keracunan makanan.

Selain itu, ibu bapa menyediakan bekal kepada anak-anak juga dikenal pasti sebagai salah satu langkah untuk mencegah keracunan makanan. Hal ini bermaksud bekal yang disediakan oleh ibu bapa mampu memastikan anak-anak makan makanan yang sihat dari rumah. Lagipun, penyediaan bekal kepada anak-anak ini juga mampu mengelakkan anak-anak membeli makanan yang tidak berkhasiat di kedai. Contohnya, ibu bapa mestilah membekalkan nasi goreng dari rumah untuk dimakan oleh anak-anak pada waktu rehat. Mereka juga boleh membekalkan nasi lemak, sandwic, roti dan sebagainya. Saya ingin menjelaskan bahawa salah satu langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan keracunan makanan dalam kalangan anak-anak ialah ibu bapa mestilah menyediakan bekal kepada anak-anak mereka.

Langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan keracunan makanan yang berikutnya ialah penguatkuasaan undang-undang. Dalam konteks ini, penguatkuasaan undang-undang oleh pihak Jabatan Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan berupaya untuk memastikan para peniaga sentiasa akur dengan peraturan penyediaan makanan. Tambahan pula, penguatkuasaan undang-undang ini juga berupaya untuk mendisiplinkan para peniaga supaya sentiasa mengutamakan kebersihan dalam penyediaan makanan. Misalnya, pihak penguatkuasa mestilah mengenakan kompaun yang tinggi terhadap premis makanan yang kotor. Mereka juga boleh menyita premis berkenaan, mengarahkan supaya kerja pembersihan dilakukan dan sebagainya. Saya optimis, penguatkuasaan undang-undang merupakan langkah bijak untuk mencegah keracunan makanan.

Kesimpulannya, semua pihak mestilah berusaha untuk mengelakkan keracunan makanan agar kesihatan para pengguna akan lebih terjamin. Usaha ini mestilah dilaksanakan secara berterusan dan jangan pula seperti pahat dengan penukul!

Contoh Karangan 2 : Cara Mencegah Keracunan Makanan

Kes keracunan makanan dalam kalangan pelajar sering berlaku di kantin sekolah. Hal ini disebabkan oleh kebersihan di kawasan kantin tersebut kurang memuaskan. Banyak langkah yang boleh digunakan untuk mengurangkan keskeracunan makanan dalam kalangan pelajar di kantin sekolah.

Pertama sekali, penjaga kantin perlu memastikan bahawa kawasan kantin dalam keadaan bersih dan ceria. Dominan, kes keracunan makanan dalam kalangan pelajar di sekolah adalah disebabkan makanan yang telah dihinggap oleh lalat. Jikalau, kawasan kantin tersebut bersih, masalah lalat tidak berleluasa lagi.

Kedua, kes keracunan makanan ini juga disebabkan oleh pelajar itu sendiri.Kadang-kala mereka terus memakan makanan yang telah dibeli tanpa mengendahkan tentang kebersihan tangan itu sendiri. Kuman-kuman yang berada di tangan itu boleh menyebabkan pelajar tersebut mengalami cirit-birit dan muntah. Ini akan mengganggu sistem pencernaan mereka. Oleh itu, pihak kantin perlu memastikan bahawa air dan sabun telah disediakan.

Ketiga, pihak sekolah perlulah membuat pemeriksaan bahawa makanan yang dijual di kantin tersebut tidak tamat tempoh. Hal ini kerana, kebanyakan penjual menginginkan hasil keuntungan yang banyak, jadi mereka tidak mengambil berat tentang tempoh makanan tersebut. Hal ini akan membuatkan kes keracunan makanan dalam kalangan pelajar terus berleluasa.

Akhir sekali, pihak berkuasa juga perlulah memainkan peranan penting untuk memastikan kes tersebut tidak berulang lagi. Pihak berkuasa hendaklah memeriksa keadaan kantin dari segi kebersihan, penjagaan makanan dan tempoh makanan tersebut. Dengan adanya tanda gred kantin tersebut, pelajar tidak akan ragu-ragu untuk makan makanan di kantin sekolah.

Dengan langkah-langkah yang telah dihuraikan, masalah keracuran makanan dalam kalangan pelajar di kantin sekolah tidak akan berleluasa lagi. Tuntasnya, kebersihan amat penting dalam kehidupan sehari kita. Bak kata pepatah kebersihan itu adalah sebahagian daripada iman

Nota: Esei ini hanyalah panduan untuk menghuraikan isi. Calon diminta ubah suai agar lebih menarik.