Panduan terkini dikemaskini pada

Permohonan MTD 2026 & Semakan Keputusan Maktab Tentera DiRaja

Maktab Tentera DiRaja Malaysia (MTD) merupakan sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menawarkan pendidikan disertakan dengan latihan ketenteraan. MTD terletak di Sungai Besi lebih kurang 13 kilometer daripada Bandaraya Kuala Lumpur dan merupakan salah sebuah sekolah pilihan ibu bapa yang telah melahirkan ramai tokoh negara sejak awal penubuhannya hingga sekarang.

Kemasukan pelajar ke MTD dibuka setiap tahun dan hanya terbuka kepada pelajar lelaki Tingkatan 3 untuk kemasukan ke Tingkatan 4. Untuk pengetahuan semua, antara matlamat penubuhan MTD adalah untuk melahirkan lebih ramai belia yang mempunyai asas latihan ketenteraan dan berkelayakan untuk menjadi pegawai tentera.

Menurut sumber daripada portal rasmi MTD, keutamaan akan diberikan keutamaan kepada pelajar yang aktif dalam aktiviti kokorikulum seperti sukan, kelab dan persatuan. Selain itu mempunyai Body Mass Index (BMI) 18 hingga 27 dan ukuran dada 74cm minima. Bagi mereka yang berminat untuk menjadi putera MTD anda boleh berbuat demikian dengan membuat permohonan secara atas talian di portal rasmi MTD.

Permohonan Putera Kemasukan Ke Tingkatan Empat (4) MTD Sesi 2026

Permohonan kemasukan ke MTD secara atas talian (Online) telah dibuka. Kepada pelajar yang berminat membuat permohonan kemasukan MTD, kami kongsikan cara membuat permohonan ke MTD serta syarat kemasukan sebagai rujukan untuk semua:

Tarikh Permohonan MTD 2026

Dibuka : 1 Ogos 2025

Ditutup : 7 September 2025

Tarikh di atas adalah seperti yang dimaklumkan oleh pihak KPM. Sebarang perubahan akan dikemas kini segera.

Mulai ambilan 2021, kemasukan ke MTD adalah diselaraskan bawah satu sistem oleh KPM bersama-sama permohonan ke SBP, SMKA, KV dan SMT. Mulai ambilan 2026, MR SM kini perlu dipohon melalui sistem ini juga. Ia dikenali sebagai PKSK.

Pentaksiran kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) yang akan dilaksanakan ini merangkumi tiga bahagian iaitu Kecerdasan Insaniah (20%), Kecerdasan Intelektual (70%) dan Artikulasi Penulisan (10%). Kaedah pelaksanaan Ujian Kecerdasan Insaniah dan Kecerdasan Intelektual adalah secara dalam talian manakala kaedah pelaksanaan ujian Artikulasi Penulisan adalah secara bertulis.

Cara Membuat Permohonan Ke MTD

Permohonan perlu dilakukan secara atas talian melalui pautan seperti di bawah. Sila lengkapkan segala butiran yang diperlukan bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

PERMOHONAN ONLINE KE MAKTAB TENTERA DIRAJA

NOTA : Calon perlu memohon melalui dalam talian sebaik sahaja permohonan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) dibuka dan meletakkan MTD sebagai PILIHAN PERTAMA.

MTD hanya menawarkan pengambilan bagi kemasukan ke Tingkatan 4 sahaja dan Putera akan mengikuti pengajian selama 2 tahun di MTD.

Hanya calon yang disenarai pendek sahaja akan dipanggil untuk ke sesi Lembaga Pemilihan Putera MTD. Rujuk Soalan Lazim Pengambilan

Syarat Kemasukan Ke MTD

Tawaran kemasukan ke MTD terbuka kepada pelajar lelaki lepasan Tingkatan Tiga tahun 2025 dan ibu bapa mestilah warganegara Malaysia serta menepati syarat-syarat seperti di bawah

SYARAT AM

  • i. Calon perlu memilih Maktab Tentera Diraja sebagai pilihan pertama.
  • ii. Mencapai aras toleransi Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK), Kementerian Pendidikan (KPM).

**Hanya calon yang disenarai pendek sahaja akan dipanggil untuk menduduki Ujian Pemilihan Putera Maktab Tentera Diraja.

SYARAT KHUSUS

  • i. Pemohon mestilah lelaki dan warganegara Malaysia
  • ii. Ibu dan bapa mestilah warganegara Malaysia
  • iii. Lulus Ujian Pemilihan Putera Maktab Tentera Diraja
Ciri-ciri Perkara
Tinggi Minimum 152 cm
BMI 18 – 26.9
Kesihatan Sihat tubuh badan dan tidak mempunyai masalah kesihatan seperti di bawah:
  • a. Angin pasang (inguinal hernia)
  • b. Asma atau lelah (asthma)
  • c. Buasir (haemorrhoids)
  • d. Fizikal bahu tidak sama (uneven shoulder)
  • e. Jangkitan kulat pada kulit (tinea)
  • f. Kekurangan enzim Glucose-6-phosphate dehydrogenase (G6PD-Deficiency)
  • g. Rabun jauh (myopia) 6/12
  • h. Rabun warna (colour blindness)
  • i. Tapak kaki rata (flat footed)
  • j. Temu janji rawatan susulan yang berpanjangan
  • k. Terdapat kerak telinga (impacted earwax)
  • l. Tidak dibenarkan memakai pendakap gigi (braces)
  • m. Tulang belakang bengkok (scoliosis)
  • n. Urat bersimpul (varicose veins)
  • o. Sebarang masalah kesihatan baru atau lama yang akan menyebabkan gangguan serta menjejaskan kelancaran sepanjang menjalani latihan ketenteraan di MTD
Ukuran Dada Minimum 74 cm (biasa) / 79 cm (tarik nafas)
Berat Minimum 40.5 kg

* Walaupun telah lulus semua syarat khusus, jika terdapat kecederaan sebelum melapor diri di MTD yang boleh menghalang calon melaksanakan aktiviti dan latihan ketenteraan, calon akan dikeluarkan.

Sesi Ujian Pemilihan Dan Temuduga Putera MTD

Program ujian pemilihan dan temuduga Putera MTD akan dijalankan selama 5 – 7 Hari. Setiap calon akan diuji dalam aspek akademik, kecergasan fizikal, sahsiah dan keterampilan. Pemeriksaan kesihatan dilaksanakan bagi memastikan setiap calon bebas daripada sebarang penyakit dan mampu mengikuti aktiviti ketenteraan yang lasak.

Semakan Keputusan MTD 2026

Tarikh semakan tawaran bagi kemasukan ke MTD boleh disemak bermula 26 Disember 2025. Pemohon yang gagal boleh merayu bermula dari 26 Disember 2025 sehingga 13 Januari 2026.

Keputusan rayuan dijangka diumumkan pada 6 hingga 10 Februari 2026.

Keistimewaan Sebagai Putera MTD

  1. Penginapan dan sajian (6 kali sehari) adalah PERCUMA
  2. Semua jenis pakaian dan aksesori adalah PERCUMA
  3. Peralatan pembelajaran (buku dan alat tulis) adalah PERCUMA
  4. Kos pengajian,latihan dan peperiksaan ditanggung oleh kerajaan
  5. Setiap putera juga akan menerima elaun bulanan sebanyak RM100.00

Cara Kehidupan Sebagai Putera MTD

Amat berbeza jika dibandingkan dengan murid asrama lain. Di MTD, waktu akademik bermula dari jam 7.30 pagi hingga 2.00 petang. Pada jam 2.00 – 3.30 petang dikhaskan untuk berehat dan makan serta melaksanakan solat berjemaah.

Aktiviti sebelah petang disambung dengan kelas tambahan atau aktiviti kokurikulum dari jam 3.30 – 4.30 petang. Selepas itu, murid perlu memakai pakaian sukan dan turun ke padang untuk latihan dan gerak cergas.

Pada sebelah malam, kelas tambahan/persediaan akan diadakan dari jam 8 – 10 malam.

Pada hari Sabtu, Putera perlu mengikuti latihan ketenteraan yang dijadualkan.

Semasa cuti penggal persekolahan semua Putera akan mengikuti program kepimpinan dan jati diri yang dirancangkan.

Pertanyaan

Sebarang pertanyaan boleh dibuat kepada:

Unit Pengambilan & Promosi Jabatan Pendidikan Tentera Maktab Tentera Diraja Kem Perdana Sungai Besi 57000 Kuala Lumpur Tel : 03-89465562 Fax : 03-89465530